Permainan video merupakan satu penghasilan yang mempunyai pelbagai tujuan dan kegunaan, pada asasnya ia adalah sesuatu yang dimainkan oleh orang untuk berseronok, tetapi pada masa yang sama, permainan video telah menjadi lebih daripada itu. Ia menjadi satu produk yang membawa pelbagai pengajaran lain, menjadi medium untuk menyampaikan mesej dan menjadi sumber untuk yang mencari pedoman di dalam kehidupan. Oleh itu, adakah salah untuk sesuatu permainan sekadar menjadi perkara yang menyeronokkan? Tidak dan itu lah Stellar Blade.
Stellar Blade boleh dikatakan permainan yang mempunyai pelbagai arah, tetapi arah utamanya sendiri adalah untuk menjadi permainan yang tidak terhad kepada genre utamanya. Ia satu permainan yang cuba menyertakan pelbagai perkara yang menyeronokkan daripada pelbagai genre berbeza, dan di adunkan untuk menjadi satu permainan yang dari awal dan akhir membuat saya seronok untuk bermain. Namun, adunan ini bukan kesemuanya berkesan kerana ada perkara yang disertakan bertembung sesama sendiri yang membuatkan saya berfikir mereka seharusnya lebih memfokuskan kepada bahagian ini berbanding bahagian lain.
Di dalam permainan ini, saya mengawal watak bernama EVE yang merupakan sebahagian daripada skuad 7th Airborne yang diturunkan oleh koloni manusia di angkasa untuk membunuh Naytiba, iaitu raksasa yang telah mengawal dunia yang mengakibatkan tamadun manusia berakhir. Namun, semasa turun ke bumi, kapal skuad 7th Airborne dan mereka juga diserang oleh “Alpha Naytiba” iaitu Naytiba yang terkuat. Ini mengakibatkan kesemua ahli skuad terbunuh kecuali EVE yang berjaya diselamatkan oleh Adam iaitu seorang manusia yang menetap di bumi.
EVE kemudian meminta bantuan Adam untuk memburu kesemua Alpha Naytiba agar dapat menghentikan ancaman mereka buat selamanya. Adam bersetuju akan tetapi dia telah meminta EVE untuk membantu Xion iaitu penempatan terakhir untuk manusia di bumi. EVE bersetuju dan bermula pengembaraan mereka, yang pada awalnya kelihatan satu jalan yang ringkas tetapi menjadi lebih rumit apabila EVE mula mengetahui mengapa sesetengah manusia tidak menyukai skuad Airborne dan juga koloni manusia di angkasa.
Penceritaan yang disampaikan adalah sekadar mencukupi untuk memberi sebab kepada pengembaraan EVE, menjadi sebab untuk beberapa lagi watak diperkenalkan dan mencukupi untuk menghasilkan misteri yang disampaikan dengan baik bagi menjadikan setiap bahagian penceritaan mempunyai tarikan tersendiri. Malangnya, penceritaan tidak lebih daripada itu, selepas menghabiskan permainan ia bukan satu penceritaan yang akan diingatkan buat satu masa yang lama, selain daripada anda akan tertanya jika Stellar Blade akan menerima permainan susulan.
Perkara utama yang menghalang penceritaan untuk menjadi lebih baik, termasuk juga menjadikannya lebih beremosi bagi saya melalui rekaan watak. Kebanyakan watak di dalam permainan ini dihasilkan bagaikan menggunakan satu DNA yang sama, menarik individualiti daripada watak-watak ini yang menjadikan sukar untuk saya mempunyai perhubungan dengan mereka. Apabila berlaku adegan-adegan yang penuh emosi, ia kurang menjadi walaupun masih berkesan sebagai alat untuk menggerakkan penceritaan dan seperti saya katakan sebelum ini, walaupun kekurangan ini saya masih mempunyai masa yang baik dan seronok mengikuti penceritaan Stellar Blade.
Kekuatan utama Stellar Blade adalah pertempuran, rekaan peringkat dan pertempuran boss. Seperti saya nyatakan di dalam Pandang Pertama, sistem pertempuran di dalam permainan ini lebih grounded dan lebih teknikal berbanding hack-and-slash, oleh itu ia tidak boleh dimainkan dengan sekadar menekan mana-mana butang terutama jika bermain di tahap kesukaran yang Normal ataupun lebih tinggi. Saya boleh katakan yang permainan souls-like menjadi inspirasi kepada permainan ini, sekurang-kurangnya untuk bahagian awal. Ia baik untuk yang menyukai genre tersebut, pada masa sama masih memberi ruang yang mudah untuk diterima oleh pemain yang jarang bermain genre tersebut seperti saya.
EVE mempunyai satu jenis senjata sahaja, tetapi disertakan dengan pelbagai gaya serangan yang berbeza, beberapa lagi senjata jarak jauh, dan juga peralatan yang lain. Kesemua ini boleh digunakan bersama untuk memastikan pertempuran tidak terlalu sukar seperti souls-like tetapi masih mencabar dan perlu strategi yang berkesan. Bagi saya perkara yang paling penting di dalam pertempuran adalah kebolehan saya untuk mengelak dan juga parry serangan penjahat. Parry contohnya mempunyai pelbagai kelebihan selain daripada mengelak daripada terkena serangan, ia juga memberi ruang untuk saya melakukan serangan balas.
Selepas saya mendapat kuasa tambahan seperti ‘Burst’ di pertengahan permainan, pertempuran tidak lagi terasa seperti souls-like, untuk kesukaran, ia menjadi lebih kepada permainan aksi kerana saya kini mempunyai pelbagai lagi pergerakan yang boleh membantu. Saya tidak katakan ia adalah senang, kerana jika saya tidak berhati-hati, saya masih akan melihat paparan ‘Revive’. Perkara ini juga membantu untuk menjadikan permainan ini terasa segar kerana perbezaan pertempuran pada awal permainan terasa apabila mencapai tahap permainan yang lebih lewat.
Satu lagi perkara yang menjadikan permainan ini sentiasa terasa segar, ia tidak takut untuk mengubah genre pada pertengahan permainan, tanpa sebarang beberan saya boleh katakan permainan ini di beberapa bahagian berubah menjadi Dark Souls, Uncharted, bahkan Temple Run. Ada sahaja perkara yang berlainan digunakan untuk melakukan sesuatu bahagian, ia bagaikan satu permainan yang mempunyai beberapa pengarah dan setiap pengarah ingin menyertakan genre kegemaran mereka dan bagi saya ia dilakukan dengan jayanya untuk terus memastikan tatamain terasa segar.
Bagi rekaan peringkat dan juga pertempuran bos, apabila Stellar Blade memasuki kawasan yang menjadikan sesi permainan lebih linear, masa itu yang bagi saya permainan ini lebih menyerlah kerana ia memberikan pengalaman yang sangat memuaskan. Rekaan peringkat ini sangat pelbagai dan juga sangat kreatif. Ini ditambah lagi apabila kawasan tersebut berakhir dengan pertempuran bos yang mengujakan, dan memberi peluang untuk saya melakukan pergerakan berbeza tambahan pada itu, rekaan untuk setiap bos ini juga sangat menarik.
Pengembaraan di dalam permainan bagi saya ada yang baik dan kurang baik, baik kerana kawasan yang dihasilkan kelihatan menarik, tekaria yang digunakan untuk bahagian-bahagian berbeza juga pelbagai dan tidak membosankan. Ia kurang baik kerana mengembara di dalam permainan ini, yang akan dibahagikan kepada beberapa kawasan, ada masa membosankan kerana kurangnya perkara menarik yang berlaku, ia kelihatan menarik tetapi terasa kosong. Selain itu, saya juga tidak menyukai sistem simpanan dan juga fast travel yang digunakan, ia terasa sangat terhad, bagaikan mengambil konsep permainan souls-like dimasukkan ke dalam permainan aksi pengembaraan, ia bukan adunan yang baik.
Selain misi utama, EVE juga boleh melakukan pelbagai misi sampingan yang ada masa menyeronokkan tetapi ia terasa sama, kerana kebiasaan misi berakhir dengan tema yang sama, iaitu ada sahaja watak yang meninggal dunia. Ia digunakan untuk memperlihatkan yang dunia ini adalah dunia yang sukar, tetapi saya merasakan ia dilakukan terlalu kerap memberi kurang impak kepada keseluruhan. Namun, saya masih melakukan misi-misi ini dengan hati terbuka dan mempunyai masa yang baik melakukannya terutama misi yang menggunakan simbol ‘!’ dan bukan daripada Bulletin Board.
Stellar Blade mempunyai tiga pilihan grafik, yang mementingkan Frame Rate, Graphic ataupun Balance, bagi saya tetapan mementingkan Frame Rate terasa sangat kabur, Graphic pula saya tidak mempunyai masalah dengan kelancarannya oleh itu saya meluangkan lebih lama bermain menggunakan mod Graphic. Namun, jika kelancaran adalah satu perkara yang sangat penting untuk anda, Balance bagi saya adalah pilihan yang lebih baik. Bercakap mengenai grafik, permainan ini kelihatan cantik dengan rekaan watak yang menarik tetapi ada beberapa kawasan terasa sama.
Pilihan kostum untuk EVE adalah sangat pelbagai, walaupun saya meluangkan kebanyakan masa bermain menggunakan kostum lalai. Saya juga boleh mengubah rambut EVE tetapi, atas sebab yang saya tidak pasti, pembangun memilih untuk memberikan rambut yang lebih sesuai sebagai rambut pendek yang menjadikan agak janggal kerana EVE walaupun menggunakan mana-mana jenis rambut akan terus mempunyai ponytail kerana ia menjadi tempat EVE menyimpan pedangnya. Saya berharap yang pembangun akan menyertakan rambut yang lebih bersesuaian dengan rambut yang panjang.
Akhir kata, Stellar Blade sangat bersinar melalui pertempuran, rekaan peringkat yang linear dan juga rekaan-rekaan bos yang ada akan tetapi sekadar mencukupi untuk bahagian lain seperti penceritaan, pengembaraan dan pengisian dunia. Namun, ia masih lagi satu permainan yang sangat seronok untuk dimainkan kerana berani melakukan pelbagai perkara yang mengejutkan seperti menukar genre dan bagi saya ia sudah mencukupi untuk mencadangkan permainan ini kepada semua.
Stellar Blade akan dilancarkan untuk PlayStation 5 pada 26 April 2024.