The Marvels adalah filem MCU terakhir tahun ini. Filem ini dilihat tidak menerima sambutan yang baik kerana ramai peminat yang mula kecewa. Walaupun begitu kerana sifat ingin tahu mengenai watak-watak yang telah muncul dalam siri WandaVision dan Ms. Marvel serta kisah Captain Marvel yang seterusnya, saya tetap ingin beri peluang kepada filem ini.
Apakah Kisahnya?
Sinopsis sebenar filem ini adalah Dar-Benn (Zawe Ashton) iaitu sejenis Kree yang ingin membalas dendam kepada Captain Marvel selepas adiwira wanita ini memusnahkan Supreme Intelligence iaitu sistem AI yang menjaga planet Hala, planet kediaman Kree. Pada masa yang sama, kuasa Captain Marvel diganggu oleh kuasa Monica Rambeau (Teyonah Paris) dan Ms. Marvel/Kamala Khan (Iman Vellani). Ini secara tidak langsung menubuhkan kumpulan The Marvels.

Pengalaman Menonton
Saya masuk panggung wayang dengan jangkaan yang sangat rendah, hampir tiada kerana selepas Guardians of the Galaxy: Vol. 3, saya tidak rasakan Marvel Studios boleh memberikan satu filem yang lebih hebat daripadanya. Namun begitu, saya keluar dengan senyuman walaupun filem ini tidak memuaskan hati. Filem ini tidak teruk, ia ringkas, durasi pun pendek dan masih mampu menghiburkan penonton.

The Marvels dilihat lebih kepada kisah Ms. Marvel dan juga Monica Rambeau dengan kisah Captain Marvel berada di latar belakang. Saya amat berpuas hati dengan lakonan Iman Vellani yang sangat ceria, penuh dengan emosi dan paling penting berjaya menjadi watak yang lucu tetapi tidak menjengkelkan atau cringe. Watak beliau pada saya menyelamatkan filem ini kerana tanpa Vellani, filem ini akan menjadi hambar.

Monica Rambeau kali terakhir muncul adalah dalam siri WandaVision, di mana dia telah menjadi dewasa dan kini di dalam The Marvels bekerja pula dengan Nick Fury di S.W.O.R.D. Pada masa yang sama, Rambeau turut telah semakin hebat mengawal dan menerokai kuasa sendiri. Watak dia turut menarik yang cuba memberi peluang untuk bersinar di projek MCU akan datang. Saya yakin, Rambeau berpotensi menjadi pengganti Captain Marvel.

Baiklah, giliran Brie Larson pula. Entah kenapa setiap kali saya melihat Brie Larson saya akan teringat kepada Gal Gadot. Prestasi lakonan mereka berdua di mata saya adalah lebih kurang sama kerana seakan tidak mempunyai emosi. Jadi saya faham kenapa ramai tidak menyukai dia sebagai Captain Marvel. Tetapi saya masih boleh menerima watak dia kali ini kerana Carol Danvers/Captain Marvel bukan menjadi fokus utama dan ini memberi peluang watak dia untuk berkembang sedikit.

Masalah paling besar dalam filem ini adalah Dar-Benn. Di adalah penjenayah paling hambar sekali. Baik dari aksi, rancangan jahat yang cuba dilakukan serta motivasi untuk menjadi pengganti Ronan The Accuser tidak memuaskan. Malah agak teruk dan mungkin kerana ini filem The Marvels mungkin tidak akan diminati ramai orang.

Turut menjadikan The Marvels lebih menghiburkan adalah kerana kekecohan keluarga Kamala Khan yang sangat lucu. Setiap kali adegan keluarga Khan ini muncul, satu panggung ketawa. Gelagat ibu, bapa dan abang Kamala Khan memberi rencah tambahan untuk filem ini menjadi sedap ditonton. Selain itu, kemunculan semula Nick Fury turut memberi perasaan seakan menonton filem-filem awal MCU, di mana Fury adalah watak latar belakang yang membantu setiap adiwira. Apa yang saya tidak puas hati adalah, peristiwa dalam Secret Invasion langsung tidak disebut walaupun garis masa filem ini berlaku selepasnya.

Flerken iaitu kuncing yang boleh mengeluarkan sesungut sotong amat comel. Ia menjadi penarik perhatian pencinta kucing serta kanak-kanak. Setiap aksi dalam filem ini juga baik dengan koreografi yang memuaskan. Tidak kira Captain Marvel, Monica Rambeau dan Ms. Marvel aksi masing-masing layak diberi pujian.

Satu perkara lain yang tidak perlu pun adalah watak lakonan Park Seo-joon yang pada saya tidak perku pun. Sekadar muncul sekejap, sedikit aksi dan dialog yang boleh kira berapa patah. Adegan beliau tidak diperlukan pun filem masih boleh diteruskan. The Marvels turut mempunyai kualiti visual yang lebih baik, runut bunyi yang boleh diterima dan suntingan yang bagus.
Apa Seterusnya Untuk The Marvels?
Saya tidak boleh dedahkan dengan penuh butiran apa yang berlaku dalam filem ini. Tetapi aoa yang saya boleh beritahu anda adalah masa hadapan Captain Marvel seakan tiada jaminan. Monica Rambeau pula agak penting untuk projek MCU lain yang mungkin berkait dengan multimesta dan watak lain yang pernah muncul dalam filem Captain Marvel. Akhir sekali, Ms. Marvel akan berkait dengan satu watak dalam siri Hawkeye yang mungkin akan membawa penonton ke filem atau siri TV lain MCU.

Kesimpulan
Filem ini bukanlah sangat teruk, cuma selepas fasa ketiga saya rasakan tidak banyak filem MCU dapat sambutan yang cukup hangat. Tetapi The Marvels ini masih boleh ditonton dan pasti akan mengukir senyuman kepada wajah setiap penonton. Lebih menarik adalah siri WandaVision dan Ms. Marvel tidak perlu tonton pun tidak mengapa kerana latar belakang watak ada disebut sedikit.

Jika anda berhajat untuk menonton filem ini, The Marvels mempunyai satu adegan di pertengahan kredit dan satu audio di pasca kredit. Adegan tambahan ini membuatkan saya suka dan marah pada masa yang sama kepada Marvel. Tetapi saya mempunyai harapan baharu untuk Marvel kembali bersinar selepas adegan ini dipertontonkan.