Skip to main content

Star Wars: Ahsoka adalah siri sampingan Star Wars baharu yang disiarkan di Disney+ Hotstar. Siri ini akan mempunyai lapan episod, siaran bermula 23 Ogos dan akan tamat pada 4 Oktober. Saya telah pun diberikan akses awal untuk menonton siri TV ini. Sebelum menonton saya sengaja mengelak banyak treler, video promosi dan lain-lain kerana ingin cuba menikmati menontonnya dengan tanpa mengetahui apa-apa mengenai kisah Ahsoka.

Sudah jelas dari awal lagi, siri Ahsoka ini adalah sambungan kepada Star Wars: Rebels musim keempat. Jadi banyak watak dalam siri ini dan kisah yang cuba disampaikan adalah untuk mereka yang sedia menonton siri animasi Rebels yang tamat pada tahun 2018. Jadi bagaimana untuk diri saya dan kepada peminat aksi nyata yang tidak pernah menonton Rebels?

Dalam artikel ini akan saya kongsi pendapat dan pengalaman menonton dua episod pertama agar pada 23 Ogos nanti anda boleh bersedia.


Star Wars: Ahsoka sekali imbas nampak seolah siri Mandalorian sahaja. Di mana jelas sekali penggambaran siri ini adalah di set The Volume. Walau bagaimanapun majoriti adegan nampak lebih berkualiti dan memberikan pengalaman menonton yang lebih memuaskan. Sayang sekali ia masih tidak mencapai tahap Andor lagi yang bergantung banyak kepada kesan visual praktikal.

Siri ini turut menjadi menarik kerana setiap adegan mempunyai runut bunyi yang sedap, mantap dan sangat bersesuaian dengan apa yang cuba disampaikan. Apabila ada adegan yang mendebarkan, jantung saya memang berdegup kencang. Adegan aksi pula amat dahsyat dengan koreografi Lightsaber yang gempak, kesan visual yang realistik dan wajah watak yang penuh emosi yang meyakinkan.

Dari segi penceritaan, episod pertama saya hampir rasa bosan kerana tidak faham arah tuju siri ini. Lagi-lagi dengan kemunculan watak yang saya langsung tidak kenal dan tidak tahu akan motivasi mereka. Apa yang saya tahu hanyalah mereka antagonis dan berkait dengan Morgan Elsbeth yang muncul dalam The Mandalorian Chapter 13: The Jedi.

Disebabkan tidak memahami penyampaian cerita episod pertama saya mula menyemak di web dan barulah faham betapa pentingnya watak ini dengan Ahsoka Tano yang menjadi fokus utama. Kemunculan Sabine Wren dan Hera Syndulla membuatkan saya terus gembira kerana dilakonkan oleh Mary Elizabeth Winstead (10 Cloverfield Lane, Birds of Prey) dan Natasha Liu Bordizzo (The Society, Day Shift). Saya menggemari dua pelakon ini dan prestasi mereka adalah hebat sekali. Tidak lupa juga Rosaria Dawson sebagai Ahsoka adalah pelakon yang terbaik untuk memainkan watak ini.

Dalam semakan saya, dua watak ini penting dalam Rebels kerana terlibat dengan misi Search for Ezra bersama dengan Ahsoka. Bermula di sinilah saya memahami yang siri ini adalah sambungan terus kepada Rebels musim keempat. Nama watak Ezra Bridger mula muncul dan kemudiannya Ryder Azadi juga terlibat dalam dua episod awal ini.

Di sini saya boleh memutuskan yang jika anda ingin dapatkan pengalaman menonton yang terbaik, beberapa episod Star Wars: Rebels wajib ditonton untuk memahami serba sedikit latar belakang watak dan kaitan Ahsoka Tano dengan rakan-rakan Ezra Bridger. Saya yang tidak berkesempatan menonton kesemua siri animasi hanya merasai sebuah karya Star Wars menarik yang boleh setia dengannya untuk terus ditonton setiap minggu.

Saya amat sukakan siri ini yang banyak melibatkan pertempuran Lightsaber, rekaan watak yang cool, muzik yang gempak dan kualiti produksi yang lebih baik berbanding siri Star Wars lain. Setakat dua episod ini juga kisah yang disampaikan tidak rasa terkejar-kejar dan siri ini berpotensi menjadi siri terbaik Star Wars selepas The Mandalorian musim pertama dan kedua.

Star Wars: Ahsoka akan disiarkan di Disney+ Hotstar pada 23 Ogos, artikel ini adalah berdasarkan akses awal yang Disney berikan.

Leave a Reply