Alan Kay satu nama yang yang tidak asing lagi di dalam dunia pengaturcaraan, mempunyai satu kata-kata yang dipopularkan oleh Steve Jobs iaitu pengasas Apple – “Sesiapa yang bersungguh-sungguh mengenai perisian, perlu membuat perkakasan mereka sendiri” dan bagi saya ia adalah kata-kata yang tepat untuk merumuskan mengenai Playdate iaitu konsol mudah alih yang mempunyai sistem operasi dan juga permainan tersendiri, hadir di dalam pakej konsol yang sangat comel dengan sistem kawalan unik menggunakan engkol.
Konsol oleh Panic Inc pertama kali diumumkan pada tahun 2019 akan tetapi selepas pelbagai permasalahan termasuk juga pandemik Covid-19 yang memberi kesan kepada pemasangan konsol ini di Malaysia, ia hanya mula diedarkan kepada pembeli pada tahun 2022, pada tahun 2023 mereka juga mengumumkan peningkatan harga kerana kos meningkat untuk komponen dan pada bulan Februari tahun ini, barulah konsol ini mula ditawarkan secara meluas termasuk juga untuk pasaran Malaysia. Panic Inc telah memberi kami peluang untuk mencuba sendiri Playdate ini, dan selepas menggunakan untuk beberapa minggu, saya boleh katakan yang ia adalah satu pengalaman yang baharu bagi bermain permainan secara mudah alih dan juga secara kasual. Playdate bukanlah hadir untuk bersaing dengan mana-mana konsol lain, sebaliknya ia lebih kepada konsol yang bersifat collector tetapi hadir dengan ekosistem tersendiri yang setakat ini menerima sokongan yang baik oleh Panic dan juga pembangun-pembangun lain.
Playdate hadir dengan konsol yang kecil dengan saiz 76x74x9 mm. Ia saiz yang mudah untuk dibawa, muat kocek tidak kira seluar ataupun kocek baju kemeja. Ada masa saya juga meletakkan Playdate bersama dengan dompet di dalam poket yang sama, tetapi dinasihatkan untuk anda mempunyai cover yang juga ditawarkan oleh Panic Inc dengan harga $29. Konsol ini hanya ditawarkan warna kuning sahaja buat masa ini, tetapi satu pilihan warna yang menarik bagi saya kerana memberi identiti untuknya. Ia menyertakan skrin dengan resolusi 400 x 240 dan menggunakan skrin 1-bit oleh itu setiap paparan hanya mempunyai warna hitam dan putih sahaja. Skrin bagi saya memuaskan, cukup baik untuk bermain permainan-permainan yang ditawarkan tetapi dengan satu masalah ataupun kekurangan yang agak menjengkelkan iaitu tiada backlight yang akan membuatkan Playdate tidak boleh ataupun sukar untuk digunakan di tempat-tempat yang gelap dan juga tidak mempunyai pencahayaan yang baik. Ia adalah masalah ‘klasik’ untuk konsol-konsol mudah alih lama seperti Gameboy.
Terdapat lima butang di konsol ini iaitu D-Pad, butang A + B, butang untuk Sleep + Menu dan juga butang kuasa. Ia juga hadir dengan engkol di bahagian tepi yang menjadikan keunikan untuk konsol ini dan juga menjadi tambahan input untuk digunakan di dalam permainan. Setiap butang bagi saya terasa sangat baik untuk ditekan, engkol juga terasa mengasyikkan untuk digunakan dan saya boleh katakan tiada bahagian yang terasa murahan. Semasa tidak digunakan, engkol boleh disimpan agak tidak terlanggar yang boleh mengakibatkan-nya rosak. Konsol ini menyokong sambungan Wi-Fi tetapi terhad kepada 2.4Ghz sahaja, dan juga mempunyai cip bluetooth terpasang, namun buat masa ini masih tiada penggunaan untuknya, dengan ia tidak menyokong alat kawalan ataupun set fon telinga, sokongan yang dikatakan akan tiba kemudian. Namun, ia menyertakan picu audio dan juga speaker terpasang, tetapi mono sahaja dan boleh menggunakan picu audio jika inginkan audio yang stereo.
Sepanjang saya menggunakan Playdate ini, saya boleh katakan bateri bertahan 7 hingga 8 jam untuk sesi bermain, dengan ia boleh bertahan sehingga 14 hari jika tidak digunakan. Pengecasan pula mengambil lebih 2 jam untuk mengecas daripada sifar sehingga 100%, ia bukanlah bateri terbaik tetapi sudah dijangkakan daripada konsol sekecil ini, dan juga mungkin punca utama ia tidak menyertakan backlight dan juga sokongan bluetooth buat masa ini untuk memastikan ketahanan bateri yang lebih baik. Pengecasan dilakukan melalui port USB-C dengan kabel untuknya juga tersedia iaitu USB-C ke USB-A. Melalui aplikasi Mirror yang disediakan oleh Panic Inc sendiri, permainan-permainan Playdate juga boleh dimainkan di komputer, termasuk juga menggunakan alat kawalan yang disambung ke komputer tersebut. Ia adalah alternatif yang baik untuk bermain di skrin yang lebih besar ataupun menyelesaikan masalah tiadanya backlight, akan tetapi ada permainan yang sangat terkesan dengan lantency ia tidak memberi pengalaman yang baik.
Perkara yang paling penting mengenai Playdate ini sudah semestinya perisian ataupun permainan-permainan yang ditawarkan. Setiap pembelian Playdate akan disertakan dengan 24 permainan percuma oleh Panic Inc sendiri dan juga pembangun-pembangun pihak ketiga. Permainan ini akan diberikan kepada saya dua permainan setiap minggu, pembeli boleh memilih untuk mendapat kesemuanya secara terus akan tetapi bagi saya 2 permainan setiap minggu lebih baik kerana memberi peluang kepada saya untuk mencuba kesemua permainan ini. Panic mengatakan penawaran ini merupakan Season 1 tetapi tidak disahkan lagi jika akan menerima musim seterusnya, jika anda ingin melihat senarai penuh untuk permainan yang ditawarkan melalui Season 1 ini, anda boleh lihat senarai penuh di pautan ini.
Kebanyakan permainan-permainan yang ditawarkan ini, dihasilkan dengan mengambil kira apa yang ditawarkan ataupun had yang boleh ditawarkan oleh Playdate, walaupun mempunyai skrin yang kecil, kebanyakan pembangun menyedarinya dan menghasilkan permainan yang tidak sangat perlu untuk saya inginkan skrin yang lebih besar. Selain daripada itu, permainan-permainan ini juga memastikan engkol digunakan sebagai salah satu input, ini membantu untuk memastikan yang engkol ini tidak menjadi sekadar gimik sahaja. Contoh permainan yang saya cuba Crankin’s Time Travel Adventure yang memerlukan saya menggunakan engkol untuk menggerakkan watak di dalam permainan ini, dan perlu mengelak daripada pelbagai halangan dengan berhenti ataupun bergerak dengan lebih pantas. Manakala permainan Flipper Lifter memerlukan saya untuk menggerakkan lif menggunakan engkol dan mengambil penguin yang ingin ke tingkat yang berlainan dalam masa yang terhad.
Selain mendapat permainan melalui penawaran Season 1 ini, saya juga boleh mendapatkan permainan melalui Catalog iaitu gedung permainan yang khusus untuk Playdate. Kebanyakan permainan ini adalah berbayar dengan pelbagai harga daripada $1.99 sehinggalah $15, antara permainan yang saya sudah cuba daripada Catalog adalah Mars after Midnight iaitu permainan oleh Lucas Pope yang hadir dengan permainan seperti Return of the Obra Dinn dan Papers Please. Di dalam permainan ini, saya perlu menjaga pintu masuk dan perlu membenarkan jenis-jenis pelawat tertentu sahaja untuk memasukinya, saya juga perlu mengemas meja dan menyusun semula meja tersebut dan mencuci meja menggunakan engkol. Ia adalah satu permainan yang dilakukan dengan baik walaupun dengan pelbagai perkara yang boleh dikatakan sebagai perkara yang terhad seperti tidak mempunyai warna, jumlah butang yang sedikit dan juga skrin yang kecil.
Sepanjang saya bermain dan selepas mencuba beberapa lagi permainan yang lain, bagi saya pembangun-pembangun yang menghasilkan permainan untuk Playdate sangat kreatif di dalam penghasilan permainan mereka. Kebanyakan permainan mempunyai keunikan tersendiri, yang membawa tatamain yang terasa segar dan benar-benar menjiwai konsep Playdate itu sendiri. Saya tidak pasti bagaimana penghasilan permainan di masa hadapan, tetapi jika berterusan seperti ini, Playdate mempunyai masa depan yang baik di dalam pengisian Catalog mereka, selain itu permainan juga boleh didapatkan melalui platform lain seperti itch.io yang juga menawarkan permainan-permainan percuma.
Selain permainan, terdapat juga aplikasi umum seperti PlayBook, iaitu aplikasi membaca buku dengan menggunakan engkol, buku boleh disimpan di dalam aplikasi ini melalui format .txt, seterusnya adalah Kicooya MP3 iaitu aplikasi yang boleh digunakan untuk mendengar lagu dengan pemain muzik dan juga boleh mengubah tetapan Equalizer. Saya boleh menambah lagu dengan menyambungnya ke komputer dan ia boleh membaca fail MP3 dan juga memperlihatkan album art. Seperti permainan, beberapa aplikasi ini juga membuktikan yang Playdate boleh menjadi sesuatu yang lebih daripada sekadar untuk bermain permainan video. Proses untuk mendapatkan permainan boleh dilakukan melalui konsol ataupun di pelayar, termasuk juga membeli permainan, dan memasukkan permainan yang dibeli daripada platform berlainan menggunakan sideload. Proses muat turun saya boleh katakan agak mudah tetapi ada masa muat turun terasa perlahan walaupun saiz fail yang kecil dan juga menggunakan internet yang berkelajuan yang tinggi.
Seperti yang diketahui umum, Playdate dipasang di Malaysia, akan tetapi sebarang proses pembelian dan juga penghantaran masih lagi perlu melalui ibu pejabat mereka di Amerika Syarikat, oleh itu setiap pembelian adalah dengan harga USD, iaitu $199 (~RM945) dan penghantaran juga akan dilakukan dari Amerika Syarikat akan tetapi pada pengalaman saya untuk penghantaran bagi Playdate ini, ia mengambil masa lebih kurang seminggu sahaja daripada tempahan yang dilakukan oleh pihak Panic sendiri sehinggalah ia sampai ke saya. Saya masih berharap yang suatu masa nanti, Playdate ditawarkan secara terus di Malaysia termasuk juga ditawarkan secara fizikal untuk memudahkan pemain yang berminat untuk mencuba terlebih dahulu dan juga mendapat terus pembelian tanpa perlu menantikan penghantaran.
Akhir kata, Playdate selain berjaya untuk hadir dengan konsol yang menarik, ia juga mempunyai ekosistem yang baik dan saya boleh ulangi kata-kata yang saya gunakan di bahagian awal ulasan ini. Pengalaman yang baik diantara Playdate sebagai konsol dan juga Playdate sebagai ekosistem tersendiri berjaya dihasilkan kerana ia dihasilkan secara bersama untuk saling membantu menjadi satu pengalaman yang lengkap. Oleh kerana itu, Playdate bukanlah satu konsol yang cuba bersaing dengan konsol-konsol yang lain tetapi khusus untuk pemain yang inginkan pengalaman berlainan di samping platform sedia ada untuk bermain permainan video. Dengan harga mencecah RM1000, ia mungkin sedikit mahal tetapi dengan pengalaman yang diberikan serta sokongan yang diterima buat masa ini, ia sesuatu yang boleh menjadi barangan collector untuk peminat permainan video dan juga yang ingin mencari sesuatu yang baharu untuk bermain permainan secara mudah alih dan juga bermain secara kasual.
Playdate boleh didapatkan melalui laman rasmi dengan harga $199 ia juga ditawarkan dengan harga $219 bersama dengan Cover.