Saya amat sukakan filem yang menguji minda seperti kebanyakan filem Christopher Nolan atau juga filem misteri pembunuhan. Untuk filem whodunit antara yang terbaik pernah saya tonton adalah Glass Onion, sementara siri TV pula saya cukup sukakan konsep Murdeville di Netflix yang spontan.
Di Apple TV+ The Afterparty cuba membawakan konsep mister pembunuhan yang sedikit berbeza. Elemen komedi yang pelbagai dan setiap episod mempunyai genre berbeza mengikut soal siasat dengan suspek.

Semalam musim kedua The Afterparty akhirnya tiba di Apple TV+. Walaupun hanya dua episod, saya telah menonton sembilan episod daripada sepuluh yang disediakan oleh Apple untuk tujuan ulasan ini. Tiada sebarang beberan tetapi saya akan kongsi pengalaman menonton dan beritahu anda kenapa siri ini wajib ditonton.
Pengalaman Menonton
The Afterparty musim kedua sekali lagi melibatkan Aniq (Sam Richardson) dalam kes misteri pembunuhan. Kali ini mangsa adalah Edward, suami kepada Grace iaitu adik Zoe Zhu kekasih Aniq (Zoë Chao). Aniq datang ke majlis perkahwinan Grace ini dengan harapan untuk memenangi hati ibu bapa Zoe. Namun rancangan ini tidak berjaya sebaliknya terpaksa menjadi individu yang cuba menyelesaikan pembunuhan misteri.

Musim kedua memfokuskan kepada keluarga Edward (Zach Woods) yang mencurigakan dan keluarga Zoe yang aneh. Setiap ahli keluarga dan kawan baik kepada mereka mempunyai agenda masing-masing. Dalam siri ini ia akan memperlihatkan bagaimana salah seorang ahli keluarga mereka mati dibunuh. Seperti biasa semua adalah suspek dan dengan lucunya mereka menuduh antara satu sama lain.
Menjadikan siri ini lebih menarik adalah prestasi lakonan oleh pelakon yang membawakan watak-watak yang aneh. Antara yang saya suka adalah Ulysses lakonan John Cho yang penuh dengan misteri dan keanehan. Watak Hannah lakonan Anna Konkle juga menarik perhatian dan membuatkan saya teringat kepada Phoebe dalam FRIENDS tetapi versi lebih serius.

Sebastian lakonan Jack Whitehall pula adalah watak yang mudah untuk saya syak dialah si pembunuh tetapi dengan pantas terus membuang dia dari senarai suspek kerana tahu penulis tidak akan melakukan perkara yang begitu mudah. Isabel, ibu kepada Edward dan Hannah lakonan Elizabeth Perkins pula cukup menarik dan menggerunkan dan boleh nampak yang dia seakan tidak merestui perkahwinan Edward dan Grace.
Watak-watak keluarga Zoe pula seperti Feng, Vivian dan Grace lakonan Ken Jeong, Vivian Wu dan Poppy Liu membawakan penceritaan standard keluarga Asia yang klise dan sedikit lucu. Dengan kata lain perana masing-masing yang cuba mengukuhkan hubungan silaturrahim antara keluarga disampaikan dengan baik sekali dan cukup menghiburkan.

Lakonan Zach Woods sebagai Edward cukup mengejutkan kerana membawakan kejutan yang saya sendiri tidak perasan. Walaupun peranan dia ringkas sahaja, tetapi impak yang diberikan pada watak lain adalah sangat dahsyat.
Tidak lupa juga dengan watak Detective Danner lakonan Tiffany Haddish. Seorang penyiasat yang berbakat dan kali ini lebih dramanya yang suka bergurau senda dengan Aniq. Kemunculan watak ini juga adalah petanda yang penyiasatan misteri pembunuhan akan bermula dan semua yang didedahkan dari perspektif suspek lebih sukar untuk diramal berbanding musim pertama.

Jangan salah faham, musim kedua masih seronok untuk ditonton. Cuma misterinya kurang tetapi apa yang pengarah cuba sampaikan saya boleh faham. Perkara yang menjadikan The Afterparty musim kedua ini unik dan berbeza dengan siri misteri pembunuhan lain adalah setiap episod mempunyai genre berbeza.
Ini adalah lebih kurang sama dengan konsep pada musim pertama. Kali ini masing-masing menyampaikan cerita malam sebelum berlakunya pembunuhan dengan tema seakan siri Bridgerton. Amat lucu kerana mereka semua kelihatan seakan terpaksa dan membuatkan saya teringat akan siri Murderville di Netflix.

Kesimpulan
Pengalaman menonton musim kedua adalah cukup memuaskan berbanding musim pertama. Ini mungkin kerana dalam musim lepas Christopher Miller mengarahkan kesemua episod dan musim baharu ini pula beliau meminta bantuan pengarah lain seperti Anu Valia. Dari segi penulisan skrip juga lebih ramai orang berbeza terlibat yang cuba menjadikan The Afterparty lebih menarik.
Jika anda suka menguji minda adakah anda cukup bijak atau sukakan misteri The Afterparty adalah antara siri yang wajib ditonton. Terdapat 10 episod dan setiap episod akan membuatkan anda tertanya-tanya dan menanti-nantikan siapakah pembunuh sebenar.