Setiap minggu terdapat pelbagai permainan menarik yang dilancarkan, tidak kira permainan AAA ataupun permainan indie. Selain itu, terdapat juga pelbagai DLC dan penambahan yang dilancarkan untuk permainan sedia ada. Oleh itu, melalui segmen ini, kami akan kongsikan lima permainan dan penambahan menarik yang dilancarkan sepanjang minggu ini.
WUCHANG: Fallen Feathers
Platform: PlayStation 5, Xbox Series, PC
Selepas kejayaan Black Myth: Wukong, permainan aksi dari China telah menjadi satu tarikan, permainan terbaru adalah permainan ini yang menyertakan tatamain aksi melalui watak utama Bai Wuchang iaitu seorang lanun yang boleh menggunakan lebih 25 senjata, setiap senjata ini akan mempunyai gaya serangan dan juga kebolehan yang berbeza. Ini akan memberikan gaya yang berbeza untuk pemain menumpaskan sesuatu musuh.
No Sleep for Kaname Date – From AI: The Somnium Files
Platform: Nintendo Switch, PC
Iris merupakan idola ikutan ramai, akan tetapi selepas dia diculik dan dipaksa unutk menyertai satu permainan yang berbahaya, Kaname Date bersama dengan AI-Ball perlu menyelesaikan misteri mengenai penculikan ini dan juga menyelamatkan Iris. Untuk melakukannya, pemain boleh melakukan siasatan, memasuki dunia mimpi suspek dan juga menyelesaikan tekaria untuk keluar daripada sesuatu penjara.
Killing Floor 3
Platform: PlayStation 5, Xbox Series, PC
Killing Floor kembali dan mengikut Tripwire Interactive, mereka ingin menjadikan permainan ini lebih menyeramkan. Pemain boleh bermain secara berseorangan ataupun koperasi multi-pemain sehingga enam pemain untuk melawan dengan gelombang zombi ataupun Zeds. Jumlah zombi akan mengikut jumlah pemain yang ada, dan pemain boleh memilih satu daripada enam Specialist berbeza yang setiapnya mempunyai kelebihan yang tersendiri.
Grounded 2
Platform: Xbox Series, PC
Di dalam permainan ini, pemain kembali menjadi kecil dan perlu melalui pelbagai cabaran untuk kekal hidup di dalam dunia yang serba besar ini. Melalui versi akses awal ini, pemain boleh mencuba lebih awal segala pembaharuan yang dibawa untuk permainan kedua termasuk juga boleh menangkap serangga untuk ditunggang yang akan memberikan cara baharu untuk pemain bergerak dan memudahkan lagi proses mencari bahan.
*Grounded 2 akan dilancarkan pada 29 Julai 2025.
Wheel World
Platform: PlayStation 5, Xbox Series, PC
Bagaimana jika keselamatan dunia bergantung kepada seorang penunggang basikal, itulah premis bagi permainan ini. Pemain akan menjadi Kat iaitu seorang penunggang basikal yang telah dipilih untuk menyelamatkan dunia. Pemain perlu mencari barangan basikal dengan berlumba dan juga melakukan trik untuk mempertingkatkan lagi keupayaan basikal.


