Sebelum ini kami sudah melaporkan yang penyesuai PlayStation VR2 (PS VR 2) untuk PC sudah tersenarai di RRA Korea Selatan, dan minggu ini, PlayStation telah mengumumkan secara rasmi penyesuai tersebut dan juga sokongan rasmi akan tiba pada 7 Ogos 2024.
Cara pemasangan adalah dengan menyambung PS VR2 ke penyesuaian, kemudian penyesuai disambung ke PC menggunakan DispalyPort 1.4 (kabel perlu dibeli secara berasingan). Pengguna kemudian perlu memuat turun aplikasi PS VR2 dan SteamVR daripada Steam.
Ini merupakan satu berita baik untuk pemilik PS VR2 yang turut memiliki PC, akan tetapi agak mengecewakan sokongan di PC ini tidak disertakan bersama dengan beberapa fungsi iaitu HDR, headset feedback, penjejak mata, picu penyesuai, dan haptik tidak disokong.
PS VR2 juga memerlukan PC dengan spesifikasi yang mencukupi seperti berikut:
- CPU: Intel Core i5-7600 / AMD Ryzen 3 3100 atau yang lebih baik
- GPU: NVIDIA GeForce GTX 1650 / AMD Radeon RX 5500XT / AMD Radeon RX 6500XT atau yang lebih terbaru
- RAM: 8 GB atau lebih
Penyesuai ini ditawarkan dengan harga RM279 di Malaysia dan akan tiba pada tarikh yang sama secara global iaitu 7 Ogos 2024.