The Gentlemen merupakan siri TV yang dihasilkan oleh Guy Ritchie berdasarkan dunia yang diperkenalkan melalui filem The Gentlemen yang ditayangkan pada tahun 2020. Selain berkongsi judul dan juga pencipta yang sama, siri TV ini sangat berlainan dengan filem, kesemua watak merupakan watak baharu termasuk juga penceritaan yang boleh dikatakan tiada kaitan langsung dengan filem selain daripada berlakunya penanaman ganja di kawasan rumah keluarga kerabat. Oleh itu, sama ada anda sudah menonton filem ataupun tidak, ia tidak diperlukan untuk mula menonton siri TV ini.
Siri ini adalah mengenai Eddie Horniman lakonan Theo James yang merupakan tentera bersama dengan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mewarisi segala harta bapanya termasuk juga estet rumah dan tanah seluas 15 ribu ekar. Tidak lama selepas mewarisi estet tersebut, dia telah diberitahu oleh Susie Glass lakonan Kaya Scodelario yang dia menjalankan operasi menanam ganja di estet tersebut melalui perjanjian dengan bapa Eddie Horniman dan berharap perjanjian tersebut dapat diteruskan.

Eddie Horniman pada awalnya tidak bersetuju akan tetapi kerana perlukan bantuan daripada Susie Glass dia bersetuju tetapi pada masa sama meminta untuk diadakan perjanjian baharu yang turut menyertakan penanaman ganja di estet tersebut akan dihentikan selepas satu tempoh tertentu. Penceritaan kemudian memfokuskan kepada pelbagai masalah yang timbul mengenai keluarga Eddie Horniman dan juga masalah berkait dengan pengedaran ganjar tersebut.
Kekuatan utama untuk siri ini di dalam 8 episod untuknya, saya boleh katakan setiap episod bermula dan berakhir dengan sesuatu yang tidak dijangkakan. Setiap episod ada sahaja perkara yang di luar perancangan berlaku yang selain menjadi bahagian komedi untuk siri ini, tetapi juga menjadi penceritaan sukar untuk dijangka dan membuatkannya ia lebih menarik untuk ditonton. Selepas satu dua episod saya sudah mula berhenti untuk menjangkakan apa yang akan berlaku kerana kebiasaan jangkaan saya sentiasa salah.

Selain itu, setiap watak di dalam siri ini juga watak-watak yang menarik, selain daripada Eddie Horniman dan Susie Glass selaku watak utama untuk siri ini, terdapat juga Freddy Horniman yang merupakan abang kepada Eddie tetapi seorang yang bermasalah, Stanley Johnston lakonan Giancarlo Esposito yang inginkan perniagaan ganja dan ramai lagi watak yang membuat penampilan untuk beberapa episod sahaja akan tetapi membawa watak yang menarik dan terus saya ingatkan walaupun selepas selesai menonton.
Seperti perkara yang saya puji untuk filem The Gentlemen, siri ini juga membawa penulisan serta dialog yang baik. Dialog ini membantu untuk mempertingkatkan lagi penyampaian penceritaan dan juga mengembangkan lagi watak-watak yang ada. Siri ini tidak banyak memperlihatkan kisah silam mengenai sesiapa, tetapi melalui dialog saya bagaikan sudah mengenali watak-watak ini untuk masa yang lama. Ia juga membantu untuk menjadikan setiap episod tidak membosankan kerana setiap dialog terasa penting dan tiada sekadar pengisian sahaja.

Manakala aksi di dalam siri ini saya boleh katakan agak ganas tetapi masih terkawal dan tidak terlalu gory kerana walaupun berlakunya aksi yang ganas, ia tidak diperlihatkan secara terus dan lebih kepada memperlihatkan kesannya sahaja. Ia mungkin mengecewakan untuk yang menyukai adegan ganas, tetapi bagi saya ia lebih bersesuaian dengan penyampaian untuk filem ini yang lebih kepada komedi berbanding aksi ganas tetapi aksi-aksi perlawanan ataupun adegan ganas masih lagi menarik dan bahagian penting untuk siri ini.
Satu-satunya perkara yang saya boleh katakan sebagai ‘negatif’ siri ini masih lagi terasa seperti filem The Gentlemen ataupun kandungan-kandungan lain yang dihasilkan oleh Guy Ritchie, ini adalah gayanya, ada masa ia menjadi ada masa tidak, di dalam siri ini saya boleh katakan ia ada lebih banyak perkara yang baik. Jika anda mencari sesuatu yang berlainan, siri ini bukan untuk anda, ia masih lagi satu kisah oleh Guy Ritchie di dalam format Siri TV.

Akhir kata, The Gentlemen merupakan satu siri yang sangat menarik kerana setiap episod bagaikan satu penceritaan tersendiri yang sukar untuk dijangka, ada sahaja perkara yang di luar jangkaan berlaku dan ada sahaja permasalahan baharu yang tiba untuk menghasilkan satu siri yang padat dengan perkara menarik dan tidak membosankan. Ia adalah jelas sesuatu yang dihasilkan oleh Guy Ritchie untuk perkara yang baik dan juga perkara yang tidak baik.
The Gentlemen sudah disiarkan di Netflix.