Ulasan Bad Boys: Ride or Die

Bad Boys: Ride or Die merupakan filem keempat di dalam siri filem Bad Boys dan sekali lagi di arahkan oleh gandingan Adil El Arbi dan Bilall Fallah. Kedua-dua mereka menghidupkan semula francais ini selepas dorment selama 17 tahun, melalui filem Bad Boys for Life yang menjadi filem terbaik, dan mereka sekali lagi mengangkat filem ini lebih tinggi melalui Ride or Die yang kini menjadi filem terbaik untuk francais ini.

Filem ini bermula dengan Mike Lowrey lakonan Will Smith berkahwin akan tetapi majlis tersebut terhenti apabila Marcus Burnett lakonan Martin Lawrence terkena serangan jantung, namun, berbanding membuatkan dia berhati-hati Marcus Burnett sebaliknya merasakan dia tidak akan mati dalam masa terdekat dan mula melakukan perkara-perkara yang berbahaya. Keadaan menjadi bercelaru apabila bekas ketua mereka iaitu Conrad Howard yang mati ditembak pada filem yang lepas dituduh mengambil rasuah daripada pengedar dadah. Oleh itu, fokus utama Mike Lowrey dan Marcus Burnett di dalam filem ini adalah untuk membersihkan nama bekas ketua mereka tersebut, yang juga berkait dengan anak kepada Mike Lowrey iaitu Armando Aretas lakonan Jacob Scipio yang berada di dalam penjara selepas kejadian di dalam filem ketiga.

Seperti yang saya nyatakan di atas, Ride or Die meneruskan perkara yang baik daripada filem Bad Boys for Life dan mengembangkan lagi, penceritaan disampaikan dengan keseimbangan yang baik di antara komedi, drama dan aksi. Ini dibantu terutamanya dengan premis untuk membersihkan nama Conrad Howard seseorang yang mereka sangat respek, ditambah lagi dengan perkara ini melibatkan orang atasan di dalam penguatkuasa undang-undang. Filem ini juga mula melibatkan keluarga mereka berdua yang memberi lapisan baharu untuk penceritaan dan membawa elemen drama yang baik untuknya.

Bagi bahagian aksi pula, untuk filem Bad Boys for Life saya mengatakan yang aksinya adalah di antara filem Fast & Furious dan John Wick dan bagi Ride of Die ia menjadi lebih kearah John Wick. Secara keseluruhannya ia masih tidak mencapai tahap kekemasan aksi di dalam filem John Wick, akan tetapi Ride of Die berjaya untuk menjadikannya bukan sahaja menarik, tetapi dengan melakukan beberapa gaya yang berbeza termasuk juga secara first person ia adalah satu filem aksi yang segar dan memberi nafas baharu untuk Mike Lowrey dan Marcus Burnett yang kita boleh katakan sudah berumur. Pada masa yang sama, filem ini juga memberi peluang kepada watak-watak lain untuk memperlihatkan adegan aksi mereka tersendiri seperti Armando Aretas yang bagi saya mempunyai aksi pertempuran terbaik di dalam filem ini dan juga anak Marcus Burnett sendiri.

Kekurangan yang saya boleh katakan hadir di dalam filem ini adalah suntingan untuk beberapa bahagian yang terasa janggal terutama semasa peralihan adegan dan juga dialog yang ada masa terhenti secara tiba-tiba, ataupun memperlihatkan satu adegan yang tidak menyambung ataupun tidak menjadi pembukaan kepada apa-apa, ia sekadar kendiri sahaja. Satu lagi juga masalah yang sama daripada filem sebelum ini, iaitu filem ini memperkenalkan watak jahat dengan baik yang kali ini ialah James McGrath lakonan Eric Dane akan tetapi kemudian kurang menyerlah apabila penceritaan berlanjutan, namun watak James McGrath ini masih menjadikan stake lebih tinggi daripada biasa.

Akhir kata, saya tidak pasti jika francais Bad Boys akan diteruskan lagi selepas ini, tetapi melalui filem ini terbukti yang Mike Lowrey dan Marcus Burnett masih relevan dan mereka baru sahaja mempunyai filem terbaik di dalam francais ini. Filem ini melakukan kerja yang baik di dalam mengimbangkan bahagian komedi, drama dan aksi. Ia adalah satu tontonan yang menyeronokkan dan bagi peminat adegan aksi, filem ini memberikannya dengan sangat memuaskan.

Bad Boys: Ride or Die akan mula ditayangkan pada 13 Jun 2024.

Bad Boys: Ride of Die
Filem ini membuktikan yang Mike Lowrey dan Marcus Burnett masih relevan dan mereka baru sahaja mempunyai filem terbaik di dalam francais ini. Filem ini melakukan kerja yang baik di dalam mengimbangkan bahagian komedi, drama dan aksi.
Positif
Penceritaan yang seimbang untuk komedi, drama dan aksi
Melibatkan lebih ramai watak
Adegan aksi memuaskan
Negatif
Beberapa pilihan suntingan yang janggal
Watak jahat utama kurang digunakan
8

Sohor Kini