Ulasan Monarch: Legacy Of Monsters

MonsterVerse adalah mesta bagi filem-filem raksasa Hollywood dengan kerjasama bersama Toho iaitu pemilik IP bagi Godzilla, Kong dan raksasa lain. Antara filem yang telah ditayangkan adalah Godzilla (2014), Kong: Skull Island (2017), Godzilla: King of the Monsters (2019), Godzilla vs. Kong (2021) dan akan datang Godzilla x Kong: The New Empire (2024). Terbaru, MonsterVerse dikembangkan ke siri TV pula melalui Monarch: Legacy of Monsters.

Apa itu Monarch? Ia merupakan organisasi yang bertanggungjawab terhadap raksasa yang menyerang manusia dan kononnya cuba menyembunyikan punca sebenar. Monarch adalah organisasi rahsia yang tidak ramai tahu dan siri ini menerokai siapa Monarch dan bagaimana mangsa serangan pelbagai raksasa ini cuba menghentikan mereka.

Baca – Temuramah Bersama Matt Shakman, Matt Fraction, Chris Black Dan Sean Konrad – Kenapa Monarch Istimewa?


Apakah Kisahnya?

Berbeza dengan francais filem di mana sentiasa memfokuskan kepada setiap raksasa dengan setiap watak manusia berada di latar belakang. Siri ini menceritakan kisa manusia dengan raksasa pula di latar belakang. Ia menerokai dengan lebih mendalam mengenai Monarch seperti bagaimana mereka ditubuhkan, adakah mereka bersama dengan kerajaan?, siapa mereka sebenarnya dan siapa jahat atau siapa baik? Monarch: Legacy of Monsters menceritakan kisah anak-anak kepada salah seorang pengasas Monarch yang menjadi mangsa serangan dan cuba merungkai misteri organisasi rahsia ini.

Pengalaman Menonton

Filem-filem MonsterVerse bukanlah kegemaran saya tetapi saya masih terhibur kerana mempunyai visual menarik dengan cubaan penceritaan kisah raksasa di zaman moden yang menarik. Isu besar dengan setiap filem yang pernah saya tonton adalah mereka terlampau cuba menjadikan watak manusia itu penting sehinggakan perjalanan cerita menjadi meleret. Jadi kewujudan siri ini menjadi menarik kerana fokus kepada manusia sahaja untuk penonton dan peminat memahami dengan lebih mendalam organisasi seperti Apex Cybernetics dan Monarch.

Siri ini mempunyai penyampaian cerita yang menarik yang disampaikan melalui tiga generasi berbeza. Dari zaman awal pertemuan raksasa, zaman Monarch baru ditubuhkan serta zaman di mana Monarch menjadi organisasi rahsia dengan raksasa menyerang manusia. Siri ini menyertakan ramai watak menarik tetapi tidak begitu menekankan perkembangan watak kerana lebih memfokuskan kepada penyiasatan, espionaj dan misi menyelamatkan diri serta dunia.

Siri ini banyak memfokuskan kepada keluarga Randa, di mana dua orang adik beradik kali pertama bertemu terkejut akan rahsia bapa mereka. Dua orang ini dibantu oleh wakil Monarch serta seorang penggodam yang berkait dengan Apex Cybernetics. Kemunculan watak lakonan John Goodman versi muda iaitu William/Bill Randa lakonan Anders Holm turut menarik. Tetapi yang paling menarik perhatian adalah misteri kepada watak Lee Shaw lakonan Kurt Russell untuk versi tua dan Wyatt Russell untuk versi muda. Setiap watak membawakan sedikit easter egg francais filem yang pasti menjadikan pengalaman menonton lebih mendebarkan dan memuaskan.

Setiap watak ini membawakan easter egg kepada francais filem yang pasti peminat akan terkejut atau akan menimbulkan lagi persoalan. Struktur penceritaan pada awalnya terasa sedikit serabut kerana tiga generasi penceritaan yang tidak konsisten. Ia bukan episod awal zaman dahulu dan seterusnya zaman sekarang tetapi bertukar-tukar kerana menjadikan kisah awal Monarch sebagai adegan imbau kembali.

Menjadikan pengalaman menonton siri ini lebih menarik adalah kualiti produksi yang setaraf filem. CGI raksasa yang mantap, visual pemandangan yang baik, serta runut bunyi dan suntingan yang mantap. Siri ini berkait rapat dengan G-Day iaitu kejadian dalam filem Godzilla 2014 kerana kebanyakan aksi berlaku pada tahun 2015. Ini bermakna jika anda tidak menonton filem MonsterVerse lain ia tidak akan menjadi masalah, cuma beberapa easter egg sukar untuk difahami.

Apa Lagi Dengan MonsterVerse?

Siri ini hanya mempunyai 10 episod, dan tidak merosakkan garis masa francais MonsterVerse jadi selamat untuk filem The New Empire nanti ditayangkan. Tetapi saya benar-benar mengharapkan filem baharu nanti akan ada penampilan khas watak-watak siri ini muncul. Kewujudan siri ini memberi potensi yang francais MonsterVerse masih boleh berkembang di mana siri fokus kepada kisah manusia dan filem fokus kepada kisah raksasa.

Kesimpulan

Pada hemat saya peminat filem-filem raksasa, lagi-lagi dalam francais MonsterVerse wajib menonton siri ini untuk memahami dengan lebih mendalam sejarah di sebalik organisasi rahsia Monarch, sedikit penceritaan Apex Cybernetics serta asal-usul kebanyakan watak dalam francais filem. Siri ini bukanlah sebuah siri yang sempurna tetapi masih memberikan satu pengalaman yang baik dan memuaskan.

*Ulasan ini adalah berdasarkan akses awal yang Apple TV+ berikan. Monarch: Legacy of Monster akan tiba di Apple TV+ 17 November ini.

Monarch: Legacy of Monsters
Francais filem MonsterVerse ada masalah apabila manusia dijadikan subjek utama berbanding raksasa. Ini menjadikan pengalaman menonton kurang menarik kerana tiada penceritaan yang seimbang. Siri ini walau bagaimanapun, benar-benar memfokuskan kepada manusia dan meletakkan raksasa di latar belakang kerana ingin mendedahkan siapakah Monarch yang sebenar dan kenapa organisasi rahsia ini muncul secara tiba-tiba selepas kejadian G-Day iaitu serangan Godzilla 2014. Ia serius, matang, visual mantap dan sentiasa mencemaskan.
Positif
Penceritaan dunia MonsterVerse yang lebih mendalam yang menarik.
Visual hebat untuk sebuah siri TV.
Prestasi lakonan mantap yang berjaya membawa emosi realistik dan sentiasa mencemaskan penonton.
Negatif
Struktur penceritaan yang bercelaru dan boleh memeningkan.
Terlampau banyal easter egg francais filem yang mungkin tidak semua faham.
8

Sohor Kini