Dunia gaming seperti diterbalikkan pada hujung minggu ini, apabila para pemain permainan penembak Helldivers 2 dikejutkan dengan keputusan Sony dan pembangun permainan tersebut, Arrowhead Game Studios untuk memaksa para pemain PC untuk memautkan sebuah akaun PSN ke akaun Steam mereka.
Kemaskini ini sepatutnya berkuat-kuasa pada hari ini, 6 Mei 2024 dan mereka yang tidak memautkan akaun PSN kepada akaun Steam untuk pemain PC tidak akan dibenarkan untuk melog masuk kepada permainan tersebut.
Mengeruhkan keadaan ialah keputusan Sony untuk menghentikan jualan permainan tersebut di negara-negara dimana penduduknya tidak boleh mendaftar untuk akaun PSN. Ini termasuklah jualan di PlayStation Store dan juga Steam untuk negara-negara seperti Filipina, majoriti negara-negara Afrika, Rusia, Ukraine dan sebagainya. Setakat ini, akaun PlayStation Network hanya boleh didaftar di 69 buah negara.
Pihak eksekutif Sony mungkin telah melihat ulasan negatif di platform Steam yang meningkat kepada lebih 200 ribu dalam masa satu hujung minggu sahaja, kerana mereka baru sahaja mengeluarkan ciapan yang mengatakan bahawa keperluan untuk memautkan akaun PSN ke Steam hari ini telahpun ditarik-balik, membolehkan pemain PC untuk bermain permainan tersebut seperti biasa.
Menurut ciapan tersebut, pihak Sony akan mencari jalan terbaik untuk membolehkan orang ramai memainkan permainan tersebut secara meluas, tetapi membolehkan pemain PC untuk mendaftar akaun PSN dengan lebih mudah.