Musim kedua untuk The Lord of the Rings: The Rings of Power membawa satu penceritaan yang menarik untuk mengembangkan lagi kisah dan dunia yang dihasilkan oleh J. R. R. Tolkien akan tetapi boleh dikatakan siri ini cuba melakukan terlalu banyak perkara pada masa yang sama mengakibatkan tiada watak yang benar-benar menyerlah begitu juga dengan penceritaan yang terasa terlalu kucar kacir membuatkan segala impak tidak terasa.
Musim baharu ini bermula tidak lama selepas kejadian di dalam musim pertama, Sauron ataupun Halbrand telah menghasilkan tiga cincin yang dikatakan dapat mengelakkan daripada Lothlorien tempat beradanya kerajaan Elf di Middle-earth daripada gugur. Raja Gil-galad dan Galadriel bertegas untuk terus menggunakan cincin tersebut kerana mereka tidak mempunyai pilihan yang lain, akan tetapi Elrond tidak menyukai idea tersebut kerana cincin tersebut dihasilkan oleh Sauron.
Oleh kerana tiada pilihan lain, mereka Gil-galad dan Galadriel memakai cincin tersebut, dan menyelamatkan Lothlorien. Galadriel kemudian mengalihkan fokus-nya untuk mencari Sauron dan merasakan cincin tersebut dapat membantunya untuk menjejak. Elrond sekali lagi tidak percaya untuk Galadriel berseorangan kerana risau dia akan dipergunakan oleh Sauron sekali lagi.
Selain daripada itu, siri ini juga meneruskan lagi penceritaan untuk ‘The Stranger’ bersama dengan Harfoot, Isildur yang disangkakan sudah mati, kisah Theo bersama dengan Arondir dan juga perebutan kuasa yang sedang berlaku di Numenor.
Di dalam menyampaikan pelbagai kisah ini yang sudah semestinya membuatkan pengisian padat akan tetapi kerana sukar untuk memberi fokus kepada sesuatu penceritaan, saya tidak merasa menarik untuk mengikuti mana-mana kisah ini, semasa satu kejadian sedang berlaku, apabila hampir sampai puncak, penceritaan beralih ke kisah yang lain dan mungkin sedang di dalam pertengahan ataupun pada awal penceritaan yang membuatkan pacing penceritaan terasa tidak jelas.
Perkara ini juga memberi kesan kepada perkembangan watak, musim lepas fokus diberikan kepada Galadriel, manakala bagi musim ini, fokus lebih diberikan kepada Sauron yang sedang merancang untuk menghasilkan lebih banyak cincin untuk puak Dwarf dan juga puak Manusia selepas menghasilkannya untuk Elf. Digambarkan dalam siri ini dia menggunakan tipu helah, yang bagi saya membuatkan wataknya lemah dan kurang menarik jika difikirkan siapa Sauron sebenar. Walaupun menjadi fokus, watak Sauron juga tidak dikembangkan dengan baik.
Galadriel yang tidak lagi menjadi fokus lebih lagi terkesan, kerana saya merasakan wataknya penting pada awal musim ini sahaja, episod-episod seterusnya penglibatannya terasa sangat kurang dan menyukarkan saya untuk merasai yang Galadriel akan menjadi watak penting di dalam siri ini. Watak lain juga mempunyai masalah yang sama, oleh kerana siri ini sering bertukar-tukar kisah, setiap watak diberikan ruang yang terhad untuk dikembangkan dan saya tidak merasakan ada watak yang benar-benar berjaya untuk menjadi menarik.
Siri ini juga mempunyai masalah di dalam memaksa perhubungan di antara watak, contohnya Theo dengan Arondir ataupun Isidul dengan seorang watak baharu, saya faham yang siri ini cuba memberi lapisan baharu di dalam penceritaan tetapi perhubungan mereka gagal untuk berkembang dengan baik. Perkara ini menjadikan satu gangguan untuk pergerakan penceritaan secara keseluruhan, ada masa, ia juga disertakan ketika bahagian klimaks untuk penceritaan yang berlainan.
Akhir kata, The Lord of the Rings: The Rings of Power mempunyai banyak penceritaan yang menarik untuk disampaikan, akan tetapi mungkin terlalu banyak dan penyampaian juga kurang berkesan yang menyebabkan musim ini kurang menarik dengan kesemua penceritaan tidak dikembangkan dengan baik. Perkara yang sama juga untuk perwatakan dengan watak seperti Sauron dan Galadriel gagal untuk menyerlah pada musim ini, tambahan lagi watak-watak sampingan yang lain.