Dengan lambakan perkhidmatan penstriman, mungkin tidak terkejar untuk mengetahui kandungan-kandungan terbaru yang mula ditawarkan di perkhidmatan tersebut. Oleh itu, melalui segmen terbaru ini, pada setiap hari Jumaat kami akan kongsikan lima kandungan terbaru ataupun kandungan lama yang baru sahaja boleh distrim di mana-mana perkhidmatan penstriman termasuk juga yang perlu dibeli atau disewa di Apple TV Store dan Google TV Store.
Bagi minggu ini, berikut adalah 5 kandungan menarik yang anda boleh strim:
Kabut Berduri
Platform: Netflix
Filem Indonesia ini memfokuskan kepada seorang detektif iaitu Sanja lakonan Putri Marino yang menyiasat mengenai pembunuhan berlaku di sempadan Malaysia dan Indonesia. Filem ini diarahkan oleh Edwin yang juga merupakan penulis bersama dengan Ifan Ismail.
A Good Girl’s Guide to Murder
Platform: Netflix
Siri ini memfokuskan kepada Pip Fitz-Amobi lakonan Emma Myers cuba untuk menyiasat mengenai pembunuhan Andie Bell yang berlaku pada lima tahun lepas. Teman lelaki Andie Bell, Sal Singh telah dituduh melakukannya tetapi kebenaran mungkin berlainan daripada yang dijangkakan.
Batman: Caped Crusader
Platform: Prime Video
Bruce Timm pencipta siri animasi klasik Batman: The Animated Series kembali lagi dengan penceritaan baharu untuk adiwira DC ini. Melalui siri Caped Crusader ini, beliau cuba membawa penceritaan Batman yang lebih gelap dengan elemen noir.
Baca: Ulasan Batman: Caped Crusader
Carrie (1976)
Platform: Prime Video
Filem pertama yang mengadaptasi karya penulisan Stephen King ini diterbitkan pada tahun 1976 dengan arahan Brian De Palma dan senarai pelakon seperti Sissy Spacek, Amy Irving, Betty Buckley dan Nancy Allen. Mengadaptasi novel berjudul sama, filem ini adalah mengenai Carrie yang mempunyai kuasa telekinetik melakukan huru hara selepas tidak tahan dengan pembulian berlaku di sekolah.
Women in Blue
Platform: Apple TV+
Empat orang telah menjadi anggota polis wanita pertama di Mexico iaitu satu tempat yang sangat konservatif. Namun, mereka kemudian mendapati yang pelantikan mereka adalah untuk mengalih pandangan media daripada pembunuhan bersiri yang sedang berlaku.