Toy Story adalah filem animasi Pixar yang cukup menarik. Filem pertama sehingga hari ini adalah antara animasi kegemaran saya kerana membesar bersama-sama dengannya. Kali terakhir filem ini ditayangkan adalah pada tahun 2019 iaitu Toy Story 4.
Dengan Toy Story 5 masih dalam pembangunan, tidak lama lagi kita semua boleh menyaksikan kandungan baharu iaitu Toy Story Funday Football. Ia adalah strategi baharu Disney untuk menarik perhatian kanak-kanak terhadap sukan.
Baca – Toy Story 4 – Perlu Ke Sekuel Ini?
Toy Story Funday Football adalah perlawanan NFL yang disampaikan oleh watak-watak animasi ini di dalam bilik Andy. Ia akan mempertontonkan perlawanan Atlanta Falcons dan Jacksonville Jaguars yang akan berlangsung pada 1 Oktober akan datang.
NFL menggunakan sistem penjejakan data di atas padang baharu iaitu Next Gen Stats. Setiap aksi perlawanan ini akan dihasilkan semula secara masa nyata untuk siaran langsung serentak di ESPN+ dan Disney+ (sela masa sekitar 30 saat). Woody, Buzz Lightyear, Slinky, Mr. Potato dan ramai lagi akan terlibat di garis tepi sementara watak-watak lain akan terlibat dengan elemen NFL lain yang bukan di padang.
Bukan itu sahaja, semua penyampaian skor atau pengumuman turut akan disampaikan dalam tema Toy Story. Pengulas permainan ESPN iaitu Drew Carter dan Booger McFarland akan disertai oleh Pepper Persley yang berusia 12 tahun yang akan menjadi watak animasi dalam Toy Story Funday Football. Seorang pelagak ngeri akan melakukan aksi motosikal di separuh masa pertama bertemakan Duke Caboom iaitu watak yang disuarakan oleh Keanu Reeves.
Menurut Disney, Toy Story Funday Football boleh ditonton semula di Disney+ selepas perlawanan ini tamat. Ia akan tersedia di 95 negara yang mempunyai Disney+, tetapi masih tidak pasti Malaysia terlibat ataupun tidak.