Tubi telah mengumumkan yang mereka kini mengintegrasikan GPT-4 pada platform penstriman video untuk cadangan kandungan. Sistem kecerdasan buatan (AI) mereka ini dinamakan sebagai Rabbit AI.
Berdasarkan video yang dikongsi Tubi, Rabbit AI adalah seakan chatbot untuk memudahkan pengguna mencari kandungan dengan menggunakan kata kunci. Tubi menyatakan ia seakan menanya rakan filem apa yang menarik. Contohnya “shark movies that are funny” akan mencadangkan Sharknado atau “find me Anime that features shonen friendships” akan memberi keputusan anime bergenre aksi.
Dengan jumlah kandungan filem dan siri TV mencapai lebih 200,000, Rabbit AI akan menganalisa semua kandungan termasuk corak penggunaan pengguna seperti menggunakan My List atau suka/tidak suka sesuatu judul. Lama kelamaan, laman utama Tubi akan menjadi hanya akan mengeluarkan kandungan yang diminati pengguna sahaja.
Tubi berhasrat dengan Rabbit AI pada platform mereka akan menjadikan pencarian kandungan lebih seronok dan pengguna tidak lagi akan menghabiskan masa skrol keseluruhan platform dan mencari satu demi satu kandungan.
Setiap carian turut akan disimpan bagi memudahkan lagi pengguna melihat kembali apa yang telah ditonton atau dicari. Buat masa ini, Rabbit AI terhad kepada pengguna di Amerika Syarikat sahaja dan akan ditawarkan kepada semua pengguna di masa akan datang.
Tubi adalah platform penstriman video percuma dengan iklan yang turut boleh diakses di Malaysia. Jika anda berminat dengan konsep AI ini, jemput baca ulasan filem The Creator di pautan ini – Ulasan The Creator.
Sumber – Tubi