Dengan lambakan perkhidmatan penstriman, mungkin tidak terkejar untuk mengetahui kandungan-kandungan terbaru yang mula ditawarkan di perkhidmatan tersebut. Oleh itu, melalui segmen terbaru ini, pada setiap hari Jumaat kami akan kongsi-kan lima kandungan terbaru ataupun kandungan lama yang baru sahaja boleh distrim di mana-mana perkhidmatan penstriman termasuk juga yang perlu dibeli atau disewa di Apple TV Store dan Google TV Store.
Chief of War
Platform: Apple TV+
Selepas See, Jason Momoa sekali lagi bekerjasama dengan Apple TV+ dan kali ini ia adalah satu projekt yang bersifat sangat peribadi untuknya, iaitu kisah mengenai bagaimana raja terkenal Hawaii iaitu King Kamehameha menyatukan kepulauan Hawaii untuk melawan dengan penjajah dari luar. Siri ini disampaikan melalui kacamata Ka’iana lakonan Jason sendiri iaitu seorang tentera yang memainkan peranan penting di dalam membantu King Kamehameha.
Final Destination Bloodlines
Platform: HBO Max
Kematian kembali untuk menebus hutang-hutang lama, kali ini ia bukan sahaja melibatkan sekumpulan rakan ataupun sekumpulan orang asing, tetapi ia sebaliknya melibatkan beberapa generasi keluarga yang kesemuanya berhutang nyawa. Final Destination kali ini sudah semestinya akan menyertakan lebih banyak darah, lebih banyak kematian, dan ia tidak mengambil kira siapa yang menjadi mangsa.
Baca: Ulasan Final Destination Bloodlines
Eyes of Wakanda
Platform: Disney+ Hotstar
Wakanda merupakan satu negara yang penuh dengan perkara menarik dan sejarah, melalui siri animasi terbaru ini, kisah-kisah tersebut boleh disampaikan dengan memfokuskan kepada War Dogs iaitu satu organisasi Wakanda yang bergerak secara bersembunyi. Siri ini adalah mengenai mereka cuba untuk mengambil semula artifak dan juga senjata Wakanda yang telah dicuri dan mengancam keamanan dunia dan juga Wakanda sendiri. Ia disampaikan melalui beberapa watak berbeza yang berlaku di era-era yang berlainan.
Baca: Ulasan Eyes of Wakanda
My Oxford Year
Platform: Netflix
Filem komedi romantik ini adalah mengenai Anna De La Vega iaitu seorang pelajar yang bercita-cita tinggi dan memenuhi impiannya untuk belajar di Oxford, akan tetapi selepas dia berjumpa dengan Jamie Davenport segalanya berubah untuk kedua-dua kehidupan mereka. Filem ini diarahkan oleh Iain Morris dengan senarai pelakon seperti Sofia Carson, Corey Mylchreest, Dougray Scott, dan Catherine McCormack.
Legends of the Condor Heroes: The Gallants
Platform: Apple TV/Google TV (Sewa/Beli)
Sebagai satu lagi adaptasi terbaru novel karya Jin Yong, filem ini memfokuskan pengembaraan Guo Jing dan Huang Rong yang bermula sebagai orang biasa sehinggalah menjadi wira untuk negara. Guo Jing di lakonkan oleh Xiao Zhan, manakala Huang Rong dilakonkan oleh Zhuang Dafei. Ia diarahkan oleh Tsui Hark yang membawa kisah menarik dan juga pertempuran yang epik.


