The Gentleman merupakan filem terbaru oleh Miramax, ia adalah filem aksi komedi yang di arah oleh Guy Ritchie, iaitu pengarah yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Beliau sebelum ini pernah mengarah filem seperti Sherlock Holmes, King Arthur dan terbaru Aladdin.
Premis penceritaan untuk The Gentleman adalah mengenai watak Mickey Pearson lakonan Matthew McConaughey yang merupakan pengedar ganja terbesar di UK. Atas akibat tertentu dia ingin bersara dan ingin mencari pembeli untuk perniagaan ganja tersebut yang merupakan satu perniagaan diingini oleh lawan-lawan dia.

Pengumuman tersebut serba sedikit menjejas reputasi empayar Mickey Pearson, ramai yang menganggap dia sudah menjadi “lemah”, maka bermulalah pelbagai plot oleh lawan-lawan dia untuk mengambil alih perniagaan tersebut.
Berdasarkan premis penceritaan di atas, mungkin ramai yang menganggap ia adalah satu filem “gangster” yang tipikal, tetapi selepas hampir 2 jam filem ini, The Gentlemen jauh daripada satu filem tipikal dan satu filem yang sangat seronok untuk ditonton.
Terdapat banyak perkara yang positif mengenai filem ini, dan berikut adalah tiga perkara utama;
Perkara pertama adalah walaupun mempunyai adegan aksi yang sedikit tetapi ia adalah satu filem yang sangat rancak dan mendebarkan. Bagaimana filem ini melakukannya? Ia adalah melalui dialog dan susunan plot.


Kekurangan aksi di dalam filem ini, digantikan dengan dialog yang sangat baik. Setiap perbualan di antara dua atau lebih watak adalah perkara yang memajukan penceritaan filem ini. Sepanjang filem ini, setiap “aksi” dialog adalah satu perkara yang mengagumkan terutama kerana penulisan dialog tersebut, ia akan membuatkan penonton tidak ingin untuk terlepas mana-mana adegan.
Walaupun ada masa ia sekadar satu perbualan kosong (tidak berkait dengan plot penceritaan), ia masih dialog yang tidak terasa seperti satu pengisian sahaja.
Selain itu, susunan plot, suntingan adegan di dalam filem ini juga dilakukan dengan cukup sempurna untuk memastikan kelajuan penceritaan adalah bersesuaian dan tidak terasa perlahan ataupun bercelaru.
Perkara kedua pula adalah watak-watak yang hadir dan pilihan pelakon serta lakonan yang baik untuk setiap watak tersebut. Filem ini dibintangi oleh senarai pelakon yang gah seperti Matthew McCoughey, Collin Farrel, Eliot Sumner, Charlie Hunnam, Hugh Grant dan Lyne Renee. Setiap daripada mereka memberi persembahan yang sangat baik.

Filem ini hanya mempunyai sedikit sahaja elemen plot yang mengembangkan watak, akan tetapi oleh kerana setiap watak diperkenalkan dengan sangat baik, membuatkan ia bukan sesuatu yang diperlukan seperti kebiasaan untuk filem-filem lain.
Bahkan watak yang diperkenalkan secara tiba-tiba pun berjaya untuk terus memberi impak yang baik. Ini menjadikan tiada watak yang ter-bazir dan setiap watak memainkan peranan yang penting di dalam penceritaan tidak kira kecil ataupun besar.
Satu lagi perkara yang baik mengenai watak adalah personaliti yang konsisten, ada watak yang serious akan kekal serious walaupun filem ini penuh dengan elemen komedi. Jadi setiap kali watak tersebut tiba, sudah boleh dijangkakan personaliti yang diperlihatkan. Tidak ada watak yang serious, tiba-tiba membuat lawak dan lari daripada personaliti asal.
Perkara ketiga pula, mungkin juga perkara yang tidak baik untuk sesetengah penonton, iaitu kurangnya aksi di dalam filem ini. Filem ini mempunyai adegan aksi, pertempuran, tembak menembak, tetapi kebiasaan adegan tersebut adalah ringkas dan sering dijadikan sebagai satu elemen komedi sahaja.

Namun, kurangnya aksi di dalam filem ini, membantu untuk memberi lebih fokus kepada penceritaan. Adegan aksi, jika dilakukan terlalu banyak, boleh melemaskan penceritaan, ia adalah antara kritikan utama untuk filem-filem aksi lain dan filem ini berjaya mengelak daripada melakukan kesilapan tersebut.
Itu adalah perkara yang baik mengenai filem ini, adakah ia satu filem yang sempurna? Hampir, cuma ada satu perkara sahaja yang sedikit mengecewakan iaitu perjalanan penceritaan secara keseluruhan kerana apa yang disediakan agak mudah untuk dijangka, dan ia dilakukan dengan ringkas dan tidak se-elegan dialog ataupun perkara lain di dalam filem ini.
Walaupun begitu, jika menuju ke satu destinasi yang membosankan pun, akan tetapi kerana perjalanan untuk ke destinasi tersebut adalah menarik menjadikan keseluruhan pengalaman masih memuaskan hati.
The Gentlemena boleh dikatakan antara filem terbaik oleh Guy Ritchie, mengembalikan kegemilangan filem seperti Snatch dan Lock Stock and Two Smoking Barrels oleh beliau.
The Gentlemen kini mula ditayangkan di mana-mana pawagam terdekat dengan anda.
Penafian: Tayangan awal untuk The Gentlemen disediakan oleh TGV.