Awal tahun ini Bob Iger, selaku CEO Disney ada berkongsi yang mereka sedang menstruktur semula strategi pengeluaran kandungan. Oleh yang demikian sebanyak $8.5 bilion bajet untuk siri TV, filem dan kandungan sukan dipotong. Iger turut menyatakan sudah sampai masa mengurangkan kandungan Star Wars dan Marvel di Disney+ dan mencari sesuatu yang baharu untuk IP ini. Slain turut ingin menawarkan kandungan mereka ke platform penstriman lain.
Selain Star Wars dan Marvel, beberapa projek di bawah hak cipta lain turut terkesan. Pertama adalah The Spiderwick Chronicles, siri TV 8-episod berasaskan buku fantasi kanak-kanak. Siri ini dihasilkan oleh Paramount Television Studios dan 20th Television dengan lakonan Christian Slater, Jack Dylan Grazer, Lyon Daniels, Noah Cottrell, Joy Bryant serta Mychala Lee.
Kedua adalah Nautilus. Sebuah siri TV aksi nyata Disney+ UK 10-episod lakonan Shazad Latif sebagai Captain Nemo. Siri ini diadaptasi daripada buku 20,000 Leagues Under the Sea karya Jules Verne. Siri ini akan menceritakan bagaimana putera India dirompak, menjadi banduan dan kemudian terus popular kerana menaiki kapal selam Nautilus dan mengembara ke dunia bawah laut yang penuh misteri.
The Spiderwick Chronicles dan Nautilus kedua-duanya sudah selesai penggambaran dan dalam proses pasca-produksi. Deadline melaporkan yang siri ini akan ditawarkan kepada platform penstriman lain dan masih tidak pasti yang mana akan menyiarkannya. Sama-sama kita nantikan.