Filem Joker yang diterbitkan pada tahun 2019 merupakan satu filem yang saya boleh katakan filem terbaik untuk tahun tersebut, mungkin hanya berada di belakang Avengers: Endgame. Filem tersebut membawa satu penceritaan baharu di dalam dunia komik, dan ia satu perkara yang segar. Beberapa tahun kemudian, Todd Phillips kembali lagi selaku pengarah bersama dengan Joaquin Phoenix membawa semula watak Arthur Fleck ataupun Joker, namun mereka gagal untuk membawa satu filem dapat meneruskan penceritaan daripada filem pertama tetapi juga gagal untuk menghasilkan satu filem yang menarik.
Joker: Folie à Deux meneruskan terus penceritaan daripada filem pertama dengan Arthur Fleck sudah berada di dalam penjara. Diperlihatkan yang dia sekadar menyendiri sepanjang berada di dalam dan tidak melakukan sebarang masalah, namun keadaan bertukar apabila dia bertemu dengan Lee Quinzel lakonan Lady Gaga yang jatuh cinta terhadap Arthur ataupun dengan lebih tepat ‘Joker’. Pada masa yang sama pembicaraan Arthur Fleck di mahkamah juga bermula dengan peguamnya cuba untuk menjadikan Arthur Fleck dan Joker sebagai dua individu yang berbeza.
Oleh itu, saya boleh katakan filem ini meneruskan penceritaan mengenai Arthur Fleck seperti filem pertama tetapi ditambah lagi dengan penceritaan di dalam penjara dan juga penceritaan mengenai pembicaraan di dalam mahkamah tidak cukup dengan itu kesemua penceritaan ini disampaikan dengan elemen muzikal yang menjadi bahagian penting untuknya. Kepelbagaian penceritaan ini sepatutnya menjadikan filem ini lebih menarik akan tetapi setiap daripadanya terasa tidak berhubung dengan satu sama lain yang mengakibatkan penceritaan terasa janggal.
Pelbagai kejadian berlaku di penjara tetapi saya tidak dapat melihat gambaran yang besar mengenai kejadian-kejadian tersebut ataupun perhubungannya dengan bahagian filem yang lain. Bahagian mahkamah juga kurang menarik, ia sekadar memberi sebab untuk Arthur Fleck berhujah panjang, yang secara sendirinya bagi saya sedikit aneh manakala bahagian kemanusiaan yang menjadi kekuatan untuk filem pertama juga tidak sangat dilakukan dengan baik kali ini menjadikan keseluruhan penceritaan mengecewakan.
Satu-satunya perkara yang menghubungkan kesemua ini adalah perhubungan Arthur Fleck dan Lee Quinzel, walaupun begitu ia juga disampaikan dengan janggal dan tidak banyak perkembangan yang berlaku. Mereka berdua lebih kepada untuk membawa muzikal di dalam filem ini, yang saya boleh katakan selain lagu yang sedap untuk didengar nyanyian yang baik oleh kedua-dua mereka, secara amnya ia tidak sangat membantu di dalam menjadikan filem ini lebih menarik ataupun membantu di dalam penyampaian penceritaan, saya sekadar keliru mengapa mereka mengambil keputusan untuk menjadikan filem ini, satu filem muzikal.
Satu lagi masalah besar filem ini, saya dapat merasakan yang penceritaan cuba untuk membina satu kisah, pembinaan tersebut dilakukan dengan perlahan tetapi saya dapat merasakannya, berbanding memasuki bahagian klimaks untuk kisah tersebut, filem ini bagaikan menekan brek dan melakukan u-turn yang membuatkan saya keliru dengan apa yang berlaku. Ini juga memberi kesan kepada pengakhiran filem ini yang saya masih faham apa yang cuba disampaikan tetapi pada masa yang sama ia tidak akan memberikan perasaan yang baik, ataupun apa-apa perasaan apabila keluar daripada pawagam berbeza dengan pengakhiran filem pertama yang memberi kepuasan dan pada masa membuka ruang untuk perbincangan yang berlainan.
Perkara yang positif yang saya boleh katakan mengenai filem ini, Joaquin Phoenix masih membawa watak Arthur Fleck dengan baik, mungkin tidak akan memenanginya Oscars tetapi masih satu pembawaan yang baik. Begitu juga dengan Lady Gaga, cukup baik dengan peranan yang diberikan walaupun saya merasakan tidak mencukupi. Selain itu, filem ini juga dihasilkan dengan cantik, setiap adegan ataupun bingkai-bingkai di dalamnya disampaikan dengan memukau yang membuatkan saya kecewa kerana ia bagaikan satu buku dengan muka depan yang cantik dan menarik tetapi di dalamnya kosong.
Akhir kata, Joker: Folie à Deux boleh dikatakan sebagai satu filem yang tidak pasti identitinya, ia meneruskan penceritaan kemanusiaan seperti filem pertama, ditambah dengan penceritaan di dalam penjara dan juga penceritaan di mahkamah akan tetapi tiada mana-mana bahagian yang disampaikan dengan baik membuatkan kesemuanya bercelaru. Ini lebih mengecewakan kerana barisan pelakon masih membawa lakonan yang berkualiti dan filem ini juga disampaikan dengan sangat cantik, malangnya pengisiannya tidak jelas dan boleh dikatakan kosong.