Skip to main content

The Bear kembali dengan musim ketiga, dan selepas usaha Carmy dan rakan-rakan untuk menubuhkan restoran baharu The Bear menjadi pengakhiran pada musim lepas, musim ini bermula dengan pembukaan secara rasmi restoran tersebut. Seperti yang saya rasa, ramai jangkakan ia bukanlah pembukaan yang terbaik. Namun, musim ini tidak sepenuhnya sekadar memfokuskan kepada operasi restoran baharu ini tetapi ia juga memberi peluang untuk menceritakan kisah watak-watak seperti yang dilakukan di musim kedua tetapi untuk watak yang tidak diberikan peluang sebelum ini seperti Tina dan juga Natalie ataupun Sugar.

Bagi saya, musim ketiga ini adalah perantaraan di dalam apa yang dilakukan semasa musim pertama dan musim kedua. Ia menyertakan huru-hara di dapur, tetapi pada masa yang sama memberi peluang untuk kisah lain disampaikan termasuk juga kisah-kisah yang tidak berkait secara terus dengan restoran The Bear. Ini menjadikan penceritaan lebih perlahan, dan saya boleh katakan ia mempunyai pacing yang lebih kurang dengan musim kedua dan adan beberapa bahagian yang terasa lebih perlahan. Musim ini juga terasa masih melalui proses pembinaan plot berbanding menyampaikan bahagian klimaks untuknya.

Musim ketiga ini masih lagi satu tontonan yang baik dan saya menyukai setiap minit daripada setiap episod, akan tetapi saya juga boleh katakan yang berbanding dengan dua musim sebelum ini, ia mungkin musim yang paling lemah. Namun, dengan setiap episod sekitar 30 minit sahaja, saya tidak merasakan yang menonton kesemua sepuluh episod akan membosankan, walaupun secara binge walaupun mungkin selepas habis menontonnya, anda mungkin akan berharap ada sesuatu yang lebih lagi disampaikan berbanding apa yang ditawarkan.

Pada awalnya saya menjangkakan yang musim ini akan memfokuskan kepada The Bear yang akhirnya beroperasi, walaupun kebanyakan episod masih memperlihatkan keadaannya, dengan episod kedua contohnya sepenuhnya mengenai restoran tersebut tetapi episod lain sekadar perkara yang sama daripada episod tersebut. Bahkan, bagi saya episod terbaik pada musim ini adalah episod yang memfokuskan kepada Tina yang menceritakan bagaimana dia dapat bersama dengan The Beef manakala penceritaan Sugar pula meneruskan kisah daripada episod 6 musim lepas, iaitu mengenai perhubungan dengan ibunya.

Perkara yang bagi saya paling jelas menjadikan musim ini, bukan musim terbaik berbanding musim-musim sebelum ini, ia tidak mempunyai satu ‘pengakhiran’. Musim-musim sebelum ini juga mempunyai pengakhiran yang terbuka untuk dikembangkan lagi, akan tetapi katakan FX mengambil keputusan untuk tidak melakukan musim ketiga, saya tidak akan mempunyai banyak masalah, akan tetapi jika mereka mengatakan yang musim keempat tidak akan berlaku (sudah disahkan akan berlaku) saya akan kecewa dan ia menjadikan musim ketiga lebih tidak menarik, kerana pengakhiran-nya benar-benar memerlukan musim seterusnya.

Akhir kata, The Bear musim ketiga ini mungkin musim yang paling lemah dari segi penceritaan, akan tetapi ia masih satu tontonan yang baik dengan lakonan yang baik daripada kesemua pelakon. Namun, berbanding memberi satu penceritaan yang lengkap tetapi membuka ruang untuk dikembangkan lagi, musim ini benar-benar memerlukan ia disambung lagi untuk menjadikan penceritaan yang lebih lengkap. Jika mengharapkan yang siri ini lebih memfokuskan kepada operasi restoran The Bear, anda mungkin kecewa tetapi ia tidak semestinya bukan perkara yang tidak baik kerana dua episod terbaik bagi saya adalah episod yang langsung tidak berkait dengan restoran tersebut.

The Bear Musim 3 sudah boleh ditonton di Disney+ Hotstar.

The Bear (Musim 3)
The Bear musim ketiga ini mungkin musim yang paling lemah dari segi penceritaan, terutama kerana ia tidak memberi penceritaan yang lengkap dan memerlukan musim seterusnya. Namun, ia masih satu tontonan yang baik dengan tiada episod yang membosankan.
Positif
Lakonan berkualiti tinggi
Masih memberi ruang untuk mengembangkan watak
Negatif
Penceritaan tidak lengkap
Ada bahagian terasa terlalu perlahan
8

Leave a Reply

Final Score