Skip to main content

Apple Arcade telah mengumumkan senarai permainan yang akan disertakan di dalam perkhidmatan tersebut untuk bulan Ogos ini. Mereka mengumumkan empat permainan iaitu Samba de Amigo: Party-To-Go, Nekograms+, Kingdoms: Merge & Build dan finity.

Samba de Amigo: Party-To-Go adalah permainan irama klasik oleh SEGA yang dibangunkan semula untuk platform baharu. Permainan ini akan menyertakan tiga lagu yang khusus untuk Apple Arcade iaitu Daddy oleh PSY, The Edge of Glory oleh Lady Gaga dan The Walker oleh Fitz dan the Tantrums. Permainan ini akan tiba pada 29 Ogos.

Nekograms+ adalah permainan yang dibangunkan oleh Hungry Sky dan merupakan permainan pengembaraan dan tekaria berdasarkan kucing. Pemain perlu menggerakkan kucing dan halangan untuk memastikan mereka mendapat tidur yang diperlukan. Permainan ini akan tiba minggu ini iaitu 8 Ogos.

Kingdoms: Merge & Build juga adalah permainan tekaria dan dibangunkan oleh Cherrypick Games yang juga menyertakan elemen membina negara dan penceritaan yang menarik. Pemain akan menjadi Prince Edwards dan perlu membina negara dan menyelamatkan rakyatnya. Permainan ini akan dilancarkan pada 18 Ogos.

finity. akan dikeluarkan 25 Ogos ini dan dibangunkan oleh Seabaa, Inc. Ia adalah permainan tekarian minimalist dan dikatakan menggabungkan elemen permainan catur dengan Tetris dengan tatamain dalam bentuk match-three.

Apple Arcade ditawarkan dengan harga RM19.90 yang boleh dikongsi dengan 5 orang keluarga, ia juga boleh diperoleh melalui langganan Apple One yang juga menyertakan Apple Music dan Apple TV+ dengan harga RM19.90 untuk pelan individu dan RM33.90 untuk pelan keluarga.

Leave a Reply