Disney+ Hotstar sebelum ini telah mengumumkan yang filem Inside Out 2 akan disiarkan di platform tersebut bermula pada 25 September 2024 ini, dan mereka juga telah mengesahkan yang ia akan menyertakan alih suara bahasa Melayu.
Bagi alih suara ini, ia akan melibatkan bakat-bakat tempatan seperti Wan Tamlikha, Masny Salleh, Azman Hassan, Atiqah Zawani, Nurazlin Ismail, Azeera Nazir, Kharul Izwan Idahan, Mardiana Ismail dan juga Sarah Adriana yang merupakan ahli kumpulan QUVRTZ.
Alih suara ini akan menyertakan pelbagai slang tempatan seperti kantoi, kasi chan, relaks, dan jia you. Mereka juga telah berkongsi terjemahan untuk nama-nama emosi:
| Bahasa Inggeris | Bahasa Melayu |
| Joy | Ceria |
| Sadness | Sedih |
| Anger | Marah |
| Fear | Takut |
| Disgust | Jijik |
| Anxiety | Resah |
| Envy | Iri |
| Ennui | Cemuih (loghat Kedah, dan Ennui juga akan bercakap menggunakan loghat tersebut) |
| Embarrassment | Malu |
| Nostalgia | Nostalgia |
Inside Out 2 merupakan filem animasi dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman selepas mengutip $1.675 bilion mengatasi Frozen II yang memegang takhta ini sejak tahun 2019.
Ia merupakan filem susulan kepada Inside Out yang diterbitkan pada tahun 2015 dan mengikut watak utama yang sama iaitu Riley Andersen bersama dengan watak-watak emosi yang berada di dalamnya. Melalui ulasan, kami mengatakan yang filem ini menarik walaupun kurang beremosi seperti filem yang pertama.
Baca: Ulasan Inside Out 2
Disney+ Hotstar boleh dilanggan dengan RM24.90 sebulan untuk Basic dan RM39.90 untuk Premium, ia juga ditawarkan secara setiap suku tahun dan tahunan.


