Penyedia aplikasi pelagak untuk Nintendo Switch iaitu “Yuzu” dan juga untuk Nintendo 3DS “Citra” telah mengumumkan yang kedua-dua aplikasi tersebut tidak akan lagi ditawarkan dan disokong secara serta merta.

Pengumuman ini adalah selepas Nintendo telah memfailkan saman terhadap mereka kerana dikatakan terlibat di dalam aktiviti cetak rompak untuk permainan-permainan mereka. Di dalam saman tersebut, Nintendo mengatakan yang Breath of the Wild telah dicetak rompak sebelum ia dilancarkan lagi yang menyebabkan permainan tersebut tertiris.

Yuzu juga telah bersetuju untuk menyelesaikan perkara ini di luar mahkamah akan membayar pampasan sebanyak $2.4 juta (~RM11 juta) kepada Nintendo dan akan menyerahkan segala fail, laman web dan dokumen berkait kepada Nintendo.

Di dalam kenyataan di X, Yuzu mengatakan yang mereka sentiasa menolak aktiviti cetak rompak dan ia bukan sebab mereka menghasilkan aplikasi pelagak ini. Mereka juga mengatakan yang cetak rompak untuk permainan video harus dihentikan.

Yuzu pertama kali diumumkan pada tahun 2018.

Sohor Kini