Skip to main content

TTRacing Swift X Pro merupakan pilihan kerusi gaming oleh TTRacing yang boleh dikatakan popular di-kalangan pengguna dan saya boleh katakan sebabnya adalah mudah untuk diketahui selepas meluangkan masa lebih dua minggu menggunakan kerusi ini, namun sebelum saya bercakap mengenainya, edisi yang saya guna adalah lebih menarik iaitu edisi Deadpool yang dilancarkan bersama dengan edisi Wolverine bersempena dengan tayangan filem Deadpool & Wolverine sebelum ini.

Rekaan kerusi adalah sama dengan Swift X Pro yang lain tetapi kekemasan benar-benar menggambarkan ini ia adalah edisi Deadpool dengan menggunakan warna merah dan hitam bagi seperti kostum Deadpool ia juga disulam dengan benang di persekitaran untuk menjadikannya lebih kemas dan juga nampak menarik seperti kostum yang sebenar. DI bahagian depan terdapat logo Deadpool manakala di bahagian terdapat dua bilah pedang yang akan menjadi kebiasaan untuk watak adiwira ini.

Tambahan pada itu, bantal untuk bahagian leher dan juga belakang menggunakan warna kelabu yang mungkin kelihatan biasa tetapi ia sangat kena dengan rekaan lain kerusi ini dan di bantal untuk bahagian belakang juga terdapat tulis “Time to make the Chimichangas!” salah satu catchphrase oleh Deadpool – ini memberikan keunikan tersendiri untuk bantal yang kelihatan biasa sahaja dari jauh.

Selain daripada rekaan yang menarik ini, seperti saya katakan TTRacing Swift X Pro secara sendirinya adalah satu kerusi yang selesa dan mempunyai pelbagai fungsi yang menjadikan kerusi bersesuaian untuk kegunaan gaming, kegunaan harian bahkan seperti saya lakukan, diletakkan di pejabat untuk digunakan sepanjang waktu bekerja.

Pemasangan kerusi ini agak ringkas dengan setiap bahagian mempunyai kelainan serta tanda yang mencukupi untuk memudahkan saya mengikut panduan. Ia boleh dilakukan secara berseorangan tanpa sebarang masalah, akan tetapi jika berdua adalah lebih mudah kerana terdapat bahagian yang perlu angkat dan memastikan ia diletak dengan kemas.

Saya boleh katakan hanya mempunyai masalah semasa ingin menyambung bahagian belakang ataupun backrest dengan seat base, semasa memasangnya saya meminta bantuan rakan dan masih sedikit kesukaran untuk mendapat pemasangan yang tepat dan mungkin lebih sukar jika berseorangan. Selain daripada itu, pemasangan sepatutnya adalah mudah dan panduan yang diberikan adalah senang untuk diikuti.

Ruang tempat duduk ataupun seat base untuk saya cukup besar dan bahagian melengkung adalah tepat dengan bahagian kaki saya untuk menjadikan ia sangat selesa untuk diduduki. Manakala bahagian tempat rehat lengan ataupun armrest ia menggunakan bahan yang sangat lembut dan sangat selesa untuk merehatkan tangan, akan tetapi oleh kerana bahagian tempat duduk agak luas, saya tidak bolehlah merehatkan tangan semasa menaip.

Swift X Pro tidak mempunyai tempat rehat kepala yang boleh diubah, tetapi boleh gerakkan bantal untuk leher, namun ia terhad untuk tinggi yang tertentu sahaja. Ia bukan masalah untuk saya dengan tinggi 172 cm, kerana tempat leher berada di tempat bersesuaian, tetapi ia mungkin berbeza jika anda mempunyai ketinggian yang berbeza.

Ingin berehat dengan lebih, kerusi ini juga boleh bersandar sehingga 135-darjah, yang agak selesa jika anda ingin tidur sekejap ataupun nap. Ia juga boleh digerakkan dengan mudah, dan boleh dinaikkan semula dengan cepat. Sedikit perkara yang menjengkelkan, akan tetapi ia mungkin kerana masalah pemasangan ada masa semasa menyandar ia akan membuat bunyi tetapi tidak terlalu kerap dan hanya berlaku jika ada pergerakan yang lebih ‘besar’.

Kerusi ini juga menggunakan sistem hidraulik SGS Kelas 4 untuk lebih tahan dan juga menjadikan pengalaman merendahkan atau meninggikan kerusi dengan selesa dan saya tidak pernah rasa tersekat-sekat semasa menggunakannya. Manakala roda pula menggunakan roda nilon yang kuat dan bergerak dengan sangat lancar tanpa meninggalkan kesan pada lantai.

Akhir kata, TTRacing Swift X Pro merupakan satu kerusi yang berkualiti dan sangat selesa untuk digunakan, manakala rekaan edisi Deadpool juga cantik dan sangat bersesuaian bagi peminat-peminat pembunuh upahan yang bermulut celopar ini. Kerusi ini ditawarkan dengan harga RM1,399 tetapi pada waktu ini ditawarkan dengan harga promosi iaitu RM899 dan anda juga akan mendapat tetikus gaming TTRacing yang bernilai RM129 (selagi stok masih ada).

Leave a Reply