Skip to main content

Mission: Impossible – Dead Reckoning Part One iaitu filem ketujuh di dalam siri filem ini berjaya untuk melakukan sesuatu yang gagal dilakukan oleh siri filem Fast & Furious dan juga Spider-man: Across the Spider-verse yang merupakan pencabar untuk filem ini bagi filem terbaik setakat ini. Pertama Dead Reckoning berjaya untuk mengekalkan siri filem ini terus relevan, sesuatu yang sudah lama gagal dilakukan oleh Fast & Furious, dan berjaya untuk berakhir dengan memuaskan walaupun merupakan filem bahagian pertama daripada dua sesuatu yang gagal dilakukan oleh Spider-man: Across the Spider-Verse.

Dead Reckoning telah memerlukan Ethan Hunt lakonan Tom Cruise untuk melakukan apa yang dia lakukan dengan jayanya (ataupun tidak) iaitu melawan penjahat yang mengancam dunia. Kali ini, Ethan Hunt perlu melawan dengan satu senjata yang digelar sebagai ‘entiti’ dan penjahat ini boleh dikatakan yang paling berbahaya perlu dilawan. Bersama dengan pasukan IMF lain iaitu Benji Dunn lakonan Simon Pegg dan Luther Stickell lakonan Ving Rhames, pengembaraan Ethan Hunt kali ini penuh dengan aksi tanpa henti.

Filem ini juga diperkuatkan lagi dengan beberapa watak lain yang memainkan peranan yang mencukupi walaupun mempunyai masa skrin yang pendek antaranya Eugene Kittridge lakonan Henry Czerny yang sebelum ini hanya tiba di dalam filem yang pertama, Ilsa Faust lakonan Rebecca Ferguson serta beberapa watak baharu seperti Grace lakonan Hayley Atwell, Paris lakonan Pom Klementieff, Alana Mitsopolis lakonan Vanessa Kirby, dan Gabriel lakonan Esai Morales.

Watak-watak yang sudah tiba sebelum ini, penceritaan mereka diteruskan lagi dan juga diperkuatkan dengan baik, terutama watak Kittridge, pada masa yang sama filem ini juga berjaya untuk memastikan watak-watak baharu yang saya nyatakan sebelum ini diberi ruang yang cukup untuk memainkan peranan mereka, tidak kira sebagai watak protagonis ataupun antagonis, mereka berjaya untuk menjadikan filem ringkas ini lebih menarik kerana pembawaan watak yang sangat berkesan.

Bercakap mengenai filem yang ringkas, saya boleh katakan yang pengarah Christopher McQuarrie dan Tom Cruise menggunakan resipi yang sama dengan filem Top Gun: Maverick pada tahun lepas iaitu membawa penceritaan yang ringkas, tetapi diisi dengan adegan-adegan yang berkesan dan berkualiti tinggi, yang akhirnya memberikan satu pengalaman tontonan yang mengasyikkan. Walaupun filem ini adalah 2 jam 36 minit, saya hanya menyedari masa apabila melihat jam selepas kredit dimainkan. Saya tidak langsung merasakan ini adalah filem yang melebihi 2 jam kerana setiap adegan menarik perhatian dan membuatkan saya ‘lalai’ dengan penceritaan ini.

Ini dilakukan dengan saya boleh katakan lebih 70% ataupun lebih tinggi lagi filem ini adalah aksi, dengan sedikit sahaja ruangan untuk dialog bagi membantu untuk membina penceritaan, dan juga memperkenalkan watak-watak yang ada. Oleh disebabkan ruangan yang sedikit inilah saya merasakan yang mereka memilih untuk membawa penceritaan yang ringkas sahaja. Dengan kekecewaan saya dengan beberapa filem yang cuba untuk menjadi lebih rumit seperti The Flash, Fast X, dan Ant-Man, mungkin satu filem yang ringkas diperlukan untuk menggegarkan box office.

Filem ini juga dibantu dengan aksi-aksi yang berkesan dan menggunakan kesemua watak serta pelbagai lokasi menjadikannya lebih epik. Filem ini juga banyak menyelit beberapa adegan cemas pada satu masa, membuatkan saya berada di hujung kerusi, dengan mengikut satu adegan, kemudian beralih ke adegan yang lain dan perkara ini berlaku dengan sangat kerap, menjadikannya satu filem dengan aksi tanpa henti.

Namun, apabila memasuki adegan ‘perlahan’ ataupun dialog, ia juga dilakukan dengan baik. Dialog-dialog adalah berkesan di dalam menyampaikan penceritaan serta memberikan perasaan gementar kepada saya. Dialog ini juga digunakan dengan berkesan untuk memperkenalkan dan juga mengembangkan lagi watak-watak yang kembali dan juga watak-watak baharu.

Dead Reckoning walaupun merupakan bahagian pertama daripada dua juga memberikan satu pengakhiran yang baik. Ia mengakhiri penceritaan bagi filem ini dan pada masa yang sama membuatkan saya ternanti-nanti untuk filem seterusnya kerana perjuangan mereka masih tidak berakhir dan masih lagi ada perkara yang perlu dilakukan.

Saya boleh katakan tidak mempunyai rungutan yang besar mengenai filem ini, akan tetapi terdapat tiga perkara yang sangat saya rasakan sedikit kekurangan tetapi mungkin tidak untuk orang lain. Pertama adalah mengenai senjata yang menjadi perkara utama di dalam filem ini iaitu entiti yang saya rasakan kurang menarik kerana pemilihan sifatnya yang terasa sangat cliché, dan lebih baik jika entiti ini adalah sesuatu yang berlainan agar memberi kesan kepada penceritaan dengan lebih mendalam.

Seterusnya adalah pengenalan untuk sesetengah watak, terutama Grace terasa terlalu mengejut dan terus mendapat perwatakan yang besar. Walaupun, ia dibawa dengan baik dan berjaya untuk menjadikannya watak yang penting di dalam filem ini, akan tetapi saya rasakan watak Grace mungkin boleh diberikan pengenalan, perkembangan dan klimaks dengan lebih lagi agar ia menjadi lebih berkesan tetapi saya juga faham dengan kekangan masa kerana filem ini sudah padat dengan bahagian-bahagian yang lain.

Ketiga adalah ada beberapa bahagian aksi walaupun dilakukan dengan epik, tetapi sebab untuk berlakunya adegan aksi itu bagi saya lemah dan membuatkan saya terfikir ada pelbagai lagi cara yang lebih mudah untuk lakukan dan dapat mengelak segala aksi tersebut. Contohnya adalah adegan yang sangat dipromosi oleh filem ini, iaitu Ethan Hunt ataupun Tom Cruise melompat dari tebing tinggi dengan motosikal. Bagi saya, tujuan Ethan Hunt melakukan aksi tersebut adalah semata-mata untuk melakukan aksi tersebut sahaja dan sebab yang diberikan di dalam filem kurang meyakinkan.

Akhir kata, walaupun dengan beberapa rungutan yang saya nyatakan di atas, bagi saya ia adalah rungutan yang kecil sahaja dan tidak sangat menjejas pengalaman saya menonton filem ini. Bahkan saya juga merasakan untuk sesetengah penonton ia langsung bukan satu masalah. Saya tidak mempunyai autoriti untuk mengatakan yang ini adalah filem terbaik Mission: Impossible, akan tetapi saya boleh katakan yang Mission: Impossible – Dead Reckoning Part One adalah antara filem terbaik yang keluar pada tahun ini dan terus memastikan yang siri filem ini terus relevan walaupun menghampiri penutup untuknya.

Penafian: Tayangan untuk Mission: Impossible – Dead Reckoning Part One disediakan oleh United International Pictures bagi tujuan ulasan ini.

Mission: Impossible - Dead Reckoning Part One
Mission: Impossible - Dead Reckoning Part One terus membuktikan yang Ethan Hunt masih lagi relevan dengan filem padat dengan aksi dan adegan yang epik, walaupun bahagian satu daripada dua, tetapi filem ini memberi penamat yang memberi kepuasan kepada penonton.
Positif
Aksi Menarik Dan Epik
Watak Disampaikan Dengan Baik
Penutup Yang Memuaskan
Kandungan Yang Padat
Negatif
Watak Jahat Yang Terlalu Cliché
Pengenalan Sesetengah Watak Terlalu Mengejut
Adegan Aksi Dilakukan Untuk Sekadar Aksi
9

Leave a Reply

Final Score