Musim kedua untuk siri berdasarkan League of Legends ini boleh dikatakan kepada mangsa kesuntukan masa ataupun belanjawan, saya tidak bercakap mengenai kualiti kerana ia masih satu siri animasi dengan kualiti animasi dan juga penyampaian yang berkualiti tinggi. Namun, saya bercakap mengenai penceritaan yang disampaikan, kerana saya merasakan yang siri ini memerlukan lebih banyak masa atau episod untuk menyampaikan kesemua penceritaan yang ingin disampaikan akan tetapi terhad kepada musim ini sahaja yang membuatkan banyak cerita diringkaskan, mengurangkan impak untuk kisah tersebut.

Musim kedua ini meneruskan penceritaan daripada musim pertama dan memperlihatkan kesan pengeboman yang dilakukan oleh Jinx, dan Vi bekerjasama dengan Caitlyn Kiramman yang berdendam dengan Jinx kerana pengeboman tersebut mengorbankan ibunya Cassandra Kiramman. Musim ini juga berkembang menyentuh pelbagai lagi perkara lain seperti perebutan kuasa di Piltover dan juga Zaun, misteri mengenai Arcane dan beberapa lagi penceritaan berkait dengan perhubungan sesama watak. Saya boleh katakan yang siri ini tidak mempunyai masalah di dalam jumlah penceritaan yang ada tetapi ia juga menjadi masalah di dalam penyampaian.

Seperti saya nyatakan sebelum ini, kebanyakan penceritaan tidak dapat disampaikan dengan baik kerana kekurangan episod yang ada untuk musim ini. Terdapat banyak bahagian penceritaan yang disampaikan secara “muzik video” yang bagi saya bukan satu masalah tetapi ia merupakan simptom kepada siri ini terpaksa dipadatkan. Masalah penyampaian ini, lebih jelas apabila memasuki Bab 3 di dalam penceritaan ini, ini kerana ia membawa satu penceritaan mengenai Arcane dan juga Hextech yang hanya disampaikan secara permukaan sahaja sebelum ini. Penceritaan yang cuba disampaikan adalah menarik, tetapi dengan terlalu banyak informasi diberikan kepada saya dalam masa yang pendek, membuatkan kesan daripada penceritaan itu kurang berkesan dan sedikit mengganggu pengalaman keseluruhan tontonan.

Namun siri ini masih berbaloi dan mengasyikkan untuk ditonton kerana penceritaan-penceritaan lain, terutama yang memfokuskan kepada Jinx da Vi masih lagi disampaikan dengan menarik dengan kisah mereka kini melibatkan beberapa lagi watak lain yang walaupun hadir dalam masa singkat tetapi memberi kesan yang besar kepada penceritaan. Di akhir penceritaan ia memberikan pengakhiran yang memuaskan tetapi pada masa yang sama, masih memberi ruang untuk penceritaan ini diteruskan walaupun ini merupakan musim terakhir bagi Arcane. Mereka sudah mengatakan yang akan terdapat beberapa lagi penceritaan sampingan, tetapi mungkin tidak akan diteruskan dengan penceritaan di Piltover mahupun Zaun dengan League of Legends masih mempunyai beberapa lagi kawasan lain.

Manakala bagi animasi, lakonan suara dan juga penyampaian yang lain, siri ini masih membawa satu kualiti yang sangat baik. Ia masih siri animasi dengan kualiti terbaik pernah dihasilkan bukan sahaja sebagai satu siri animasi tetapi juga jika mengambil kira filem-filem animasi yang pernah dihasilkan. Selain animasi, siri ini juga menyertakan beberapa lagu asli yang dihasilkan untuk siri ini, dan kesemuanya adalah lagu yang sangat menarik. Siri ini bukanlah muzikal, tetapi dengan beberapa bahagian disampaikan secara muzik video, saya menanggap yang ia adalah merupakan satu siri muzikal dan satu siri muzikal yang sangat baik. Kesemua perkara ini masih memberikan musim yang berkualiti dan ia akan terus menjadi satu siri yang penting di dalam sejarah kandungan animasi.

Akhir kata, Arcane musim kedua ini masih mengekalkan kualiti tinggi untuk animasi, lakonan suara dan penyampaian daripada musim pertama, dan untuk sebab itu sahaja ia sudah mencukupi untuk menjadikannya wajib ditonton akan tetapi ia sedikit mengecewakan untuk penceritaan terutama di bahagian akhir yang kelihatan beberapa penceritaan disampaikan dengan terlalu mendesak membuatkan penyampaian-nya kurang berkesan dan sedikit mengecewakan.

Arcane (Musim 2)
Musim kedua ini masih mengekalkan kualiti tinggi untuk animasi, lakonan suara dan penyampaian daripada musim pertama, dan untuk sebab itu sahaja ia sudah mencukupi untuk menjadikannya wajib ditonton akan tetapi ia sedikit mengecewakan bagi penceritaan terutama di bahagian akhir.
Positif
Kualiti animasi bertaraf tinggi
Lakonan suara yang baik
Muzik yang berjiwa
Negatif
Penceritaan disampaikan secara mendesak
9

Leave a Reply

Final Score