Senua’s Saga: Hellblade II merupakan permainan susulan kepada Hellblade: Senua’s Sacrifice yang dilancarkan pada tahun 2017, ia juga merupakan permainan pertama yang dibangunkan oleh Ninja Theory sebagai studio di bawah Xbox Game Studios. Permainan kedua ini seperti yang pertama mementingkan kepada pengalaman permainan yang curated oleh pembangun dan pemain akan lebih kepada mengalami permainan berbanding ‘bermain’.
Perkara ini mungkin mencetus perdebatan mengenai adakah pengalaman sebegini mencukupi untuk digelar sebagai permainan video. Secara peribadinya, saya tidak mempunyai sebarang masalah untuk menggelarkan Hellblade sebagai satu permainan video, bahkan saya juga tidak mempunyai sebarang masalah dengan kurangnya ‘bermain’ di dalam permainan ini. Ini adalah kerana pengalaman yang diberikan sudah mencukupi untuk membuatkan saya berpuas hati memegang alat kawalan bermain permainan ini.

Pengalaman yang saya katakan pertamanya adalah kualiti grafik dan visual, saya bermain permainan ini di Xbox Series X dan di PC, dengan menggunakan PC saya menggunakan spesifikasi seperti di bawah, saya dapat bermain dengan tetapan tertinggi dan menggunakan DLSS untuk mendapat kadar kelancaran secara purata melebih 60FPS. Permainan ini kelihatan sangat cantik di kedua-dua platform yang saya mainkan.
- CPU: AMD Ryzen 5 3600
- GPU: NVIDIA GeForce RTX 4070 Super
- RAM: 16GB
Senua, serta watak-watak lain bersama dengan rekaan persekitaran menyampaikan apa yang ingin disampaikan dengan baik sekali. Oleh kerana, permainan ini memfokuskan kepada keadaan yang suram dengan peperangan berlaku di merata-rata, rekaan dunia tidaklah berwarna-warni ataupun cerita, tetapi tempat-tempat yang disertakan di dalam permainan ini masih menarik untuk dialami dan benar-benar memberi gambaran keadaan semasa dunia pada waktu ini, ia juga menjadikan bahagian-bahagian seram disampaikan dengan berkesan.
Seterusnya adalah audio dan juga rekaan bunyi, seperti permainan pertama, Hellbalde II juga menggunakan audio binaural yang membuatkan suara di dalam kepala Senua didengari daripada kedudukan berbeza, menggambarkan personaliti berlainan Senua yang sedang bercakap dengannya. Perkara ini, bersama dengan rekaan bunyi persekitaran dan juga kesan bunyi lain, digunakan dengan sangat baik untuk memberikan pengalaman audio yang berkualiti tinggi.
Sebagai satu permainan video, Hellblade II masih menyertakan tatamain yang saya boleh nyatakan, pertama yang paling jelas adalah pengembaraan. Permainan ini masih lagi satu permainan yang linear, dengan hanya terdapat beberapa kawasan yang saya boleh pergi ke kira ataupun ke kanan, rumah yang boleh dimasuki, tetapi ia bukanlah permainan dengan kawasan yang luas, seperti yang saya nyatakan ia bukan satu masalah kerana kawasan yang diberikan sudah mencukupi untuk menyampaikan apa yang pembangun ingin sampaikan.
Selain pengembaraan untuk menuju ke destinasi, di kawasan yang terhad ini, saya juga boleh memilih untuk mencari collectible yang dibahagikan kepada dua iaitu Lorestangir di mana saya perlu mencari totem yang tersembunyi, seterusnya adalah laluan rahsia yang tersorok di belakang batu yang membentuk muka. Mengumpul perkara ini tidaklah sukar, akan tetapi jika anda memasuki kawasan baharu, tidak lagi boleh kembali ke kawasan sebelum ini. Jika terlepas collectible di kawasan tersebut, perlu bermain sehingga tamat, dan menggunakan pilihan bab untuk mencarinya semula. Mencari kesemua ini, ada memberikan sedikit lore akan tetapi secara amnya ia tidak lagi menarik untuk dilakukan.

Bagi pertempuran pula, saya boleh katakan ia lebih ringkas berbanding permainan pertama, tetapi ia lebih bersesuaian dengan pengalaman yang ingin diberikan di dalam permainan ini. Ia tidak sukar, tetapi setiap pergerakan terasa seperti sesuatu yang berlaku di dalam cutscene pergerakan yang saya pilih tidak kira mengelak, ataupun menyerang, mempunyai pergerakan yang bersesuaian dengan keadaan semasa. Saya menganggapnya sebagai pertempuran cinematic yang mungkin mengecewakan bagi yang inginkan cabaran tetapi lebih menarik untuk dilihat.
Bagi saya pengembaraan, collectible dan juga pertempuran walaupun terasa ringkas, tetapi ia bersesuaian dengan pengalaman yang ingin disampaikan oleh Ninja Theory. Lebih mengecewakan bagi saya adalah penceritaan, bagi saya penceritaan yang disampaikan terasa terlalu ringkas dan mendatar. Senua sendiri perwatakannya kurang dikembangkan berbanding permainan pertama menjadikan pengalaman penceritaan tidak sekata dengan pengalaman permainan ini, tambahan lagi dengan pacing terasa kurang berkesan. Saya juga kurang menyukai perubahan untuk menjadikan Senua sebagai ‘hero’ berbanding dia melawan diri sendiri seperti permainan pertama.
Akhir kata, Senua’s Saga: Hellblade II merupakan satu permainan yang jelas ingin disampaikan mengikut acuan Ninja Theory, dan untuk kebanyakan bahagian ia benar-benar memberikan pengalaman yang memuaskan, terutama grafik, audio dan beberapa elemen tatamain seperti pertempuran yang walaupun dijadikan ringkas tetapi bersesuaian dengan acuan tersebut. Namun, saya mengharapkan untuk permainan dengan pengalaman sebegini, ia akan menjadi jauh lebih baik jika penceritaan yang disertakan lebih menarik ataupun lebih mendalam.
Senua’s Saga: Hellblade II sudah dilancarkan untuk Xbox Series dan PC, turut disertakan di dalam Game Pass.