YOLO (热辣滚烫) merupakan filem dari China oleh pengarah terkenal iaitu Jia Ling yang merupakan pengarah wanita dengan kutipan tertinggi sebelum ia diatasi oleh Greta Gerwig pada tahun lepas melalui filem Barbie. Di dalam filem ini, yang juga berdasarkan filem Jepun iaitu 100 Yen Love, Jia Ling sendiri membawa watak utama iaitu Du Leying. Filem ini juga merupakan satu lagi filem beliau yang berjaya apabila mengutip lebih $400 juta semasa tayangan pada bulan lepas di China.
Du Leying merupakan seorang dewasa yang berumur 32 tahun akan tetapi menganggur dan sekadar menjadi “biawak hidup” di rumah ibu bapanya. Selepas bergaduh dengan adiknya, dia keluar daripada rumah tersebut dan bertekad untuk hidup sendiri. Namun, diakibatkan sifar yang sering ingin membantu orang, membuatkan dia sentiasa bersedih dengan dirinya sendiri. Ini telah membawa dia untuk belajar tinju dengan harapan untuk menang sesuatu dalam hidupnya.
Perkara pertama yang saya boleh katakan filem ini, sinematografi dan juga suntingan untuknya sangat baik. Filem ini kelihatan cantik tidak kira apa sahaja adegan dan situasi. Ada satu adegan selepas Du Leying melalui perkara yang menyedihkan, berbanding sekadar memperlihatkan dia bersedih, filem ini sekadar memperlihatkan dia berjalan menaiki tangga ke rumahnya, ditambah dengan muzik, bagi saya adegan ini lebih berkesan berbanding sekadar memperlihatkan Du Leying menangis.
Bagi penceritaan pula, pada awalnya ia disampaikan dengan baik, memperlihatkan perhubungan Du Leying dengan watak-watak lain, setiap perhubungan ini disampaikan dengan ringkas tetapi sekali lagi saya boleh katakan sangat berkesan. Tidak kira perhubungan cinta, sahabat ataupun keluarga, penyampaian-nya adalah baik. Ia benar-benar membantu untuk menggerakkan filem ini, terutama ia turut diselit dengan pelbagai elemen komedi. Ia juga memperlihatkan dengan baik bagaimana Du Leying yang walaupun menghadapi pelbagai cabaran, terus tabah dengan kehidupan, dan apabila keadaan kelihatan di luar kawalan, dia cuba untuk mengambil kembali kawalan kehidupannya.
Dengan pelbagai perkara yang baik ini, ia menjadikan sedikit mengecewakan untuk bahagian akhir filem ini kerana ia lebih memilih untuk meletakkan montaj latihan dan beberapa perkara yang bagi saya mempunyai peranan penting di dalam penceritaan, hanya disampaikan secara imbas kembali. Perkara ini serba sedikit mengurangkan kesan emosi untuk babak tersebut kerana ia bercampur di antara harapan dan kesedihan, tetapi saya memahami mesej di-sebalik ia dilakukan sebegini.
Perkara tambahan yang saya ingin katakan adalah mengenai Jia Ling yang membawa watak Du Leying dengan sangat komited, bagi menjayakan watak ini, beliau telah melalui latihan yang pelbagai untuk “kelihatan seperti seorang peninju”, ia adalah satu perkara yang sangat baik dan melihat perjalanan untuk dia melakukannya di bahagian akhir filem ini, saya boleh mengatakan membawa makna baharu bagi filem ini, ia adalah kisah yang baik mengenai ketabahan di dalam dan juga luar filem.
Akhir kata, YOLO adalah satu filem yang baik dengan pelbagai mesej di bawa mengenai ketabahan menghadapi kehidupan yang biasanya sekadar mengambil-mengambil tanpa memberi balik sehinggalah kita sendiri mengambil semula kawalan untuk kehidupan sendiri. Filem ini dihasilkan dengan cantik dengan pelbagai adegan menarik. Bahagian akhir sedikit mengecewakan akan tetapi ia secara keseluruhannya masih lagi satu filem drama komedi yang baik untuk ditonton.
YOLO akan ditayangkan pada 21 Mac 2024