Skip to main content

Dengan lambakan perkhidmatan penstriman, mungkin tidak terkejar untuk mengetahui kandungan-kandungan terbaru yang mula ditawarkan di perkhidmatan tersebut. Oleh itu, melalui segmen terbaru ini, pada setiap hari Jumaat kami akan kongsi-kan lima kandungan terbaru ataupun kandungan lama yang baru sahaja boleh distrim di mana-mana perkhidmatan penstriman termasuk juga yang perlu dibeli atau disewa di Apple TV Store dan Google TV Store.

Asteroid City

Platform: Netflix

Bagi yang menyukai gaya filem oleh Wes Anderson tetapi tidak berkesempatan untuk menonton filem ini, terutama dengan tayangannya di Malaysia dibatalkan, anda kini boleh tonton Asteroid City di Netflix. Filem yang dibintangi nama-nama besar seperti Tom Hanks, Scarlett Johansson, Steve Carell, Willem Dafoe, Margot Robbie dan ramai lagi. Ia membawa penceritaan mengenai UFO dan turut disampaikan melalui filem biasa dan juga dokumentari di dalam filem ini sendiri.

Star Wars: Tales of the Underworld

Platform: Disney+ Hotstar

Siri ketiga untuk siri ‘Tales’ kali ini memfokuskan kepada dua watak iaitu Asajj Ventress and Cad Bane, dua watak yang boleh dikatakan sebagai watak antagonis. Siri ini memberi ruang untuk peminat mengetahui lanjut mengenai kisah dan juga penceritaan mereka yang tidak diperkatakan sebelum ini. Dengan setiap episod lebih kurang 14 minit sahaja, ia sudah semestinya satu siri yang anda boleh tonton dengan segera.

Octopus!

Platform: Prime Video

Jika anda menyukai sotong, dan secara jujurnya saya boleh katakan sotong merupakan satu haiwan yang sangat unik dan mempunyai personaliti yang menarik, oleh itu dokumentari ini adalah untuk anda. Disampaikan oleh Phoebe Waller-Bridge dan melibatkan pelakon komedi seperti Tracy Morgan, ia sudah semestinya akan membawa sotong ke satu pandangan yang baharu.

We Beat The Dream Team

Platform: Max

Pada tahun 1992, Amerika Syarikat membentuk satu pasukan bola kerajang untuk temasya Olimpik, dan pasukan yang dibentuk dipanggil sebagai “Pasukan Impian”. Pasukan ini terdiri daripada nama seperti Michael Jordan, Larry Bird, Charles Barkley dan ramai lagi, namun sebelum mereka memenangi pingat emas di Olimpik tersebut, mereka tewas melawan pasukan dari kolej. Dokumentari ini adalah mengenai kejayaan dan juga kejutan tersebut.

Mickey 17

Platform: Apple TV / Google TV (Beli/Sewa)

Mickey merupakan seorang “expendable” yang sering ditugaskan untuk melakukan pekerjaan ataupun uji kaji yang boleh membawa maut kerana dia boleh disalin semula. Keadaan menjadi huru hara selepas terdapat dua salinan Mickey dan mereka berdua mempunyai personaliti berbeza. Filem ini banyak menyentuh mengenai aspek kemanusiaan dan nilai sesuatu kehidupan. Ia juga filem cereka sains dengan pelbagai perkara yang menarik.

Baca: Ulasan Mickey 17

Leave a Reply