Setiap minggu terdapat pelbagai permainan menarik yang dilancarkan, tidak kira permainan AAA ataupun permainan indie. Selain itu, terdapat juga pelbagai DLC dan penambahan yang dilancarkan untuk permainan sedia ada. Oleh itu, melalui segmen ini, kami akan kongsikan lima permainan dan penambahan menarik yang dilancarkan sepanjang minggu ini.
Firmament
Platform: PlayStation, PS VR2, PC
Permainan pengembaraan yang memfokuskan kepada tekaria dan juga pengurusan. Pemain akan menjadi Keeper yang bertanggungjawab untuk mengurus tiga “Realms” iaitu Curievale, Juleston, dan St. Andrew yang membentuk Firmament Project. Sepanjang permainan, pemain akan ditemani oleh “the Mentor” yang akan memberi pengajaran awal untuk menyelesaikan tekaria di dalam permainan ini dan juga berkongsi penceritaan di sebaliknya. Ia sudah dilancarkan untuk PC sejak tahun 2023, dan akan tiba untuk PlayStation termasuk juga PS VR2 minggu ini.
Mecha BREAK
Platform: Xbox Series, PC
Permainan multi-pemain berdasarkan Mecha ini menjanjikan sesi permainan yang pantas dan pada masa yang sama mementingkan kerjasama bersama dengan rakan sepasukan. Pemain boleh memilih salah satu daripada lima peranan iaitu Attacker, Defender, Supporter, Brawler dan juga Sniper yang setiapnya mempunyai peranan serta tatamain tersendiri. Semasa pelancaran ia menyertakan mod 3v3, 9v6 danPvPvE.
Harvest Moon: The Lost Valley / Harvest Moon: Skytree Village
Platform: Nintendo Switch
Harvest Moon Skytree Village dan Harvest Moon The Lost Valley merupakan dua permainan di dalam siri Harvest Moon yang dilancarkan pada tahun 2014 dan 2016 secara eksklusif untuk Nintendo 3DS. Kini, kedua-dua permainan ini ditawarkan di dalam satu berkas dan boleh dimainkan di konsol terbaru iaitu Nintendo Switch.
IREM Collection Volume 3
Platform: PlayStation, Xbox, Nintendo Switch
ININ Games kembali lagi dengan koleksi permainan klasik melalui Irem Collection Volume 3 yang menyertakan pemrainan dari era 80-an dan 90-an. Tiga permainan yang disertakan di dalam berkas ini ialah Mr Heli iaitu permainan yang dilancarkan pada tahun 1987, seterusnya Mystic Riders yang pertama kali dilancarkan pada tahun 1992 dan Dragon Breed yang dilancarkan pada tahun 1989 untuk arked.
No Heroes Here 2
Platform: PlayStation, Xbox, Nintendo Switch, PC
Bekerjasama atau kehilangan istana, No Heroes Here kembali lagi untuk permainan kedua. Seperti sebelum ini, pemain perlu bekerjasama dengan tiga lagi pemain untuk menyediakan pertahanan bagi istana yang diserang oleh pelbagai penjahat. Pemain perlu bekerjasama untuk mengawal setiap penjuru istana dan menghasilkan serangan-serangan yang berbeza.


