Setiap minggu terdapat pelbagai permainan menarik yang dilancarkan, tidak kira permainan AAA ataupun permainan indie. Selain itu, terdapat juga pelbagai DLC dan penambahan yang dilancarkan untuk permainan sedia ada. Oleh itu, melalui segmen ini, kami akan kongsikan lima permainan dan penambahan menarik yang dilancarkan sepanjang minggu ini.
Doom: The Dark Ages
Platform: PlayStation 5, Xbox Series, PC
Doom Slayer kembali, ataupun diceritakan sebelum melalui permainan terbaru bagi siri ini dengan kisahnya berlaku sebelum kejadian di dalam permainan DOOM yang dilancarkan pada tahun 2016. Masih mengekalkan tatamain menembak yang rancak, permainan kali ini juga dikatakan menawarkan tatamain yang lebih memfokuskan kepada strategi berbanding sekadar bergerak pantas dengan Doom Slayer kini boleh dikatakan sebagai “iron tank”.
The Precinct
Platform: PlayStation 5, Xbox Series, PC
Fallen Tree Games kembali lagi dengan permainan yang mengambil inspirasi daripada permainan awal Grand Theft Auto, ia juga berlaku di dalam dunia yang sama dengan permainan mereka sebelum ini iaitu American Fugitive akan tetapi berbanding memfokuskan kepada penjenayah, pemain kini menjadi anggota polis iaitu Nick Cordell Jr.
Yasha: Legends of the Demon Blade
Platform: PlayStation, Xbox, Nintendo Switch, PC
Permainan aksi RPG ini turut menyertakan elemen fantasi dan juga mekanik roguelite untuk membolehkan pemain bermain dengan pengalaman berbeza setiap kali memulakan sesi yang baharu. Dengan rekaan permainan mengambil inspirasi daripada era Edo di Jepun, ia menyertakan pelbagai rekaan-rekaan menarik bukan sahaja persekitaran tetapi juga rekaan penjahat dan raksasa.
Capcom Fighting Collection 2
Platform: PlayStation, Xbox, Nintendo Switch, PC
Capcom sekali lagi hadir dengan koleksi-koleksi permainan pertarungan klasik mereka, dan kali ini ia menyertakan lapan permainan iaitu Plasma sword: Nightmare of Bilstein, Power Stone, Power Stone 2, Capcom vs SNK: Millennium Fight 2000 Pro, Project Justice, Street Fighter Alpha 3 Upper, Capcom vs. SNK 2: Mark of the Millennium 2001 dan Capcom Fighting Evolution. Setiap permainan ini menyokong ranked, kasual dan juga teknologi rollback netcode.
American Arcadia
Platform: PlayStation, Xbox, Nintendo Switch, PC
Permainan platformer yang memfokuskan kepada aspek tatamain tekaria ini sudah dilancarkan untuk PC pada tahun 2023, terkini ia juga akan tiba untuk hampir kesemua konsol yang terkini. Pemain akan mengawal Trevor Hills dan juga Angela Solano yang cuba melarikan diri daripada Arcadia iaitu tempat tinggal mereka yang sebenarnya merupakan satu simulasi.


