Apple Arcade telah mengumumkan yang bulan Ogos ini, platform tersebut akan menerima empat permainan baharu iaitu Play-Doh World, Worms Across Worlds, Let’s Go Mightycat dan Everybody Shogi. Permainan-permainan ini akan tiba pada 7 Ogos 2025.
Play-Doh World membawa mainan doh dalam bentuk digital dan pemain boleh menghasilkan watak dan juga berinteraksi dengan persekitaran secara kreatif, ia dibangunkan oleh Scary Beasties.

Siri permainan terkenal iaitu Worms menerima permainan baharu Worms Across Worlds dan ia merupakan permainan aksi strategi dengan pemain ditugaskan untuk melawan saintis jahat Professor Worminkle merentasi dunia-dunia berbeza. Permainan ini dibangunkan oleh StoryToys dan Behaviour Interactive.
Permainan sampingan untuk The Battle Cats, Let’s Go Mightycat! oleh PONOS Corporation menjadikan seekor kucing sebagai penyelamat dunia. Pemain boleh menghias kucing itu dengan pelbagai kosmetik dan perlu melalui tekaria yang mencabar minda.

Bagi yang ingin mencuba permainan tradisi Jepun, Everybody Shogi merupakan salah satu tempat untuk melakukannya. Selain dapat bermain Shogi seperti biasa, permainan ini juga menyertakan peringkat yang perlu diselesaikan dan menguji kemahiran anda bermain Shogi dengan antaramuka yang lebih ceria.
Apple Arcade ditawarkan dengan harga RM29.90 yang boleh dikongsi dengan 5 orang keluarga, ia juga boleh diperoleh melalui langganan Apple One yang juga menyertakan Apple Music dan Apple TV+ dengan harga RM34.90 untuk pelan individu, RM44.90 untuk pelan keluarga, dan RM84.90 untuk Premier yang turut menyertakan Apple Fitness+.


