Monarch: Legacy of Monsters adalah siri TV dalam mesta MonsterVerse, di mana filem seperti Godzilla (2014), Kong: Skull Island (2017), Godzilla: King of the Monsters (2019), Godzilla vs. Kong (2021) dan akan datang Godzilla x Kong: The New Empire (2024) berlaku. Ia dihasilkan oleh Legendary, Toho dan Apple TV+. Siri ini berlaku selepas Godzilla, tragedi dahsyat yang berlaku pada tahun 2014.
Ia mengisahkan Cate Randa dan Kentaro yang baru sahaja mengetahu mereka mempunyai bapa yang sama yang berkait dengan Monarch dan mungkin dalang di sebalik keganasan setiap raksasa. Mereka berdua cuba merungkai misteri identiti Monarch dan ke mana bapa mereka pergi dengan melibatkan diri bersama Lee Shaw, Bill Randa, May dan juga Tim.
Siri TV dengan 10 episod ini mempunyai kualiti produksi yang baik hampir setaraf dengan filem. Menjadikan Monarch: Legacy of Monsters menarik adalah, kisahnya memfokuskan kepada nasib setiap manusia yang menjadi mangsa kerana kehilangan keluarga dan yang tercinta akibat serangan raksasa dan kini menjadi trauma berbanding memfokuskan kisah rakasasa sepenuhnya. Ia adalah drama pengembaraan, penyiasatan, aksi dan sedikit seakan espionaj.
Sebelum ulasan diterbitkan di Aksiz, saya berpeluang menemuramah penulis, pengarah dan individu yang bertanggungjawab untuk kesan visual bagi siri ini – berikut adalah apa yang mereka katakan mengenai keunikan Monarch: Legacy of Monsters.
Sean Konrad – Penyelia Kesan Visual
Soalan: Siri TV ini mempunyai kesan visual yang cukup menarik dan beberapa raksasa kelihatan realistik. Adakah teknologi seperti The Volume atau StageCraft digunakan?
Jawapan: Perancangan awalnya memang kami ingin menggunakan teknologi The Volume. Namun The Volume terhad untuk satu kamera sahaja dan sukar untuk melakukan tetapan yang sempurna. Dengan tempoh penggambaran yang singkat dan bajet yang terhad, serta bagi mengelakkan kesilapan berlaku kami menggunakan kesan visual secara tradisional.
Dengan pengalaman saya sebagai artis untuk filem Godzilla dan Godzilla: King of Monsters, ia turut membantu saya untuk menjayakan siri ini kerana ada banyak sumber untuk dirujuk dan perkembangan teknologi tahun ke tahun. Jadi anda akan nampak banyak kesan visual yang lebih realistik berbanding filem.
Saya turut sukakan filem Godzilla Jepun yang klasik serta Shin Godzilla – di mana banyak menggunakan kesan visual praktikal seperti bangunan miniatur. Tetapi dengan kebenaran melibatkan diri merekabentuk raksasa baharu yang tiada dalam sejarah Toho sudah membuatkan saya gembira. Cuma saya harap suatu hari nanti dapat terlibat dengan projek hibrid digital dan praktikal.
Chris Black, Matt Fraction, Matt Shakman
Soalan: Masing-masing sebelum ini hanya melibatkan diri dengan pembangunan projek drama, fantasi gelap, adiwira dan ngeri – Bagaimanakah anda bekerjasama bersama-sama bagi memastikan semua setuju dengan idea masing-masing?
Jawapan: Itulah keunikan bekerja dengan tiga orang berlainan kepala. Masing-masing lain seperti saya (Matt Fraction) adalah penulis komik (Hawkeye, paling popular), saya (Chris Black) banyak terlibat dengan drama dan saya (Matt Shakman) banyak terlibat dengan fantasi serta adiwira. Masing-masing ada idea sendiri dan kami kerap bergaduh kerana berbeza pendapat.
Misalnya, semasa pasca produksi saya (Chris Black) memarahi Shakman kerana memotong adegan yang saya suka dan puas hati tetapi menggantikkannya dengan adegan yang dia arah sendiri. Kami bergaduh seketika dan terpaksa menjeda proses suntingan dan berbincang semula. Idea tiga orang yang pakar dalam genre berbeza menjadikan siri ini unik kerana ia bukan sekadar kisah raksasa. Monarch: Legacy of Monsters adalah drama keluarga, drama adiwira, drama espionaj dan mungkin sedikit elemen fantasi gelap yang digabungkan menjadi satu karya yang unik dan tersendiri.
Kami turut menyedari yang ramai tidak suka kisah manusia pada filem dan hanya ingin fokus kepada raksasa. Tetapi kami cuba memberanikan diri dengan menerkai kisah manusia lagi-lagi jika watak ini adalah mangsa, menjadi trauma dan ahli keluarga terlibat dengan Monarch. Buat pertama kali dalam MonsterVerse, kami meletakkan raksasa itu sebagai latar belakang bagi membawakan kisah yang bermain dengan emosi dan penyampaian yang lebih realistik.
Monarch: Legacy of Monsters akan ke Apple TV+ bermula 17 November ini. Sebagai peringatan, kalau boleh tonton terlebih dahulu kesemua filem MonsterVerse untuk pengalaman menonton siri TV ini dengan lebih memuaskan kerana ada banyak easter egg filem diselitkan. Terus ikuti Aksiz untuk ulasan penuh siri TV ini sekitar minggu hadapan.