Skip to main content

The Last of Us pertama kali dikeluarkan pada tahun 2013 untuk PlayStation 3, dan sejak daripada itu, ia menjadi permainan terbaik yang pernah dikeluarkan bagi saya. Pada 19 Jun ini, lebh 7 tahun kemudian, kita akhirnya akan menerima permainan sambungan iaitu The Last of Us Part II.

Sebahagian daripada saya inginkan penceritaan lanjut untuk permainan ini tetapi ada sebahagian saya yang merasakan permainan ini telah berakhir dengan baik dan tidak perlukan sambungan.

Selepas 23 jam meluangkan masa, yang secara langsungnya menjadikan ia adalah permainan terpanjang pernah dikeluarkan oleh Naughty Dog, berikut adalah ulasan saya untuk The Last of Us Part II.

Cerita

Jika kita bertanya kepada sesiapa sahaja yang meminati permainan The Last of Us, sebab utama yang akan diberikan adalah penceritaan yang disertakan. Termasuk juga saya, penceritaan adalah kekuatan utama permainan pertama, dan ia juga yang membawa permainan aksi pengembaraan ringkas ini ke satu tahap yang lebih tinggi.

Oleh kerana itu, saya boleh katakan yang sama ada The Last of Us Part II adalah satu permainan yang baik ataupun tidak di kalangan pemain, adalah sama ada mereka menyukai ataupun tidak dengan penceritaan yang disertakan.

Secara keseluruhan saya mempunyai pendapat yang bercampur, ia menyertakan penceritaan, perwatakan serta pengalaman yang lebih mendalam berbanding permainan pertama, tetapi pada masa sama ia juga bukan penceritaan yang saya inginkan, ia adalah satu pembawaan penceritaan yang sangat berbeza dengan permainan pertama membuatkan saya tidak pasti jika saya ingin menerimanya.

Jangan salah faham, ia bukan kerana penceritaan yang tidak baik kerana ia masih lagi menyertakan kualiti penceritaan yang kuat, sesuatu yang kita sudah jangka daripada Naughty Dog. Setiap watak yang hadir dilakukan dengan terperinci, dikembangkan dengan baik, diberi peluang untuk mempunyai permasalahan tersendiri dan tiada watak yang dibazirkan. Setiap daripada watak tersebut memainkan peranan mereka dengan sangat baik sama ada besar ataupun kecil.

Perjalanan plot juga sangat baik, setiap pilihan plot mempunyai nilai dan pengertian tersendiri, penceritaan juga tidak terasa meleret, setiap adegan adalah penting.

“Masalah” saya mengenai penceritaan adalah tema yang dipilih iaitu ‘kebencian’, ‘dendam, dan ‘penyesalan’. Kesemua perkara tersebut adalah bukan perasaan yang senang untuk dibawa ataupun ringan untuk dirasai oleh watak termasuk juga pemain dan di dalam permainan ini, Naughty Dog berjaya membuatkan pemain akan merasai segala perasaan yang dirasakan oleh watak melalui penyampaian yang sangat berkesan.

Berbeza dengan permainan pertama, walaupun di dunia yang sangat teruk, tetapi tema yang di bawa adalah ‘kasih sayang’, ‘harapan’, dan ‘pengorbanan’ sesuatu yang menjadi lampu di akhir terowong. Manakala kali ini, di akhir terowong terdapat gua yang lebih gelap. Dunia yang teruk ini, ditambah lagi dengan penceritaan yang tidak memberi perasaan senang kepada pemain.

Sepanjang saya bermain, saya terasa penat, segala perasaan yang cuba disampaikan oleh penceritaan, saya merasainya kerana ia dilakukan dengan sangat mendalam, namun oleh kerana ia bukan perasaan yang baik, ada masa yang membuatkan saya terfikir “ini bukan perasaan yang saya ingin rasa semasa bermain permainan video”.

Namun, bagi saya, ia adalah satu perkara yang berani dilakukan oleh Naughty Dog. Mereka boleh sahaja membawa penceritaan selamat seperti di dalam permainan Uncharted, akan tetapi mereka memilih untuk membawa satu penceritaan yang sangat berbeza, mencabar pemain dengan perwatakan baharu tetapi mengekalkan segala kualiti yang menjadikannya ia satu penceritaan yang istimewa.

Akhirnya, saya boleh katakan ia masih lagi penceritaan yang sangat mengagumkan walaupun saya tidak berasa senang dengan apa yang berlaku.

Bentuk Permainan

The Last of Us yang pertama tidak mempunyai bentuk permainan yang setaraf dengan penceritaan. Ia permainan aksi pengembaraan dengan elemen menyelinap yang baik tetapi bukan sesuatu yang unik atau baharu. Di dalam Part II, mereka membawa bentuk permainan yang lebih kurang akan tetapi disertakan dengan pelbagai penambahan yang bermakna dan membawanya ke satu tahap yang lebih menarik.

Penambahan pertama adalah rekaan dunia yang lebih luas, dengan pelbagai kawasan berbeza yang boleh dilawati jika pemain memilih untuk melakukannya. Ia masih lagi permainan yang linear, pemain akan mempunyai tempat yang perlu dituju, dan pemain boleh terus pergi ke tempat tersebut tanpa sekatan. Melainkan, sekatan yang berkait dengan penceritaan ataupun halangan dalam bentuk tekaria.

Motivasi utama yang diberikan oleh permainan untuk menggalakkan pemain memasuki kawasan yang berlainan adalah barangan seperti peluru serta barangan crafting yang terhad. Bergantung kepada tahap kesukaran dan juga cara pemain bermain, barangan ini adalah penting dan meluangkan beberapa minit untuk mengembara adalah perkara yang berbaloi untuk dilakukan. Tambahan, pemain juga mungkin akan menjumpai adegan ataupun barangan yang menarik serta mengejutkan.

Bersama dengan rekaan ini, pemain juga diberikan pelbagai cara berbeza untuk mengembara. Pemain kini boleh melompat ke satu kawasan, walaupun ia masih janggal dan tidak sebaik mekanik yang disertakan di dalam Uncharted tetapi ia memberi perasaan yang lebih bebas. Pemain juga boleh memecah kaca, serta menggunakan tali untuk memasuki satu kawasan yang tersembunyi atau tidak boleh diakses dengan cara yang biasa. Ia memberi nilai tambah kepada perasaan untuk mengembara.

Selain pengembaraan, rekaan dunia ataupun kawasan yang lebih terbuka juga memberi kelebihan semasa pertempuran. Ia memberi pemain lebih ruang untuk menyorok, serta melakukan serangan mengejut. Pemain boleh memasuki satu rumah, dan pergi ke atap rumah contohnya, dan melakukan serangan mengejut sebelum melarikan diri dan menyorok di satu rumah yang lain. Ini akhirnya akan memberikan perasaan bertempur yang lebih menarik serta memberi ruang kepada pemain untuk mencuba pelbagai strategi berbeza.

Namun, ia tidak selalunya terbuka, ada masa permainan akan membawa pemain kepada kawasan yang lebih sempit, yang mempunyai sedikit ruang sahaja untuk bergerak. Kebiasaan tempat ini akan mempunyai zombi, ada masa penjahat manusia dan juga zombi hadir bersama, menjadikan pertempuran lebih sukar ataupun senang bergantung kepada strategi.

Tidak kira kawasan yang luas ataupun kawasan yang sempit, rekaan setiap peringkat adalah baik. Membantu untuk memberi perasaan cemas dan juga pada masa sama memberi ruang untuk pemain mengambil langkah berjaga-jaga dan merancang pergerakan terbaik untuk setiap kawasan tersebut.

Penambahan kedua adalah, pemain diberikan pelbagai pergerakan baharu semasa bertempur. Pergerakan utama adalah meniarap. Ia adalah penambahan yang biasa tetapi mengembangkan pertempuran dengan sangat baik. Pemain boleh memasuki kawasan yang sempit seperti di bawah bangunan ataupun di bawah kereta. Pemain juga boleh melakukan pelbagai pergerakan semasa meniarap seperti mana sedang berdiri, seperti memanah, ataupun menggunakan pembalut untuk nyawa.

Bagi memastikan ia seimbang, AI penjahat terutama penjahat manusia juga diberi pelbagai cara berbeza untuk mencari pemain. Mereka juga lebih bijak dan terasa hidup kerana sering berkomunikasi dengan rakan-rakan mereka. Pemain boleh menyorok di bawah kereta contohnya, tetapi selepas satu ketika penjahat akan mula mencari di kawasan-kawasan tersebut.

Sesetengah penjahat juga akan membawa anjing, dan ia dapat mengesan pergerakan pemain. Jika tidak tidak mengalih perhatian anjing tersebut, ia akan akhirnya memberitahu kepada penjahat lain mengenai kedudukan anda. Selain itu, jika anda membunuh seorang penjahat walaupun tanpa disedari, ada kemungkinan penjahat lain akan mula memanggil penjahat tersebut dan apabila tidak dijawab mereka akan mula mengesyaki sesuatu telah berlaku.

Kesemua ini menjadikan pertempuran lebih dinamik, jika permainan sebelum ini membolehkan pemain untuk melakukan segalanya secara menyelinap dengan sekadar menunggu. Di dalam Part II, ia akan memaksa untuk pemain lebih bergerak dan reaktif. Memberi “sesi” pertempuran yang lebih menyeronokkan, walaupun ada masa menyakitkan hati, terutama anjing.

Penambahan ketiga adalah sistem crafting dan juga peningkatan tahap. Ia bukanlah penambahan yang besar, tetapi penambahan yang baik untuk memberi pemain pelbagai pilihan peralatan dan juga kebolehan bergantung kepada cara pemain bermain. Barangan yang terhad, termasuk juga parts dan supplements yang digunakan untuk meningkatkan tahap juga memerlukan pemain untuk memilih apa yang perlu diutamakan.

Seperti permainan sebelum ini, pemain boleh meningkatkan tahap untuk senjata dan juga peningkatan tahap untuk kebolehan. Bagi senjata ia lebih kurang seperti sebelum ini, bahkan mungkin lebih ringkas, dengan setiap senjata mempunyai kelebihan tertentu dan tidak mempunyai tahap 1, tahap 2 seperti sebelum ini.

Berbeza dengan peningkatan tahap untuk watak di mana ia dikembangkan dengan menyertakan pelbagai kategori seperti Stealh yang memfokuskan kepada kebolehan untuk pemain menyelinap atau Precision yang memfokuskan kepada penggunaan senjata. Pemain boleh mendapatkan kategori-kategori berbeza dengan mencari majalah, tetapi kebanyakan buku tersebut berada di tempat yang jelas dan pemain berkemungkinan besar tidak akan terlepas pandang.

Oleh kerana setiap kategori mempunyai kebolehan yang berbeza, dan untuk sesi permainan pertama mustahil untuk anda meningkatkan tahap bagi setiap kategori, membuatkan saya menggunakan supplement dengan lebih berhati-hati kerana tidak ingin terlepas kebolehan yang tertentu, pada masa sama disebabkan saya tidak dapat melihat kebolehan tersebut sebelum menjumpai kategori yang berkait, ia juga mungkin membazir masa dan lebih baik saya menggunakan dari awal. Saya merasakan ia lebih baik jika setiap kategori dibuka terus bagi memberi pemain lebih pilihan dan tidak kerugian jika menggunakan terlalu awal.

Terdapat pelbagai penambah kecilan lain yang disertakan antaranya zombi baharu seperti Shamble yang mengeluarkan gas beracun, kumpulan baharu seperti Washington Liberal Front dan Seraphite yang setiap-nya mempunyai gaya serangan yang berbeza. Setiap penambahan ini membantu untuk menjadikan pengembaraan serta pertempuran di dalam The Last of Us Part II lebih menarik berbanding permainan sebelum ini. Saya boleh katakan ia tidak lagi menjadi perkara yang paling lemah di dalam permainan ini.

Grafik

Ketika The Last of Us dikeluarkan untuk PS3, ia membawa kejutan kerana ramai tidak menjangkakan yang PS3 berkemampuan untuk membawa grafik sebaik itu. Manakala The Last of Us Part II walaupun tidak membawa kejutan yang sama, oleh kerana terdapat beberapa permainan sebelum ini telah membawa kualiti yang lebih kurang antaranya God of War, tetapi ia masih lagi membawa sesuatu yang unik menjadikan ia berdiri di tahap tersendiri berbanding permainan lain.

Seperkara yang membantu untuk membawa tema permainan ini dengan lebih baik, yang membawa kepada perasaan yang saya perkatakan di bahagian penceritaan adalah rekaan grafik yang disertakan. Jika permainan pertama, perkara yang kejam kebiasaan disorok sertai tidak diperlihatkan, akan tetapi di dalam Part II ia diperlihatkan dengan jelas, dan anda akan terasa segala perkara tersebut.

Emosi diperlihatkan dengan jelas di muka, manakala kesan-kesan kesakitan dan kecederaan diperlihatkan dengan jelas di tubuh badan watak yang tidak akan memberi perasaan yang senang kepada pemain. Menambah lagi perasaan berat untuk bermain permainan ini. Namun, ia adalah pencapaian yang mengagumkan oleh Naughty Dog untuk menghasilkan kualiti sebaik ini, walaupun ia bukanlah sesuatu yang akan disukai oleh pemain.

Seterusnya adalah rekaan dunia, seperti yang saya perkatakan di dalam bahagian bentuk permainan, ia mempunyai kawasan yang lebih luas tetapi kuantiti ini juga menyertakan kualiti yang baik. Rekaan dunia adalah perkara yang sangat mengagumkan. Contohnya bahagian Seattle yang merupakan satu bandar tetapi akibat keadaan dunia sekarang, ia dipenuhi dengan flora dan fauna. Rekaan kehancuran bandar, dihidupkan dengan kehijauan dihasilkan dengan sangat sempurna.

Pemain akan memasuki kawasan hutan dan kawasan bandar dengan lancar tanpa merasakan memasuki kawasan yang berbeza. Ketelitian rekaan persekitaran memberi perasaan yang hidup kepada setiap tempat. Selain itu, terdapat juga pelbagai kawasan lain yang membawa rekaan berbeza seperti perkampungan di Jackson dan pelbagai kawasan lain yang tidak akan berhenti memberi kejutan kepada pemain.

Selain rekaan utama di atas, Naughty Dog juga menyertakan penambahan grafik yang walaupun kecil tetapi memberi pengalaman yang lebih baik kepada sesi permainan. Antaranya adalah penggunaan workbench, di mana jika sebelum ini pemain akan diperlihatkan menu sahaja, tetapi kali ini pemain akan dapat melihat setiap perubahan yang dilakukan kepada senjata tersebut, bergantung kepada jenis peningkatan setiap-nya mempunyai animasi yang berbeza. Ia memberi perasaan yang sangat puas untuk menonton dan memberi lebih makna kepada peningkatan tahap senjata.

Selain itu, watak juga akan berinteraksi baik dengan persekitaran terutama semasa pertempuran. Contohnya jika pemain sedang bertempur berhampiran dengan tiang, pemain berkemungkinan akan menggunakan tiang tersebut untuk menghentak kepala penjahat. Ia tidak mempunyai butang khas ataupun pergerakan QTE, tetapi ia berlaku secara sendiri yang terasa natural.

Rekaan zombi juga dijadikan lebih menakutkan, walaupun sekadar membawa perbezaan yang kecil sahaja, contohnya di dalam permainan pertama ada zombi yang masih memakai baju, kerana mereka asalnya adalah manusia, namun kini kebanyakan zombi lebih menampakkan kulit dan pakaian yang koyak. Mungkin untuk memperlihatkan peredaran masa.

Sedikit kekurangan, tetapi saya merasakan ia adalah pilihan oleh Naughty Dog untuk mempercepatkan pembangunan adalah selepas seketika, watak-watak penjahat terutamanya, mula kelihatan sama. Ia sedikit bertentangan dengan sasaran Naughty Dog untuk memberi lebih perwatakan kepada setiap penjahat, walaupun konco-konco biasa sahaja.

Selain itu kedudukan kamera juga terasa terlalu dekat, ia bertujuan untuk memberi perasaan yang lebih cemas kepada pemain, serta ingin memastikan setiap serangan terasa dekat dan juga memberi perasaan yagn lebih realistik. Namun, apabila sedang bertempur terutama semasa cuba mengelak, ada masa anda tidak akan dapat melihat dan ia agak menjengkelkan.

Ada masa grafik juga kelihatan terlalu grainy, serta terlalu malap, akan tetapi saya merasakan ia adalah pilihan kreatif oleh Naughty Dog untuk membawa tema permainan ini dengan lebih baik. Oleh itu, bergantung kepada kesukaan anda, ia mungkin kelihatan kurang baik.

Audio

Seperti grafik, rekaan audio di dalam The Last of Us Part II juga memainkan peranan penting untuk menghasilkan dunia permainan ini dan mereka berjaya melakukannya dengan sangat baik. Setiap bunyi zombi, setiap dialog penjahat, dan juga monolog oleh watak sendiri dilakukan dengan sangat berkualiti.

Perbezaan bunyi zombi sangat terasa, dan memberi perasaan yang lebih seram terutama di kawasan yang anda masih tidak pasti di mana mereka berada. Saya tidak menggemari permainan seram jadi saya tidak pasti dengan penerimaan anda, tetapi sepanjang saya bermain, apabila memasuki kawasan yang saya tahu mempunyai zombi saya tidak berani untuk menggunakan set fon kepala untuk bermain.

Penjahat juga kini lebih banyak berbual antara semasa sendiri, ada masa memberi petunjuk kepada pemain, mereka juga akan menjerit nama rakan mereka yang terbunuh memberi personaliti kepada setiap daripada mereka dan sedikit memberi perasaan kesal kepada pemain yang membunuhnya. Bagi kumpulan Seraphite pula, mereka kurang bercakap sebaliknya menggunakan siulan untuk memberi isyarat. Ia akan memberi lebih perwatakan kepada kumpulan tersebut dan membantu untuk memberi perasaan yang berbeza kepada pemain.

Lakonan suara adalah sesuatu yang tidak perlu dipertikaikan lagi untuk permainan Naughty Dog. Ashley Johnson sebagai Ellie dan Troy Baker sebagai Joel meneruskan kualiti lakonan daripada permainan pertama, setiap adegan yang menyertakan mereka memberikan impak yang sepatutnya. Begitu juga watak-watak lain tidak kira watak lama yang kembali ataupun watak baharu untuk permainan siri permainan ini. Ini dibantu dengan penulisan yang baik.

Muzik latar juga membawa kualiti yang sama, setiap muzik yang disertakan bukan sahaja menggambarkan keadaan semasa, keadaan persekitaran tetapi juga memberi gambaran kepada perasaan watak dan secara langsung perasaan pemain.

Rekaan bunyi sampingan seperti senjata, jeritan penjahat, jeritan pemain, serta bunyi persekitaran juga dilakukan dengan baik dan tidak mempunyai cacat cela yang jelas selain mungkin ia terasa berulang.

Rumusan

Akhir kata, The Last of Us Part II secara amnya merupakan permainan yang lebih baik berbanding permainan pertama. Bentuk permainan, rekaan grafik dan juga rekaan audio menyertakan pelbagai penambahan yang bermakna menjadikan ia adalah permainan yang berkualiti tinggi.

Manakala penceritaan walaupun pada asasnya, mempunyai perwatakan, plot serta kandungan yang lebih rumit serta mendalam, sukar untuk saya katakan ia adalah penceritaan yang lebih baik berbanding permainan pertama. Tiada kecacatan dari segi kualiti, tetapi ia tidak membawa penceritaan yang senang untuk diterima sehinggakan sebahagian daripada saya inginkan siri The Last of Us berakhir pada permainan pertama sahaja.

Namun, tidak kira anda merupakan seorang pengikut The Last of Us ataupun tidak, ia masih lagi permainan yang berkualiti yang mudah untuk saya syorkan walaupun ia adalah satu bebanan perasaan untuk bermain.

Penafian: Kod ulasan The Last Of Us Part II disediakan oleh PlayStation Asia.

The Last Of Us Part II
Bentuk permainan, rekaan grafik dan juga rekaan audio menyertakan pelbagai penambahan yang bermakna menjadikan ia adalah permainan yang berkualiti tinggi.
Positif
Penceritaan Mendalam Dan Menyentuh Jiwa.
Rekaan Bentuk Permainan, Grafik dan Audio Berkualiti.
Negatif
Penceritaan Mungkin Terlalu Berat.
9.3

Leave a Reply

Final Score