Star Wars: Tales of the Jedi adalah siri animasi baharu di Disney+ Hotstar. Kali ini ia hadir dengan format pendek dan dalam bentuk antologi, di mana setiap episod mempunyai cerita tersendiri yang berlaku di masa berlainan tetapi masih berkait dengan dunia Star Wars. Siri animasi ini berlaku ketika era prekuel, iaitu The Phantom Menace, Attack of the Clones dan Revenge of the Sith.
Tales of the Jedi akan memfokuskan kepada dua watak iaitu Ahsoka Tano dan Count Dooku, menceritakan bagaimana seorang menjadi Jedi dan seorang lagi daripada Jedi berubah menjadi Sith Lord. Siri animasi ini dihasilkan oleh Dave Filoni iaitu individu di sebalik animasi Clone Wars, Rebels, Bad Batch dan siri aksi nyata The Mandalorian serta The Book of Boba Fett.
Siri animasi pendek ini menyertakan ramai pelakon suara daripada Clone Wars seperti Ashley Eckstein sebagai Ahsoka Tano; Corey Burton sebagai Count Dooku; Liam Neeson kembali sebagai Qui-Gon Jinn, sementara anak beliau Micheál Richardson sebagai Qui-Gon Jinn muda; Janina Gavankar, TC Carson, Ian McDiarmid, Phil Lamarr, Clancy Brown, Matt Lanter dan James Arnold Taylor.
Untuk episod Life and Death, Justice, The Sith Lord, Practice Makes Perfect dan Resolve, kelima-lima episod ini dicipta, ditulis dan dipantau oleh Dave Filoni sendiri. Episod Life and Death diarahkan oleh Nathaniel Villanueva, sementara episod empat episod lain diarahkan oleh Saul Ruiz. Episod keenam iaitu Choices ditulis oleh Charles Murray dan Élan Murray dengan Murray turut menjadi pengarah.
Seperti yang aku katakan tadi, siri animasi ini adalah daripada David Filoni orang yang sama menghasilkan Clone Wars – jadi rekabentuk animasinya adalah sama sahaja. Ia adalah animasi 3D dengan sedikit seni 2D yang nampak cantik pada beberapa adegan, tetapi apabila ada banyak pergerakan ia adalah satu animasi asas. Ia baik, cuma bukan betuk animasi yang aku gemari – malah Mechamato atau Ejen Ali mempunyai pergerakan yang lebih baik pada aku. Disebabkan ini juga, sehingga hari ini aku masih belum tonton Clone Wars, Rebels dan Bad Batch.
Runut bunyi dalam animasi ini juga agak menarik kerana ia mampu membuatkan hati aku berdebar memberikan emosi yang sesuai pada setiap bahagian tertentu seperti aksi, detik sedih atau konflik. Tales of the Jedi adalah animasi pendek dengan setiap episod sekitar 10 minit ke 15 minit sahaja, ia juga adalah sebuah antologi dengan setiap episod berlaku pada masa berlainan dengan cerita berbeza. Untuk aku yang tidak menonton Clone Wars, aku rasakan ia cukup menarik jika sekadar hanya ingin mengenali serba sedikit sejarah Ahsoka Tano dan Count Dooku yang tidak pernah diceritakan sebelum ini.
Dalam siri animasi ini, tiga episod akan menceritakan kisah Ahsoka Tano dan tiga lagi mengenai Count Dooku. Episod pertama pada aku agak menarik,ia ringkas dan comel seakan kisah Baby Yoda/Grogu yang masih cuba memahami kuasa Jedi – tetapi ini berlaku pada Ahsoka Tano dan keluarga beliau. Episod ini memperlihatkan pelbagai aktiviti spesis Togruta.
Episod kedua mempelihatkan Count Dooku bersama Qui Gonn Jin ketika muda, di mana mereka cuba memepertahankan rakyat yang ditindas oleh senator kejam kerana korupsi. Tetapi di sini juga kita mengenali Count Dooku ini siapa, dan episod ini membuatkan aku berdebar kerana ingin saksikan siapakah Dooku ini dan apa yang berlaku pada beliau?
Tales of the Jedi diteruskan lagi dengan kisah Dooku dalam episop ketiga, di mana kali ini melibatkan Mace Windu di garis masa lain. Terdapat kematian seorang Jedi Master iaitu Katri dan Dooku mula marah ingin cuba dapatkan pembalasan tanpa mengikut perundangan Jedi dan tidak dipersetujui oleh Windu. Episod ini penuh dengan aksi Jedi menarik cuba menghentikan pembelot, yang turut membuatkan aku tidak duduk diam menyaksikan pertempuran ini.
Bertahun kemudian dalam episod empat, adalah antara kegemaran aku. Ia berlaku sekitar Phantom Menace – di mana Qui Gonn Jin bertempur dengan Darth Maul. Ia juga adalah episod yang membuatkan aku rasa tidak puas hati dengan Count Dooku, rasa marah serta terkejut dengan pendedahan detik beliau menyertai kegelapan dan mula berubah daripada seorang Jedi ke Sith Lord.
Dua episod terakhir ini memfokuskan Ahsoka Tano pula, ketika beliau remaja dan dalam proses berlatih menjadi Jedi. Ia memperlihatkan bagaimana Anakin sebagai Master yang tegas mendidik Ahsoka sebagai Padawan dengan bantuan oleh watak Clone Wars/Bad Batch. Aku kurang suka dengan episod ini, kerana ia tidak cukup memuaskan. Aku amat ingin tahu butiran lanjut kisah Ahsoka ketika ini dan ia juga membuatkan aku tidak sabar dengan siri aksi nyata Ahsoka akan datang.
Siri animasi ini ditamatkan dengan kisah sekitar Revenge of the Sith. Ia adalah zaman di mana Jedi adalah individu yang dikehendaki oleh pihak atasan dan Ahsoka sedang bersembunyi seperti kisah siri aksi nyata Obi-Wan Kenobi. Episod ini turut mempunyai aksi hebat Ahsoka serta menyertakan watak yang akan membuarkan penonton rasa marah. Penampilan Senator Organa turut ada dalam episod ini meyakinkan Ahsoka untuk menjadi wira. Episod ini amat ringkas, dan lebih kepada drama.
Star Wars: Tales of the Jedi adalah satu siri animasi ringkas yang padat dengan kisah menarik untuk aku terus mencintai francais Star Wars selepas kecewa dengan siri Obi Wan dan Boba Fett. Ia adalah penceritaan yang disampaikan secara terus, tidak meleret dan aku memahami apa yang patut. Untuk diri aku yang tidak tonton mana-mana siri animasi Star Wars, aku rasakan siri antalogi ini amat membantu untuk aku mengenali dengan lebih lanjut siapakah Ahsoka Tano dan siapakah Count Dooku. Walaupun ringkas, ia memberi pendedahan mendalam untuk dunia Star Wars.
Siri animasi ini mempunyai 6 episod, kesemuanya akan disiarkan di Disney+ Hotstar pada 26 Oktober 2022.