Skip to main content

Abigail merupakan satu filem yang saya boleh katakan seronok untuk ditonton tetapi tidak lebih daripada itu, dan untuk kebanyakan penonton ia sudah mencukupi. Jika anda mengambil tahu mengenai filem ini, Abigail mudah untuk dijangka, daripada menonton premis utama untuknya sudah jelas tetapi pada masa yang sama, terdapat beberapa bahagian yang kita boleh katakan sebagai plot twist yang tidaklah menjadikan filem ini lebih menarik tetapi mencukupi untuk mengembangkan lagi perwatakan dan juga penceritaan keseluruhannya.

Filem ini adalah mengenai 6 penjenayah iaitu Joey lakonan Melissa Barrera, Frank lakonan Dan Stevens, Rickles lakonan Will Catlett, Sammy lakonan Kathryn Newton, Peter lakonan Kevin Durand, dan Dean lakonan Angus Cloud yang dikumpulkan untuk satu kerja menculik seorang kanak-kanak iaitu Abigail lakonan Alisha Weir. Mereka diupah untuk membawa Abigail ke sebuah rumah dan menjaganya sehinggalah bapa Abigail membayar wang tebusan. Namun, tanpa pengetahuan mereka, Abigail merupakan vampire dan daripada menjadi mangsa, dia berubah menjadi pemangsa.

Penarik utama bagi filem ini adalah Abigail yang dilakukan dengan cukup baik, mengekalkan persona kanak-kanak tetapi pada masa sama sangat ganas sebagai vampire. Berbanding sekadar menyerang kesemua penjenayah ini, Abigail lebih bermain-main dengan mereka yang pada masa sama memberikan peluang untuk penjenayah-penjenayah ini mempunyai peluang untuk melawan baik. Namun, secara amnya buru memburu ini dilakukan dengan ringkas dan aksi-aksi ganas yang diperlihatkan juga cukup ganas, tetapi ia bukanlah satu filem seram.

Filem ini juga menjadikan komedi sebagai elemen utama, terutama melalui perwatakan 6 penjenayah yang bukanlah rakan, tetapi sekadar dikumpulkan untuk kerja ini. Setiap daripada mereka membawa personaliti tersendiri yang ada masanya menjadikan adegan-adegan yang melucukan. Dua watak yang menjadi penggerak utama ialah Joey dan juga Frank yang boleh dikatakan ‘ketua’ di dalam kumpulan ini, dan mereka berdua mempunyai lapisan tambahan di dalam perwatakan untuk menjadikan mereka lebih daripada sekadar penjenayah yang biasa.

Plot twist yang saya katakan sebelum ini hadir untuk memberi penceritaan tambahan yang memanjangkan lagi filem ini, ia juga membawa bahagian baharu di dalam penceritaan. Ia dilakukan dengan baik dan saya boleh katakan yang ia bukan seperti yang saya jangkakan bagaimana filem ini akan berakhir. Namun, kejutan ini tidaklah menjadikan filem ini lebih daripada bahagian-bahagian lain, tetapi mencukupi untuk memberi lapisan baharu kepada watak-watak yang terlibat.

Gandingan Matt Bettinelli-Olpin dan Tyler Gillett kali ini tidaklah membawa filem seperti Scream ataupun Scream VI tetapi lebih seperti Ready or Not yang ditayangkan pada tahun 2019. Ia mempunyai premis yang lebih kurang sama tetapi dengan mangsa dan pemangsa berubah, tetapi saya perwatakan serta penceritaan, termasuk juga bahagian plot twist memberikan filem Abigail lebih penceritaan dan menarik untuk disampaikan berbanding yang di bawa oleh Ready or Not.

Akhir kata, Abigail menyampaikan apa yang ingin disampaikan dengan mencukupi, saya tidak merasakan sesiapa yang menonton filem ini akan terasa tertipu ataupun mengharapkan sesuatu yang berbeza, kerana dengan jelas apa yang akan disampaikan. Filem ini tidak akan menjadi sesuatu yang diingatkan selepas berakhir, tetapi semasa menonton ia masih lagi akan memberikan pengalaman yang baik dengan adegan ganas dan juga babak-babak komedi membuatkan saya gelak tawa.

Abigail sedang ditayangkan di pawagam

Abigail
Abigail satu filem yang mencukupi untuk membawa elemen ganas dan komedi, walaupun hadirnya plot twist tetapi penceritaan secara keseluruhannya biasa sahaja dan seperti yang dijangkakan.
Positif
Abigail dilakukan dengan baik
Pelbagai watak 'menceriakan' lagi filem ini
Negatif
Penceritaan sekadar mencukupi
7

Leave a Reply