Rockstar Games sebelum ini telah mengumumkan yang mereka akan membawa permainan Red Dead Redemption ke platform tambahan iaitu PlayStation 4 dan juga Nintendo Switch. Mereka juga mengumumkan yang ia akan ditawarkan dengan harga $50 (~RM228), buat masa ini masih tiada harga untuk pasaran Malaysia.
Perkara tersebut telah menerima kritikan daripada beberapa pemain yang mengatakan terlalu mahal untuk satu port sahaja, tambahan lagi pemain di Xbox dapat bermainnya melalui sokongan keserasian belakang. Treler pengumuman bagi Red Dead Redemption ini, walaupun YouTube tidak lagi memperlihatkannya tetapi telah menerima jumlah ‘dislikes’ lebih banyak berbanding ‘likes’.
Menjawab soalan IGN mengenai perkara ini, Strauss Zelnick iaitu CEO untuk Take Two mengatakan yang mereka percaya harga tersebut adalah tepat untuk nilai komersial permainan tersebut. Hannah Sage iaitu EVP Kewangan mengatakan yang permainan ini juga menyertakan Undead Nightmare yang secara sendirinya adalah satu kandungan yang baik menjadikan ia satu penawaran yang berbaloi bagi pemain.
Red Dead Redemption untuk PlayStation 4 dan juga Nintendo Switch tiba pada 17 Ogos 2023 secara digital dengan pelancaran secara fizikal bermula pada 13 Oktober.