Semasa menonton beberapa episod pertama Ahsoka, saya menyatakan yang siri ini hanya untuk peminat Rebels. Namun begitu selepas habis menonton siri ini, saya rasakan Ahsoka tiada masalah untuk hanya menonton begitu sahaja jika tidak memikirkan latar belakang setiap watak. Siri ini adalah yang ketiga terbaik selepas Andor dan Mandalorian sehinggakan saya tidak sabar untuk menyaksikan sambungan kisah Ahsoka, Sabine, Ezra, Thrawn, Hera, Huyang dan lain-lain
Sayang sekali, Disney tidak memberitahu apa-apa mengenai masa hadapan Ahsoka selain pernah mengumumkan yang semua siri Star Wars di Disney+ akan ditamatkan dengan filem Dave Filoni suatu hari nanti. Dalam artikel ini saya akan kongsi sedikit sebanyak pendapat saya selepas menonton satu musim Ahsoka.
Baca – Ahsoka Lebih Menarik Selepas Menonton Siri Animasi Rebels
Ahsoka bukanlah siri yang sempurna. Selepas menonton Andor, saya rasakan tiada siri Star Wars yang boleh menandingi kehebatan penceritaan dan kualiti produksi prekuel Rogue One ini. Walaupun begitu, Ahsoka mempunyai keunikan tersendiri iaitu kesinambungan kepada Rebels yang telah tamat pada lima tahun lepas. Ia adalah sebuah kisah yang ramai peminat nantikan. Walaupun saya tidak menonton Rebels, menonton Ahsoka membuatkan saya lebih ingin mendalami dunia Rebels dan mengetahui kisah mereka sebelum siri ini bermula.
Penceritaan siri ini agak perlahan dan jelas sekali setiap kisah yang disampaikan adalah satu tetapan untuk sama ada musim baharu atau projek Star Wars yang lain. Siri ini turut membuatkan saya lebih menghargai Star Wars kerana mempertontonkan lebih lanjut latar belakang Ahsoka dengan Anakin Skywalker dan pada hemat saya Ahsoka adalah waris Skywalker sebenar.
Apa yang saya tidak suka adalah Disney masih menyelitkan banyak perkara yang mudah untuk diramalkan seperti nasib Morgan Elsbeth. Sejak Elsbeth tiba ke Dathomir dan bertemu dengan Thrawn saya sudah boleh tahu apa yang akan berlaku. Kisah Shin dan Baylan juga disia-siakan sedangkan saya nampak banyak peluang Disney dan LucasFilm boleh teruskan penceritaan mereka dalam siri ini.
Mungkin ini hanya saya, tetapi kenapa terlampau ramai takutkan Thrawn. Dia hanyalah seorang laksamana Empire yang pernah ditewaskan bukannya seperti Vader yang ada kuasa Force yang gelap. Siri ini sepatutnya tunjukkan lagi kenapa Republic gerun terhadap makhluk asing biru ini. Kisah Thrawn dalam siri ini sepatutnya dikembangkan agar penonton seperti saya yang tidak menonton Rebels boleh mudah faham.
Koreografi aksi sudah semestinya sehebat filem John Wick, jadi jika anda seperti saya yang menyukai aksi ganas dan ngeri anda pasti akan terhibur dengan siri TV ini. Aksi dalam siri ini bukan fokus kepada Scott sahaja tetapi dengan semua protagonis dalam geng watak ini. Setiap aksi dilakukan dengan baik sekali sehingga saya setuju persoalan Chad Stahelski pengarah francais John Wick, kenapa Oscar tiada anugerah untuk koreografi aksi?
Gandingan watak seperti Ezra dan Sabine juga menarik kerana dua sahabat yang telah berpisah lama akhirnya bertemu dan beraksi bersama-sama. Motivasi Sabine juga menarik untuk bekas Mandalorian yang kini menjadi Jedi di bawah bimbingan Ahsoka. Kisah Ezra dalam siri ini pada saya cukup baik untuk mempertontonkan versi aksi nyata selepas kali terakhir beraksi dalam Rebels. Masa hadapan watak ini saya boleh agak, kerana perkembangan watak Ezra ini berbelah bagi antara ke arah kebaikan atau kegelapan.
Dunia Star Wars aksi nyata turut semakin lama semakin berkembang. Bermula dengan Andor yang ada planet baharu, kini Dathomir pula yang diperkenalkan dalam Clone Wars. Jika kerap melihat kisah di Tatooine, boleh jadi bosan juga. Sekali lagi saya katakan, Ahsoka bukanlah siri terbaik tetaopi masih mampu memberi saya semangat untuk menantikan kisah Star Wars yang lain dan kekal meminati francais ini.
Sebagai seorang yang memiliki replika Lightsaber Anakin Skywalker, siri ini turut memperlihatkan watak Anakin di saat sebelum dia menjadi tamak akan kuasa dan tenggelam dengan Dark Force dalam cara yang sangat bagus dan menggembirakan hati saya dan ramai peminat lain.
Ahsoka mungkin akan menjadi lebih baik jika dihasilkan dengan kualiti sama seperti Andor. Ini kerana siri ini tidak mempunyai kualiti visual yang konsisten dan aksi yang kadangkala koreografinya baik dan kadangkala tidak. Siri ini adalah untuk peminat setia siri animasi dan untuk mereka yang baru ingin mengenali dunia Star Wars dan watak-watak yang banyak yang selama ini hanya disebut atau muncul sekejap dalam francais filem. Ahsoka adalah siri Star Wars yang patut anda cuba tonton jika anda ingin tonton filem-filem baharu yang bakal menyusul suatu hari nanti.