Malice yang juga dikenali dengan judul berbahasa Cina, 恶意 merupakan filem arahan Mukuan Lai dan Wenyi Yao yang cuba untuk memfokuskan penceritaan kepada kesukaran di dalam melaporkan sesuatu kejadian di zaman media sosial dengan setiap laporan boleh diubah dan ditukar menjadi sesuatu yang lebih ‘jahat’. Ia juga menyentuh kepada keadaan sekarang yang ingin sesuatu lebih cepat berbanding lebih tepat, di dalam menyampaikan perkara ini, saya boleh katakan filem ini melakukan satu kerja yang baik tetapi aturan penceritaan serba sedikit mengganggu pengalaman tontonan saya.

Filem ini bermula dengan seorang jururawat Li Yue terjatuh bersama dengan seorang pesakit barah kanak-kanak Jing Jing, ibu kepada Jing Jing, You Xi yang ternampak mereka terjatuh mengatakan yang Li Yue telah menolak anaknya. Ye Pan seorang wartawan yang mempunyai hubungan rapat dengan Jing Jing dan juga You Xi kerana dia sebelum ini melaporkan mengenai Jing Jing seorang kanak-kanak yang tabah di dalam merawat penyakitnya.

Pemberita dan juga media sosial mula melaporkan yang Li Yue yang bersalah apabila mendengar tuduhan daripada You Xi, pengurus kepada Ye Pan juga ingin mereka melaporkan perkara tersebut, tetapi Ye Pan bertegas yang mereka masih tidak mempunyai maklumat yang mencukupi untuk membuat tuduhan tersebut. Namun, perkara ini tidak menghalang daripada warganet mula membuat tuduhan liar terhadap Li Yue termasuk juga berkongsi perkara-perkara peribadi mengenainya.

Ye Pan kemudian cuba mencari maklumat lanjut mengenai perkara ini, tetapi apa sahaja yang dilaporkannya telah mencetus masalah kerana media sosial akan mengambilnya untuk dijadikan sebagai bukti untuk membuat tuduhan liar, termasuk juga apabila sesuatu berkait dengan You Xi pula terdedah sehinggakan ada yang mengatakan yang You Xi ingin Jing Jing untuk mati agar mereka dapat memulakan kehidupan tanpa bebanan anak berpenyakit.

Filem ini menggerakkan penceritaan melalui beberapa plot utama iaitu siasatan mengenai kejadiah jatuh tersebut, menyiasat mengenai Li Yue dan juga You Xi sendiri yang serba sedikit melibatkan kehidupan peribadi mereka. Perkara ini baik dan menjadikan filem ini mempunyai lapisan penceritaan yang berbeza akan tetapi saya merasakan cara ia disampaikan sedikit bercelaru dan membuatkan kesan daripada setiap permasalahan kurang dirasai. Ia juga mengakibatkan perkembangan watak, terutama watak Ye Pan yang pada awalnya kelihatan berprinsip tetapi berubah menjadi sedikit lemah.

Selain itu, filem ini juga membawa kisah silam Ye Pan untuk mengembangkan lagi wataknya, termasuk juga dengan plot twist di bahagian akhir yang saya rasakan tiba sedikit lambat, dengan pelbagai perkara lain yang berlaku ia membuatkan perkara tersebut kurang memberi impak, yang bagi saya satu kerugian. Filem ini boleh menjadi lebih baik jika penyampaian dikemaskan dan watak Ye Pan ditambah baik serta dikukuhkan perwatakannya, saya boleh jadikan watak Oh So-ryong daripada siri Korea Unmasked sebagai contoh. walaupun pelbagai masalah tetapi perwatakannya jelas dan mudah untuk difahami.

Filem ini masih mempunyai beberapa adegan yang baik, termasuk juga yang menyentuh hati terutama mengenai adegan yang melibatkan Jing Jing, kesemua pelakon juga membawa watak mereka dengan sangat baik walaupun penyampaian sedikit bercelaru tetapi lakonan yang berkesan membantu untuk memastikan saya mendapat segala impak emosi yang cuba disampaikan. Satu tontonan yang baik tetapi mengecewakan di bahagian pertengahan walaupun bermula dengan baik dan pengakhiran juga agak menarik.

Malice (恶意)
Satu filem mengenai dilema wartawan untuk menjadi lebih pantas di era sosial media ataupun menjadi telus terutama dengan setiap laporan akan memberi kesan yang besar kepada kehidupan orang yang terlibat. Disampaikan dengan baik tetapi terlalu banyak penceritaan cuba disampaikan menjadikannya sedikit bercelaru.
Positif
Lakonan yang baik
Kisah yang menyentuh hati
Negatif
Penceritaan bercelaru
7

Leave a Reply

Final Score