Ulasan The Creator

Genre sains-fiksyen amat menarik perhatian saya kerana konsep teknologi yang diperlihatkan sangat maju. Saya selalu membayangkan teknologi dalam sains fiksyen suatu hari nanti boleh digunakan di dunia nyata. Impian saya sudah hampir tercapai apabila teknologi kecerdasan buatan atau AI diperkenalkan sebagai alatan untuk membantu memudahkan lagi tugasan harian manusia.

Walau bagaimanapun, bagaimana jika AI ini mempunyai kesedaran sendiri sehingga mempunyai sifat seakan manusia? Filem The Creator cuba mempertontonkan masa hadapan sekitar 40 tahun nanti apabila AI mempunyai tubuh seakan manusia dan sudah dikira sebagai spesis baharu. Filem ini tidak seperti filem lain yang melibatkan AI sebagai antagonis dan protagonis sebaliknya mengaburkan pemikiran kita perbezaan antara sebuah robot dengan sistem pengaturcaraan dengan manusia.


Pengalaman Menonton

Sebelum menonton filem ini saya hanya menyaksikan satu atau dua treler sahaja dan tidak mengambil tahu latar belakang pembangunan filem ini. Selepas menonton saya amat terkejut kerana filem ini mungkin adalah filem sains fiksyen aksi yang paling menarik untuk tahun ini. The Creator memberikan pengalaman menonton yang cukup segar dan memuaskan.

Dalam The Creator, AI dan manusia telah menjadi musuh sesama sendiri. Majoriti AI dan robot telah dipindahkan ke satu kawasan baharu mirip Asia ataupun terus dimusnahkan selepas 10 tahun lalu mereka dituduh melepaskan bom nuklear di bandar Los Angeles.

Joshua lakonan John David Washington seorang menjadi individu yang ditugaskan untuk mencari senjata baharu yang dikatakan ciptaan AI. Senjata ini boleh menghentikan segala peperangan dan turut berpotensi menghapuskan kewujudan manusia. Mengejutkan, senjata ini adalah sebuah robot AI dalam tubuh kanak-kanak yang diberi nama Alfie lakonan Madeleine Yuna Voyles.

Joshua menjadi dilema kerana bukan sahaja mempunyai beban tanggungjawab yang berat tetapi turut masih berduka kerana kehilangan isterinya, Maya lakonan Gemma Chan. Chan dalam filem ini memberikan prestasi yang cukup baik sehingga saya sukar untuk meramalkan apa yang akan berlaku.

Menjadi lebih memuaskan adalah hubungan antara Joshua dan Alfie yang sangat baik. Mereka seakan menjadi bapa dan anak dalam satu pengembaraan menyelamatkan dunia daripada peperangan yang dahsyat. Tidak dinafikan John David Washington menjadikan watak beliau hidup dan meyakinkan.

Apa yang buat saya terkejut adalah lakonan Voyles yang mana filem ini adalah debut beliau. Beliau berjaya menjadi sebuah robot yang mempunyai kesedaran sendiri dan sifat kanak-kanak manusia yang masih ingin belajar apa sebenarnya yang berlaku di dunia ini.

The Creator adalah filem sains fiksyen yang bermain dengan emosi penonton. Saya boleh katakan, yang filem ini cuba memberitahu manusia lebih jahat berbanding AI yang hanya inginkan kebebasan hidup sendiri. AI di dalam filem ini semuanya dalam tubuh robot dan bertugas seperti sami, polis, pegawai-pegawai kerajaan dan turut mempunyai keluarga sendiri yang hanya ingin melindungi manusia yang tidak membawakan ancaman kepada mereka.

Watak-watak sampingan dalam filem ini seperti Ken Watanabe adalah ibarat rencah dalam masakan kerana menjadikan filem ini hampir sempurna untuk ditonton. Konsep yang cuba dibawakan oleh Gareth Edwards iaitu penulis dan pengarah adalah sangat unik. Beliau berjaya mencipta dunia baharu yang imersif, seakan Star Wars cuma di bumi dengan robot bukan di angkasa dengan makhluk asing.

Aksi dalam filem ini cukup baik, runut bunyi yang digunakan sangat sedap – mana tidaknya kalau Hans Zimmer adalah komposer. Menjadikan filem ini lebih mengasyikkan adalah visual yang cantik dan realistik. Jika anda lihat di sebalik tabir filem ini anda akan menghargai sinematografi The Creator.

Satu sahaja rungutan saya adalah penyampaian filem yang agak perlahan. Pada hemat saya filem seperti ini bukan untuk semua orang kerana ada bahagian mungkin boleh menjadi bosan jika hanya mengharapkan ada aksi gempak atau pertunjukan konsep teknologi canggih.

Kesimpulan

Saya amat sarankan anda menonton filem The Creator. Tahun ini tidak banyak filem yang mempunyai kesan visual secantik filem ini. Filem ini cukup unik kerana memberikan persoalan adakah AI yang kita gunakan sekarang akan menjadi AI dalam filem? Adalah AI akan menganiayai pencipta mereka? Adakah manusia akan terus hilang kepercayaan kepada AI?

Jika dan sukakan filem Rogue One: A Star Wars Story yang turut diarahkan oleh Gareth Edwards, anda patut cuba menonton filem ini. Percayalah, jika anda berikan fokus penuh dan teliti air mata anda mungkin boleh menitis.

Ulasan adalah berdasarkan akses awal yang diberikan oleh The Walt Disney Malaysia. The Creator akan ke pawagam bermula 28 September 2023.

Baca – The Creator Mengambil Star Wars Sebagai Inspirasi Dan Mungkin Tiada Sekuel

The Creator
10 tahun lepas, AI dituduh melepaskan bom nuklear di Los Angeles dan mula berperang dengan manusia. Filem AI/robot ini tidak sama seperti filem sains fiksyen aksi lain kerana lebih memfokuskan kepada pembinaan dunia baharu dan bermain dengan emosi. Filem ini mengaburkan pemikiran penonton perbezaan AI dan kita kerana AI sudah ada emosi dan perasaan. Sebuah filem yang padat dengan aksi, drama yang menyentuh hati, visual yang cantik dan muzik yang indah.
Positif
Penceritaan yang menarik dan menyentuh hati
Prestasi lakonan yang sangat mantap dan meyakinkan
Kualiti visual yang sangat cantik dan nampak realistik
Runut bunyi yang indah dan mengasyikkan
Negatif
Beberapa adegan terasa sedikit perlahan
Dunia masa hadapan yang rasa seperti kurang sesuatu
8

Sohor Kini