Bagi yang mengikuti siri filem Final Destination, perkara utama yang menjadi tarikan adalah kematian yang berlaku secara kreatif, kemudian apabila ia menerima tambahan filem, penceritaan mula memainkan sedikit peranan dengan penambahan lore yang bagi menarik tetapi masih bukan fokus yang utama. Final Destination Bloodlines cuba untuk menjadikan penceritaan ataupun lore lebih penting, beberapa bahagiannya ia berjaya akan tetapi bahagian yang sepatutnya menjadi tarikan utama iaitu kematian, sedikit mengecewakan walaupun ia masih dipenuhi dengan darah.
Final Destination Bloodlines bermula pada tahun 1968, Paul lakonan Max Lloyd-Jones dan kekasihnya Iris telah menghadiri acara pembukaan untuk Skyview Restaurant Tower iaitu sebuah restoran yang berada di atas menara, walaupun penceritaan bermula pada tahun 1968 akan tetapi ia bukan filem prekuel untuk siri ini, kerana penceritaan utama masih berlaku pada masa sekarang. Sebaliknya, semasa Iris berada di atas menara tersebut, dia telah mendapat prarasa mengenai kecelakaan yang akan berlaku di menara tersebut. Berdasarkan prarasa tersebut, dia bukan sahaja menyelamatkan dirinya dan Paul tetapi kesemua yang berada di situ.

Perkara ini lah yang bagi saya memberi keunikan bagi filem ini, berbanding sekumpulan rakan ataupun kenalan sahaja yang paling ramai lapan orang sahaja yang terselamat, manakala di dalam filem ini jumlah yang terselamat adalah ramai dan ia sesuatu yang tidak pernah disentuh sebelum ini. Oleh kerana jumlah yang ramai ini, ia membawa satu penceritaan baharu mengenai bagaimana “Death” mencari orang-orang yang terselamat ini. Selain itu, ia juga menjawab satu lagi persoalan yang membawa kepada judul filem ini, iaitu bagaimana orang yang terselamat tersebut membina keluarga dan mempunyai beberapa generasi keluarga.
Itulah yang berlaku kepada Paul dan Iris, selepas mereka terselamat daripada menara tersebut, mereka berkahwin dan membentuk keluarga sehinggalah mempunyai beberapa orang anak dan cucu termasuk juga Stefani lakonan Kaitlyn Santa Juana yang sering bermimpi mengenai kejadian yang sepatutnya berlaku di Skyview Restaurant Tower. Tidak dapat fokus kepada pelajaran kerana sering mengalami mimpi tersebut, Stefani bertekad untuk mencari neneknya iaitu Iris yang telah menghilangkan diri. Stefani berjaya menjumpai Iris, dan diceritakan mengenai keluarga mereka sepatutnya tidak wujud kerana Iris dan Paul sepatutnya sudah mati sebelum ini, dan sekarang “Death” sedang memburu mereka satu persatu untuk ‘membetulkan’ keadaan.

Seperti yang saya katakan sebelum ini, premis penceritaan adalah menarik kerana ia menyentuh ataupun menjawab beberapa persoalan yang tidak pernah ditanya ataupun tidak terjawab sebelum ini. Penjelasan mengenai bagaimana Paul dan Iris terselamat sehingga dapat membentuk satu keluarga, dan penjelasan untuk beberapa perkara lain adalah menarik yang bagi saya menjadi perkara yang lebih menyerlah untuk filem ini. Namun, ada beberapa perkara yang saya rasakan sepatutnya menjadi bahagian penting, tetapi terasa sedikit janggal. Watak boleh membaca apa yang ingin dilakukan oleh “Death” bukanlah sesuatu yang baharu, tetapi di dalam filem ini ia cuba disertakan lagi tetapi kurang menarik.
Jika penceritaan boleh dikatakan baik, saya sebaliknya kecewa dengan kematian yang berlaku. Mungkin kerana ini sudah filem keenam, oleh itu agak sukar untuk mencari cara kematian yang lebih kreatif. Di dalam filem ini, pembinaan sebelum kemalangan ataupun kematian berlaku adalah baik dan membuatkan saya berdebar-debar akan tetapi apabila kematian berlaku ia sedikit mengecewakan, hanya beberapa kematian sahaja yang boleh dikatakan menarik dan kebanyakannya adalah kecelakaan yang berlaku di Skyview Restaurant Tower ataupun melalui prarasa yang dilihat oleh Iris.

Akhir kata, Final Destination Bloodlines membawa satu penceritaan menarik kerana ia membawa beberapa persoalan baharu mengenai bagaimana “Death” bertindak, dan apa yang akan terjadi jika orang yang sepatutnya mati bukan sahaja hidup, tetapi juga telah mempunyai beberapa generasi keluarga. Namun, bahagian kematian terasa sedikit mengecewakan kerana ia tidak sebaik pembinaan adegan tersebut dan kurang kreatif. Ia masih satu filem yang baik dan menarik di dalam siri ini, tetapi ia tidak akan menjadi yang terbaik ataupun terburuk untuknya, cukup-cukup saja.


