Secret Level merupakan koleksi kisah pendek mengenai pelbagai permainan video yang disampaikan dalam bentuk animasi. Ia diselia oleh Tim Miller yang sebelum ini hadir dengan siri Love Death + Robots. Siri ini mempunyai 15 episod dengan setiap episod membawa penceritaan berlainan berdasarkan permainan-permainan yang berbeza.
Antara permainan yang disertakan adalah Sifu, Unreal Tournament, Crossfire, Armored Core, Honor of Kings dan juga permainan yang malangnya sudah ditutup iaitu Concord. Setiap penceritaan yang disampaikan membawa tema yang berlainan tetapi berkait rapat dengan penceritaan asal permainan tersebut, ataupun tatamain untuknya bagi permainan yang tidak mempunyai penceritaan yang mendalam.

Saya sudah tonton kesemua episod dan boleh dikatakan kualiti animasi adalah sangat baik, penceritaan menarik tidak kira bagi permainan yang saya sudah tahu ataupun permainan yang saya sekadar tahu nama sahaja. Penceritaan juga boleh dikatakan sebagai satu kisah sampingan yang memberi nilai tambahan kepada penceritaan atau kisah untuk permainan tersebut.
Kepelbagaian penceritaan ini merupakan antara perkara yang menarik mengenai Secret Level kerana saya tidak tahu penceritaan apa yang akan disampaikan, saya juga tidak melihat senarai episod dan permainan apa yang berkait dengannya, apabila intro untuk setiap episod tiba dan memperlihatkan tajuk permainan ia membuatkan saya teruja. Oleh itu, saya sangat cadangkan untuk anda tonton setiap episod ini secara ‘buta’ ataupun tanpa melihat terlebih dahulu ia mengenai permainan yang mana.

Sedikit rungutan saya adalah setiap episod disampaikan kurang daripada 12 minit yang tidak memberi ruang mencukupi untuk menyampaikan penceritaan yang lebih mendalam. Walaupun setiap penceritaan masih menarik, dan sesetengah episod juga menyentuh emosi tetapi saya tidak boleh menanggap yang setiap episod ini tidak lebih daripada “cinematic trailer” untuk setiap permainan ini.
Tambah mengecewakan lagi, ini mungkin satu-satunya episod yang akan tiba untuk setiap permainan ini sedangkan berdasarkan apa yang disampaikan melalui Secret Level, sangat jelas yang setiap permainan ini berhak untuk mendapat siri animasi mereka tersendiri dan boleh mengembangkan lagi penawaran untuk permainan tersebut di dalam medium berbeza sepertimana yang sudah dilakukan oleh permainan League of Legends melalui Arcane.

Kualiti animasi pula saya tidak mempunyai sebarang rungutan, ia dilakukan dengan sangat berkualiti dan menjadi perkara utama yang membuatkan sesi tontonan sangat menarik. Kesemua siri ini mengekalkan arahan seni yang sama tetapi dengan gaya yang berlainan mengikut sumber asal ataupun permainan itu sendiri yang bagi saya memberi sedikit keunikan untuk setiap episod tetapi mengekalkan kualiti dan penyampaian yang sama.
Selain animasi, lakonan suara juga sangat memuaskan, seperti yang sedia maklum ramai nama-nama besar yang menyuarakan watak di dalam siri ini antaranya Arnold Schwarzenegger, Kevin Hart, Keanu Reeves, Temuera Morrison, Ariana Greenblatt, Heaven Hart, Emily Swallow, Gabriel Luna, Ricky Whittle, Patrick Schwarzenegger, Merle Dandridge, Claudia Doumit, Adewale Akinnuoye-Agbaje, Clive Standen, Laura Bailey, dan Michael Beach.

Akhir kata, Secret Level memperlihatkan potensi yang besar untuk setiap permainan yang terlibat menerima siri animasi mereka yang tersendiri, oleh kerana itu setiap episod hanya lebih kurang 12 minit sahaja, ia membuatkan saya inginkan lebih lagi tetapi tanpa sebarang kepastian. Durasi yang pendek ini membuatkan kisah disampaikan secara permukaan sahaja tetapi masih menarik, dan siri ini dibantu banyak melalui kualiti animasi yang disampaikan dan juga lakonan suara yang berkualiti tinggi.
Secret Level akan mula disiarkan di Prime Video pada 10 Disember 2024.


