Skip to main content

Mickey 17 merupakan filem terbaru yang diarahkan oleh Bong Joon-ho selepas mencipta nama melalui filem Parasite. Beliau juga penulis lakon layar berdasarkan novel Mickey7 oleh Edward Ashton. Selepas Parasite mungkin agak sukar untuk Bong Joon-ho membawa satu produk yang mempunyai nilai yang sama akan tetapi beliau melakukan kerja yang baik untuk memastikan filem ini disampaikan dengan menarik dan terisi dengan pelbagai mesej sosial tanpa perasaan terlalu mendesak. Pertengahan pertama filem ini terasa sedikit perlahan tetapi bertambah baik untuk bahagian seterusnya sehingga pengakhiran.

Filem ini adalah mengenai Mickey Barnes lakonan Robert Pattinson yang dikejar oleh pemiutang telah mendaftar untuk menyertai satu ekspedisi mencari penempatan baharu di angkasa lepas. Bagi memastikan dia terpilih, dia memilih untuk dijadikan sebagai “expendable”. Expendable merupakan orang yang akan disimpan data DNA, apabila terbunuh dia akan ‘dicetak’ semula dan memori sebelum ini akan dimuat naik ke badan baru tersebut. Oleh kerana peraturan kerajaan, di dalam satu ekspedisi hanya boleh disertakan seorang sahaja expendable pada satu masa.

Sebagai seorang Expendable, Mickey sentiasa ditugaskan untuk melakukan tugasan-tugasan yang berbahaya termasuk juga yang membawa kepada kematian yang segera. Dengan setiap kali dia mati, dia akan dicetak baharu tetapi tidak dibenarkan untuk mempunyai dua ‘salinan’ pada satu masa. Setiap Mickey baharu ini akan dikenali melalui nama Mickey 2, Mickey 3 dan seterusnya. Pada pertengahan pertama filem ini lebih memfokuskan kepada Mickey terpaksa menghadapi kesemua perkara ini dan sekadar mengikutnya sahaja walaupun berkali-kali mati.

Di bahagian ini, watak Mickey kurang menarik dan fokus lebih diberikan kepada Kenneth Marshall lakonan Mark Ruffalo iaitu seorang ahli politik yang gagal tapi mengetuai ekspedisi ini dengan harapan untuk menjadi pemerintah bagi penempatan baharu ini. Dia merupakan seorang yang bersikat diktator yang digunakan untuk menggambarkan sikap sesetengah orang politik pada waktu ini dengan berharap untuk menghasilkan satu kultus berbanding menghasilkan satu komuniti.

Watak Mickey menjadi lebih menarik selepas kehadiran Mickey 18 yang dicetak selepas semua ingatkan Mickey 17 telah terbunuh kerana terjatuh di sarang haiwan liar di sebuah planet akan tetapi dia terselamat dan menjadikan terdapat dua salinan. Tambah menarik, Mickey 18 mempunyai perwatakan berbeza dengan Mickey-Mickey yang sebelum ini. Dia lebih melawan dan melakukan apa sahaja yang dikehendakinya, ini membawa kepada perwatakan yang lebih menarik dan lebih jelas memperlihatkan lakonan Robert Pattinson.

Dengan adanya Mickey 18 juga membuatkan penceritaan lebih tegang kerana terdapat pelbagai permasalahan berlaku tidak kira berkait dengan Kenneth Marshal, berkait dengan pergaduhan di antara Mickey 17 dengan Mickey 18 ataupun mengenai ancaman daripada haiwan liar. Perkara ini menjadikan bahagian kedua filem ini padat dengan pelbagai perkara menarik, watak-watak yang sebelum ini terasa sampingan juga lebih menyerlah di bahagian ini.

Walaupun bahagian awal membosankan dan menjadi lebih baik kemudian, tetapi sepanjang filem ini boleh dikatakan penyampaian adalah sangat baik. Bong Joon-ho berjaya untuk membawa satu dunia yang boleh dipercayai walaupun pelbagai perkara yang tidak masuk akal berlaku, ia juga dibantu dengan kebanyakan bahagian filem ini disampaikan secara jenaka untuk menjadikan sesi tontonan tidak terasa ‘penat’ dengan pembawaan mesej yang berat. Filem ini juga diserap dengan pelbagai adegan aksi yang baik yang membuatkan ia lebih mencemaskan.

Akhir kata, Mickey 17 membawa satu penceritaan yang baik dan menarik tetapi kebanyakan perkara menarik berlaku pada bahagian kedua filem ini yang membuatkan filem pertama terasa meleret dan sedikit membosankan walaupun ia memainkan peranan yang penting di dalam pengenalan kisah watak-watak filem ini termasuk juga Mickey sendiri. Namun, dengan bahagian kedua dilakukan dengan sangat baik kekurangan pada bahagian pertama tidak memberi kesan yang besar kepada keseluruhan pengalaman tontonan dan masih satu filem cereka sains yang baik walaupun tidaklah mencapai tahap seperti mana Parasite.

Mickey 17 akan ditayangkan bermula 6 Mac 2025. Tayangan awal disediakan oleh Warner Bros untuk tujuan ulasan ini.

Mickey 17
Mickey 17 membawa kisah cereka sains yang baik, walaupun agak mendatar pada bahagian awal tetapi bahagian seterusnya lebih penuh dengan perkara menarik termasuk juga hadirnya dua salinan Mickey dengan personaliti berbeza yang dibawa baik oleh Robert Pattinson.
Positif
Pembawaan masalah yang menarik
Penyampaian mesej yang berkesan
Lakonan yang baik
Negatif
Bahagian awal mendatar
8

Leave a Reply

Final Score