Awal pagi tadi saya diberi peluang menyertai sidang media untuk filem The Creator. Sebuah filem yang berlaku di masa hadapan apabila manusia berperang dengan AI. Filem ini ditulis dan diarahkan oleh Gareth Edwards dan beliau telah kongsi banyak perkara menarik dan ada juga yang mengecewakan.
Edwards menyatakan yang beliau amat sukakan konsep George Lucas hasilkan pada Star Wars. Iaitu menggabungkan konsep agama dan sesuatu budaya bersama dengan teknologi yang melibatkan jet serta robot. Cuma beliau katakan dunia Star Wars tidak akan menjadi realiti. Oleh yang demikian, beliau cuba mengikut jejak langkah Lucas dengan mencipta dunia olok-olok sendiri untuk The Creator. Dalam The Creator ia mempertontonkan AI yang sudah maju dan ada perasaan sendiri, di mana konsep ini ada potensi menjadi realiti di dunia nyata.
Filem ini telah mencipta dunia baharu di mana ada komuniti yang dipenuhi dengan robot dan AI yang mempunyai sifat seperti manusia. Dunia ini cukup menarik dan ada potensi untuk dikembangkan. Walau bagaimanapun, Edward berkongsi yang beliau tidak sukakan siri TV kerana setiap episod tiada penamat dan perlu tunggu untuk mengetahui apa yang berlaku. Oleh yang demikian, The Creator dicipta dengan niat untuk tidak akan ada sekuel. Malah Edwards turut menyatakan jika 20th Century Studios memanggil untuk sekuel beliau akan tolak.
Dengan isu AI yang tidak beretika kerana didakwa mencuri hasil kerja orang lain, ia menjadi punca kepada isu mogok di Amerika Syarikat sekarang sehingga terkesan kepada penulis skrip dan pelakon. Gareth Edwards menyatakan, AI sebenarnya baik untuk manusia kerana memudahkan kerja dan sangat membantu. Cuma ia tidak bersedia sekarang. Beliau membandingkan AI sekarang sama seperti manusia kali pertama menggunakan elektrik dan Internet, di mana ia akan mengambil masa beberapa tahun lagi untuk menjadi satu perkara yang sempurna untuk semua orang.
Semasa saya menonton filem ini minggu lepas sebagai persediaan untuk sidang media ini, saya rasakan runut bunyi pada filem ini adalah sangat baik. Ia bermain dengan emosi, setiap adegan hadir dengan alunan muzik yang sangat merdu dan sesuai serta memberi impak kepada penyampaian cerita. Runut bunyi The Creator dihasilkan oleh Hans Zimmer dengan tema untuk kedengaran seakan bukan hasil nukilan Zimmer sendiri.
The Creator akan ditayangkan di pawagam pada 28 September tidak lama lagi. Filem ini melibatkan ramai pelakon hebat seperti John David Washington, Ken Watanabe, Gemma Chan dan juga pelakon baharu Madeleine Yuna Voyles yang anda akan terkejut prestasi lakonan yang sangat menakjubkan.
Terus ikuti kami di Aksiz dan nantikan ulasan untuk filem ini.