Seperti bahagian pertama untuk siri Star Wars: Tales iaitu Star Wars: Tales of the Jedi yang mengikuti dua watak, Star Wars: Tales of the Empire juga melakukan perkara yang sama dan mengikut kisah kehidupan Morgan Elsbeth dan juga Barriss Offee. Seperti bahagian pertama juga, dua watak ini mempunyai penceritaan yang boleh dikatakan laluan yang berbeza. Bagi yang mengikuti dekat Star Wars, watak Morgan Elsbeth dan juga Barriss Offee mungkin sudah dikenali dan anda boleh jangkakan apa yang saya maksudkan laluan yang berbeza, bagi anda yang tidak mengetahui saya tidak akan beber mengenainya tetapi cukup sekadar mengetahui yang penceritaan mereka boleh dikatakan mencapah antara satu sama lain.

Bagi kisah Morgan Elsbeth ia bermula dari awal lagi dengan melihat bagaimana dia kehilangan segalanya dan mendorong untuk dia menjadi dirinya pada waktu ini. Ia disampaikan dengan ringkas, melalui tiga episod memfokuskan kepadanya saya merasakan tidak mencukupi untuk benar-benar memperlihatkan perwatakannya, tetapi mencukupi untuk memperlihat dorongan tindak tanduknya. Jika anda menonton siri Ahsoka, mengetahui kisah Morgan Elsbeth sebelum wataknya di dalam siri tersebut, sudah semestinya ia menarik dan memberi lebih latar belakang, terutama bagi yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai watak ini.
Perkara yang sama saya boleh katakan untuk tiga lagi episod yang memfokuskan kepada Barriss Offee, dan meneruskan penceritaan selepas nasibnya di dalam Star Wars The Clone Wars, sekali lagi saya tidak akan beberkan apa yang berlaku tetapi saya boleh katakan yang perjalanannya berbeza dengan Morgan Elsbeth. Berbanding Morgan Elsbeth, saya boleh katakan perwatakan untuk Barriss Offee disampaikan dengan lebih jelas, mungkin kerana perwatakannya lebih ringkas jika ingin dibandingkan dengan Morgan Elsbeth menjadikan kisahnya lebih mudah untuk diikuti dan sekali gus menjadi lebih menarik walaupun mempunyai durasi yang lebih sama dengan 3 episod sebelum ini.

Enam episod untuk Star Wars: Tales of the Empire ini bagi saya seperti bahagian pertama untuk siri ini, dan juga merupakan tujuan utama bagi siri ini bukanlah ingin membawa sesuatu yang besar di dalam penceritaan Star Wars, tetapi lebih kepada memberi ruang untuk saya mengenali dengan lebih lanjut mengenai mereka walaupun saya lebih menyukai jika penceritaan melihat ke-depan berbanding ke-belakang, terutama dengan penceritaan yang secara amnya tidak lah terlalu penting untuk diketahui. Namun, dengan durasi yang sangat pendek, bagaikan sekadar menonton satu filem sahaja, ia masih lagi satu tontonan yang baik.
Tambahan pada itu, animasi juga dilakukan dengan cukup memuaskan. Menggunakan arahan seni yang sama sahaja seperti siri animasi lain seperti bahagian sebelum ini dan juga siri The Bad Batch, ia kelihatan baik kecuali apabila perkara yang berkait dengan tanah kerana bagi saya ia masih kelihatan murahan berbanding perkara-perkara yang lain. Bersama dengan animasi, bunyi juga dilakukan dengan memuaskan, tidak kira bunyi haiwan, lightsaber ataupun blaster dan juga bunyi kapal-kapal yang sudah semestinya menjadi kebiasaan untuk peminat.

Akhir kata, Star Wars: Tales of the Empire tidak mempunyai sesuatu yang besar di dalam penceritaan Star Wars tetapi masih mencukupi untuk membawa kisah tambahan kepada kedua-dua watak yang terlibat iaitu Morgan Elsbeth dan Barriss Offee. Saya boleh samakan kisah ini, seperti satu misi sampingan yang menarik untuk dilakukan tetapi tidak memberi impak yang besar di dalam penceritaan secara keseluruhannya walaupun mempunyai perhubungan dengan misi utama.
Star Wars: Tales of the Empire akan disiarkan di Disney+ Hotstar pada 4 Mei 2024.