Ulasan The Continental

Buat masa ini filem John Wick tiada lagi sambungan, akan tetapi kisah dunia John Wick akan dikembangkan ke filem Ballerina dan juga siri The Continental. Sementara menantikan Ballerina ditayangkan, kita disajikan dengan siri TV terlebih dahulu.

Siri ini adalah kisah prekuel yang berlaku pada tahun 1970-an, memfokuskan kepada watak Winston Scott versi muda lakonan Colin Woodell. Ia akan memperlihatkan bagaimana Scott mendapatkan hak hotel The Continental dengan penuh aksi dan pengenalan kepada watak-watak baharu yang menarik. Persoalannya adakah siri TV ini cukup untuk peminat John Wick? Adakah ianya satu eksperimen main-main? Atau sekadar cash grab sahaja?


Pengalaman Menonton

John Wick adalah francais filem kegemaran saya. Ini kerana setiap filem mempunyai adegan aksi yang hebat, ganas dan cukup mengerikan. Filem pertama adalah kegemaran saya kerana penyampaian cerita yang menarik, sementara filem keempat saya sukakan kualiti produksi dan sinematografinya. The Continental cuba menjadi John Wick dengan tema tersendiri dan siri sampingan seperti ini ada potensi mengembangkan francais John Wick ke banyak medium lain.

Menonton ketiga-tiga episod The Continental adalah seakan menonton filem sampingan suntingan pengarah kerana durasi mencapai 4 jam 22 minit. Maratonton kesemua episod pada saya memberikan pengalaman menonton yang lebih baik. Siri ini jelas sekali dihasilkan untuk peminat John Wick dan kepada mereka yang ingin tahu lebih mendalam mengenai dunia John Wick, lebih-lebih lagi aktiviti yang berkaitan dengan hotel The Continental.

Siri ini menceritakan kisah bagaimana Winston Scott (Colin Woodell) mendapatkan hak hotel tersebut, yang asalnya dikawal dan dikendalikan oleh Cormac (Mel Gibson). Apa yang anda kenal dalam John Wick anda akan dapat menyaksikannya di dalam siri TV ini. Charon ada, The Adjudicator ada, The Bowery ada, terma Boogeyman ada, kereta klasik yang cool ada, aksi ganas di samping muzik menarik dengan elemen lucu pun ada.

Saya amat suka The Continental yang cuba menjadi filem John Wick tetapi dengan iterasi yang tersendiri. Pertama adalah rekaan dunia John Wick yang kita sudah kenal seperti di bandar New York, cuma kini di tahun 1970-an dan ada sedikit tahun 1950-an. Ia nampak menarik dengan penggunaan warna yang baik, pergerakan kamera yang cantik dan suntingan yang ada keunikan sendiri.

Koreografi aksi sudah semestinya sehebat filem John Wick, jadi jika anda seperti saya yang menyukai aksi ganas dan ngeri anda pasti akan terhibur dengan siri TV ini. Aksi dalam siri ini bukan fokus kepada Scott sahaja tetapi dengan semua protagonis dalam geng watak ini. Setiap aksi dilakukan dengan baik sekali sehingga saya setuju persoalan Chad Stahelski pengarah francais John Wick, kenapa Oscar tiada anugerah untuk koreografi aksi?

Prestasi lakonan juga cukup memuaskan. Saya amat sukakan prestasi lakonan Colin Woodell yang membawakan watak Winston Scott muda. Cara beliau memainkan watak ini adalah sama dengan imaginasi saya membayangkan aksi Scott sebelum watak ini rapat dengan John Wick. Mel Gibson membawakan watak antagonis yang nampak mengerikan tetapi tidak memuaskan untuk saya.

Hubert Point-Du Jour sebagai Miles yang menjadi rakan Scott membuatkan saya ingin tonton kisah sampingan watak ini bersama dengan Lou lakonan Jessica Allain adik Miles. Mishel Prada sebagai KD pula adalah detektif yang menarik kerana mempunyai sifat ingin tahu misteri di sebalik The Continental. Watak Yen yang dilakonkan oleh Nhung Kate membawakan elemen drama yang lebih menarik bagi mengembangkan lagi kisah Scott dengan latar belakangnya.

Anda minat Lance Reddick sebagai Charon? Anda pasti akan sukakan Ayomide Adegun yang membawakan watak ini versi muda dan menyampaikan kisah bagaimana Charon menjadi setiap kepada Scott. Katie McGrath sebagai The Adjudicator juga menarik dan saya suka beliau dalam Supergirl sebagai Lena Luthor, vibe ada udang di sebalik batu watak ini memberikan impak yang lebih kurang sama.

Sayang sekali penyampaian cerita dalam ketiga-tiga episod sedikit perlahan kerana tidak mempunyai rentak cerita yang lancar. The Continental tidak mempunyai keseimbangan antara drama dan aksi menjadikannya penat untuk menantikan saat yang mencemaskan dan yang menarik. Perkembangan dunia juga tidak begitu memuaskan kerana banyak elemen John Wick yang diperlihatkan sama dalam filem dan tidak cuba menerokai bahagian lain yang pada saya lebih menarik seperti bagaimana High Table sebenarnya berfungsi. Siri ini sekadar memfokuskan The Continental cawangan New York sahaja dan ini menjadikan siri ini terlampau sama dengan John Wick dan tiada keunikan dari segi penceritaan.

Kesimpulan

Pada hemat saya, The Continental adalah satu eksperimen mencuba adakah boleh menyampaikan kisah John Wick tanpa John Wick? Eksperimen ini menjadi cuma dunia John Wick itu perlu dikembangkan lagi seperti yang dipertontonkan dalam Parabellum dan Chapter 4. Siri ini ada potensi yang baik dan membuatkan saya tidak sabar menantikan filem Ballerina lakonan Ana de Armas sebagai Rooney kerana ia berlaku di Eropah dan saya amat ingin tahu bagaimana High Table dan The Continental beroperasi di sekitar lokasi ini.

Peminat John Wick akan sukakan siri ini jika boleh bersabar dengan penyampaian ceritanya. Mereka yang berminat sudah boleh tonton siri TV ini di Prime Video bermula hari ini 22 September. Siri ini akan mempunyai tiga episod sahaja dan disiarkan secara mingguan.

*Ulasan ini adalah berdasarkan akses awal yang Prime Video berikan.

The Continental
Colin Woodell menjadi Winston Scott versi muda dalam dunia John Wick pada tahun 1970-an. Siri ini mempunyai konsep yang baik bagi mengembangkan lagi dunia John Wick yang besar. Menonton siri ini akan mengimbau banyak perkara yang kita kenal dalam filem John Wick. Cuma penyampaian cerita sedikit perlahan, pembinaan dunianya tidak cukup memuaskan dan cubaan menyalin John Wick begitu jelas sehingga tiada keunikan sendiri. Walau bagaimanapun, aksi hebat yang ganas dan ngeri masih ada, perkembangan watak cukup menarik, prestasi lakonan juga hebat dan kualiti produksi yang ada kelainan sendiri.
Positif
Aksi yang hebat, ganas dan ngeri seperti filem John Wick.
Prestasi lakonan yang cukup hebat.
Kualiti produksi yang menarik dan ada kelainan.
Negatif
Perkambangan dunia John Wick yang tidak cukup memuaskan.
Penyampaian cerita yang agak perlahan.
7

Sohor Kini