Siapakah Kang The Conqueror Dalam Ant-Man 3?

Bertahun lamanya antagonis utama MCU adalah Thanos. Marvel Studios membina watak ini sejak MCU Fasa 1 lagi dan selepas berpuluh filem watak ini ditamatkan pada MCU Fasa 3 melalui filem Avengers: Endgame. Kemudian apabila Fasa 4 bermula, Marvel Studios telah mula bereksperimen dan memperkenalkan konsep multimesta, di mana ada penglibatan variasi lain watak dikenali, watak Marvel dari dunia lain masuk ke MCU, lebih serius dan rentas masa. Dalam Loki, barulah jelas yang Marvel sedang merancang menjadikan Kang The Conqueror sebagai antagonis utama kerana semua adalah di bawah kawalan beliau.

Sejarah watak Kang berdasarkan apa yang aku kaji amat rumit dan memeningkan, kerana beliau mempunyai banyak varian dari pelbagai garis masa dan multimesta – tetapi masih berkait antara satu sama lain. Jadi dalam artikel ini akan aku sampaikan apa yang aku kaji serta menjawab beberapa persoalan berdasarkan temuramah aku bersama Jonathan Majors.

Baca: Ulasan Ant-Man And The Wasp Quantumania

Siapakah Kang?

Disebabkan latar belakang watak ini yang sangat rumit, aku akan cuba ringkaskan berdasarkan pemahaman aku dan teori untuk Marvel Studios menterjemahkan watak ini dalam versi aksi nyata (bukan yang dalam Ant-Man) untuk projek masa depan MCU seterusnya.

Nama asal Kang adalah Nathaniel Richards, seorang saintis yang kaya raya dari masa hadapan. Selepas satu peristiwa melibatkan rentas masa bersama Brotherhood of the Shield, Leonardo da Vinci dan Isaac Newton – beliau menerima kuasa merentas masa. Kuasa ini mencampak beliau jauh ke masa hadapan dan pelbagai variasi beliau dari pelbagai masa dan multimesta turut terkumpul di lokasi sama sehingga ditemui oleh Immortus (juga salah seorang diri beliau) memberi arahan hanya seorang sahaja boleh hidup atau semua mati menyebabkan setiap variasi Richards kejar-mengejar membunuh sesama sendiri.

Selepas menguasai dunia masa hadapan dan berasa bosan, Richards merentas ke masa silam ke era jajahan Firaun dan menjadi Rama-Tut. Dalam satu pertempuran bersama Fantastic Four dan cubaan melarikan diri beliau terperangkap dalam Time Stream dan bertemu dengan Dr. Doom menyebabkan perubahan identiti kepada Scarlet Centurion yang menjadikan Avengers sebagai orang suruhan untuk membunuh hero lain.

Selepas Scarlet Centurion ditewaskan oleh Avengers beliau menjadi Kang The Conqueror untuk berpuluh tahun. Sekali lagi merentas masa kembali menjadi Rama-Tut. Demi untuk kekal hidup lama, beliau ingin menguasai Limbo dan telah menjadi Immortus. Tetapi ketika ini garis masa beliau, identiti dan sejarah telah pun bercelaru. Jadi Immortus ingin memastikan di mana Kang berada mereka adalah satu. Immortus turut menyamar menjadi baik untuk dipercayai oleh Avengers agar beliau boleh menamatkan pasukan hero ini.

Kemudian varian Richards yang masih remaja yang akan ke arah menjadi Rama-Tut diziarahi oleh Kang dari masa hadapan untuk persediaan awal menumpaskan Avengers. Tetapi Richards menjadi takutkan diri beliau di masa hadapan terus menjadi hero Iron Lad. Tetapi selepas rakan beliau mati, Iron Lad berubah menjadi Kid Immortus dan menyedari musuh utama beliau adalah Fantastic Four dan turut meminta bantuan Doctor Doom.

Kemudian Rama-Tut yang menjadi Kang dan kembali menjadi Rama-Tut yang ke arah menjadi Kang kembali terlibat dengan glic dalam Time Stream memecahkan diri beliau ke variasi lain dan menjadi Mister Gryphon – usahawan yang membantu ramai penjenayah di era abad ke-21.

Teori Kang – Avengers: The Kang Dynasty (Beberan Ant-Man 3)

Kita sudah tahu yang Kang akan menjadi musuh utama MCU sehingga Fasa 6. Tetapi persoalannya Kang yang mana satu? Kita sudah lihat yang mati dibunuh Sylvie dalam Loki – He Who Remains yang memberi petanda variasi beliau yang lain adalah lebih jahat dan kejam. Kemudian dalam Ant-Man and the Wasp Quantumania, Kang The Conqeuror memberitahu beliau adalah yang paling dibenci oleh Kang yang lain dan tahu akan datang akan ada variasi Kang lain yang akan memusnahkan dunia – tetapi juga mati.

Di pasca kredit, terdapat Council of Kang yang aku percaya diketuai oleh variasi Kang versi Rama-Tut, Scarlet Centurion dan Immortus. Di mana mereka sedang kumpulkan Kang-Kang yang lain di satu tempat. Kemudian kredit terakhir adalah siri Loki di mana dikatakan Loki dan Morbius sedang mencari versi Kang yang akan menjadi He Who Remains – tetapi telah berjumpa dengan variasi Victor Timely. Versi Timely ini jika dalam komik adalah variasi Kang yang lama berdendam dengan Avengers dan adalah era Richards menjadi Kang selama berpuluh tahun lamanya.

Aku rasakan, semua variasi Kang yang kita lihat ini bukan Kang sebenar. Kerana ada satu peristiwa dalam komik di mana variasi beliau yang menjadi Immortus ingin pastikan semua variasi Kang adalah sama tidak kira di masa mana dan multimesta mana – mengarahkan versi diri beliau ketika masih Richards membunuh antara satu sama lain dan menyerap semua memori untuk menjadi satu Kang sahaja.

Temuramah Bersama Jonathan Majors

Soalan: Adakah Kang musuh paling merbahaya dalam MCU berbanding Thanos?

Thanos adalah satu, sejenis sahaja. Tetapi Kang walaupun satu entiti ada banyak variasi berbeza yang perlu Avengers lawan. Disebabkan Kang hanyalah seorang manusia biasa yang hanya bergantung kepada teknologi dan boleh menyebabkan kemusnahan – sudah tentu Kang adalah musuh yang patut digeruni.

Soalan: Apa beza antara He Who Remains dalam Loki dan Kang dalam Ant-Man?

Sebagai seorang pelakon, memainkan banyak watak berbeza itu sudah merupakan satu kebiasaan. Tetapi dalam MCU, penonton akan bandingkan secara dekat antara satu variasi dengan lain. He Who Remains adalah seorang yang nampak santai dengan berjubah dan capal tetapi Kang pula adalah watak yang dilengkapi teknologi canggih. Setiap variasi mempunyai perwatakan berbeza yang akan mengejutkan, tetapi penjelasan variasi lain tidak boleh didedahkan sekarang.

Soalan: Apakah persediaan untuk menjadi Kang, lagi-lagi apabila bersemuka dengan Ant-Man?

Sudah tentu perlu tonton filem Ant-Man pertama dan sekuel, kemudian perlu belajar dengan lanjut siapakah Ant-Man agar watak Kang ini dapat memahami psikologi Scott Lang untuk memastikan Scott Lang rasa takut. Tidak lupa juga yang rujukan komik perlu dilakukan dengan membaca mana-mana ada kaitan dengan Kang. Walaupun begitu untuk terjemah ke versi aksi nyata sudah semestinya ada personaliti tersendiri yang dirasakan sesuai akan dibawa.

Soalan: MCU sudah lama tidak digelar sebagai filem wayang atau seni, tetapi pelakon berbakat boleh tunjukkan prestasi hebat – adakah Kang boleh mengubah persepsi orang terhadap MCU?

Marvel Studios tidak mengarahkan saya untuk ubah personaliti saya atau gaya lakonan saya untuk projek-projek dalam MCU. Tetapi masih agak berminat untuk lihat bagaimana orang ramai akan pandang saya sebagai Kang dalam MCU. Misi saya bukan untuk ubah apa itu wayang atau seni, tetapi jika ada orang benci pun itu perkara biasa dan projek yang dirancang dalam MCU tetap akan diteruskan.

Sohor Kini