Stellar Blade iaitu permainan terbaru oleh Shift Up bakal menerima demo pada 29 Mac ini untuk PlayStation 5, saya telah diberikan akses awal untuk demo tersebut bagi tujuan pandang pertama ini. Demo ini menyertakan lebih kurang 1 jam bahagian awal untuk permainan ini, selepas menghabiskan bahagian tersebut “Boss Challenge” juga dibuka untuk memberi peluang kepada pemain bertempur dengan bos yang lebih kuat dengan segala kebolehan sudah dibuka untuk digunakan.
Bagi bahagian awal untuk permainan ini, diperlihatkan yang watak yang saya akan kawal sepanjang permainan ini iaitu Eve diturunkan bersama dengan sebilangan lagi di dalam skuad 7th Airborne iaitu skuad yang dihantar oleh manusia ke bumi untuk merampas semula planet tersebut daripada Naytiba. Pada waktu ini, kebanyakan manusia berada di angkasa lepas, kerana bumi tidak lagi selamat untuk didiami akibat dipenuhi dengan makhluk Naytiba tersebut.
Semasa turun ke bumi, kapal yang membawa 7th Airborne telah diserang yang menyebabkan kesemua ahli skuad terbunuh kecuali Eve yang diselamatkan oleh Adam iaitu seorang scavanger yang tidak pernah meninggalkan bumi. Eve dan Adam kemudian bekerjasama dengan sasaran untuk menumpaskan ketua Naytiba iaitu Alpha Naytiba dan Elder Naytiba. Misi pertama untuk permainan ini adalah mencari Hyper Cell dari Hall of Recrods yang bertempat di Eidos 7.
Tatamain pada awal ini, lebih kepada pengembaraan di kawasan Eidos 7, pengembaraan boleh dikatakan linear dengan jelas diperlihatkan arah tuju, hanya terdapat beberapa kawasan lain sahaja untuk diteroka bagi mendapatkan barangan tambahan. Kawasan ini juga mempunyai sebilangan Naytiba yang boleh dikalahkan dengan mudah. Sepanjang pengembaraan, Adam akan menemani Eve sebagai dron yang turut boleh digunakan untuk mengimbas kawasan terdekat bagi mencari barangan-barangan yang boleh diambil.
Eve akan menjumpai camp semasa mengembara, iaitu tempat istirahat untuk mengisi semula potion dan juga menjadi tempat untuk menyimpan sesi permainan, berehat di Camp ini juga akan menyertakan adegan penceritaan, sekurang-kurangnya bagi bahagian awal untuk permainan ini. Camp ini juga menyediakan tempat untuk membeli potion ataupun bom dan menambah kemahiran Eve melalui pokok kemahiran menggunakan SP yang diperoleh.
Terdapat juga Supply Camp yang menyertakan fungsi tambahan berbanding Camp biasa. Supply Camp dikatakan terletak di bahagian penting ataupun bahagian yang berbahaya, di dalam demo in, Supply Camp berada sebelum pertempuran boss yang pertama. Di Supply Camp ini, Eve boleh mempertingkatkan tahap senjata, Tumbler dan juga menambah soket Gear untuk menggunakan Gear tambahan. Ia juga boleh digunakan sebagai tempat untuk Fast Travel ke Camp lain yang sudah diakses, terdapat juga seperti tempat masakan, tetapi buat masa ini ia sekadar perhiasan sahaja.
Bagi bahagian awal ini, masih tidak banyak bahagian penceritaan yang dijelaskan, sama ada akan terdapat misteri lain mengenai apa yang terjadi di antara manusia dan Naytiba juga tiada dinyatakan oleh itu, saya masih tidak boleh mengatakan yang penceritaan akan menjadi menarik ataupun tidak. Namun, sekurang-kurangnya pada waktu awal ini sudah terdapat beberapa persoalan yang saya berharap permainan ini akan menjawabnya. Perwatakan Eve dan Adam juga masih terlalu awal dan masih tidak pasti bagaimana mereka akan berkembang, tetapi seperkara menarik mengenai Eve, berdasarkan beberapa dialog, Eve tidak pernah mengetahui mengenai perkara-perkara di bumi, seperti tidak tahu fungsi peta.
Pertempuran untuk Stellar Blade pula merupakan satu perkara yang berlainan seperti mana saya jangkakan. Melihat kepada treler, saya merasakan yang permainan ini akan menyertakan pertempuran yang pantas, lebih kepada ‘hack-and-slash’ akan tetapi pertempuran di dalam permainan ini lebih perlahan dan lebih mementingkan bahagian teknikal pertempuran berbanding gaya ataupun melakukan serangan dengan pantas.
Semasa saya mencuba pertempuran di bahagian awal permainan dan juga bahagian Boss Challenge, saya boleh katakan yang pertempuran mementingkan kepada penggunaan Parry dan juga timing yang tepat. Eve boleh melakukan Guard untuk mengurangkan kesan serangan penjahat, jika melakukan Guard pada waktu yang tepat ia akan menjadi Parry, terdapat juga Perfect Parry jika Guard dilakukan dengan timing yang tepat. Perfect Parry penting kerana bukan sahaja mengelak daripada serangan sepenuhnya tetapi juga akan mengurangkan Balance penjahat, apabila penjahat menjadi tidak stabil, ia akan menjadi Groggy dan saya boleh melakukan Retribution yang melakukan serangan yang kuat.
Parry juga akan mengecas Beta Energy yang kemudiannya boleh digunakan untuk melakukan Beta Skills yang melakukan serangan dengan pelbagai gaya berlainan. Selain pertempuran terasa perlahan, pergerakan semasa pertempuran juga saya boleh katakan perlahan, akan tetapi permainan ini menyertakan satu fungsi iaitu Rush yang membolehkan saya terus berada dekat dengan penjahat untuk melakukan serangan. Terdapat juga serangan yang tidak boleh menggunakan Guard dan Parry, oleh itu saya hanya boleh mengelak sahaja, menggunakan Dodge, melakukan Perfect Dodge akan memberikan animasi slo-mo, dan jika digunakan bersama dengan Rush boleh memberikan serangan yang segera.
Sesetengah serangan yang kuat juga akan memberikan isyarat warna iaitu warna biru ataupun warna ungu, serangan ini tidak boleh menggunakan Dodge ataupun Guard, akan tetapi boleh menggunakan Blink jika berwarna biru yang memerlukan saya untuk menekan butang Bulat iaitu butang Dodge bersama dengan bergerak ke depan apabila pedang Eve memberi isyarat warna yang sama, untuk terus membuatkan Eve berada di belakang penjahat dan dapat melakukan serangan balas. Bagi ungu pula saya boleh melakukan Repulse, apabila isyarat warna ungu dikeluarkan dan pedang Eve mengeluarkan warna yang sama, saya perlu menekan bulan dan bergerak ke belakang, ini akan menjadikan Eve untuk melompat ke belakang dengan melompat menggunakan badan atau kepala penjahat, ia juga akan membuatkan penjahat terhenti buat seketika waktu.
Dengan mekanik pertempuran untuk Stellar Blade ini, berbanding beramin dengan melakukan serangan pantas ataupun berterusan, saya lebih bermain secara defensive, saya juga perlu memahami serangan-serangan yang dilakukan oleh penjahat untuk memudahkan untuk menentukan menggunakan Dodge, Guard, Blink ataupun Repulse. Saya menyukai gaya pertempuran ini, kerana ia mementingkan untuk saya bertindak dengan cara yang tepat mengikut keadaan, dan juga tidak sekadar menekan butang tanpa perancangan, tambahan pada itu, terdapat juga serangan jarak jauh seperti menembak yang boleh menjadi perantaraan semasa menantikan peluang untuk menyerang secara jarak dekat. Namun, pada masa yang sama ia memberikan perasaan pertempuran menjadi perlahan yang mungkin membosankan untuk sesetengah pemain, sedikit perkara yang menjadikan lebih menarik ia sering disertakan “victory lap” yang menarik termasuk juga elemen QTE yang disediakan.
Akhir kata, demo untuk Stellar Blade serba sedikit memperlihatkan premis penceritaan bagi permainan ini walaupun masih banyak perkara yang tidak jelas, tetapi ia melakukan kerja yang baik di dalam memperlihatkan mekanik pertempuran yang mungkin sedikit berlainan berbanding jangkaan pemain, termasuk saya sendiri. Pertempuran lebih kepada teknikal yang memerlukan perancangan berbanding sekadar menekan butang melakukan serangan secara berterusan. Oleh itu, saya boleh katakan yang Stellar Blade memperlihatkan potensi untuk menjadi satu permainan aksi yang baik.
Demo yang saya gunakan untuk pandang pertama ini boleh dimuat turun bermula 29 Mac. Stellar Blade akan dilancarkan pada 26 April 2024 untuk PlayStation 5.