Apple ketika acara WWDC hari ini telah berkongsi lanjut mengenai apa yang kita boleh jangkakan daripada iOS 18 iaitu versi terbaru bagi sistem operasi untuk iPhone tersebut. Antara yang diumumkan oleh mereka, ‘Game Mode’ akan turut ditawarkan untuk iOS 18.
Game mode pertama kali diperkenalkan untuk macOS Sonoma pada tahun yang lepas. Mod ini akan memberikan pengalaman yang khusus untuk bermain permainan video bagi mendapatkan kadar kelancaran yang lebih stabil dan mapan dengan mengurangkan aktiviti lain yang sedang dijalankan oleh iPhone.
Selain itu, Game Mode ini juga akan mengurangkan pendaman semasa menggunakan AirPods dan juga menggunakan alat kawalan seperti DualSense dan alat kawalan Xbox dengan meningkatkan kadar persampelan Bluetooth.
iOS 18 dijangka akan tiba pada bulan September atau Oktober.