Black Mirror adalah siri antologi kegemaran saya. Ini kerana ia memperlihatkan bagaimana dunia moden dengan teknologi sekarang boleh mendatangkan masalah dan merosakkan seseorang. Kini selepas empat tahun Netflix kembali dengan Black Mirror musim keenam yang mempunyai lima episod.
Setiap episod mempunyai durasi dari 42 minit ke 1 jam 20 minit dan apabila mula menonton saya tidak boleh berhenti dan secara tidak langsung terus maratonton kesemuanya dalam satu malam.
Musim keenam membuatkan saya teringat kepada pengalaman menonton musim pertama dahulu. Jantung saya tidak berhenti berdebar, cara Charlie Brooker menulis kesemua episod yang membina perasaan suspens sangat bagus dengan penyampaian cerita yang lancar dan menghiburkan. Hanya satu episod, iaitu episod kelima, ada penulis tambahan, iaitu Bisha K. Ali yang menulis Ms. Marvel.
Episod 1: Joan Is Awful | Pengarah, Ally Pankiw
Episod pertama bukannya seram tetapi sangat mengerikan. Ia mengenai dunia masa depan platform penstriman dan mengingatkan kepada orang ramai betapa pentingnya membaca terma dan syarat sesuatu perkhidmatan sebelum bersetuju. Joan is Awful menceritakan kisah Joan seorang wanita biasa yang terkejut apabila Streamberry (parodi kepada Netflix) mengeluarkan siri TV mengenai kisah hidup dia.
Joan turut terkejut apabila diri dia dilakonkan oleh pelakon ternama iaitu Salma Hayek. Episod ini menggabungkan konsep teknologi sekarang seperti Deepfake, AI, sesebuah syarikat teknologi yang memantau/menjejak pengguna mereka dan sebagainya. Setiap saat dalam episod ini cukup menghiburkan dan sebenarnya agak melucukan.
Episod ini melibatkan pelakon seperti Annie Murphy, Ben Barnes, Himesh Patel, Michael Cera, Rob Delaney dan Salma Hayek Pinault.
Episod 2: Loch Henry | Pengarah, Sam Miller
Episod kedua disasarkan kepada peminat genre jenayah kerana mengisahkan sepasang kekasih yang ingin menghasilkan dokumentari. Berlaku di sekitar Scotland, sebuah bandar sunyi yang hambar kerana kes jenayah yang berlaku di suatu masa dahulu.
Perjalanan cerita episod ini cukup menarik dengan pasangan ini mula menyiasat dan mencadangkan kepada syarikat penerbitan kenapa dokumentari ini perlu dihasilkan. Tanpa disedari kes jenayah ini amat mengerikan. Saya mula rasa berdebar dan tidak tenang apabila sedikit demi sedikit butiran kes jenayah didedahkan.
Sayang sekali penghujung cerita ia mudah diramal apa yang akan berlaku membuatkan saya rasa sedikit kecewa. Pada masa yang sama turut rasa sedih dan kesian kepada watak utama lakonan Samuel Blenkin yang seakan terpaksa meneruskan kejayaan. Loch Henry turut masih melibatkan Streamberry seperti episod pertama untuk memberitahu penonton yang dunia Black Mirror musim keenam ini berlaku dalam dunia yang sama. Daniel Portman, John Hannah, Monica Dolan dan Myha’la Herrold turut berlakon dalam episod ini.
Episod 3: Beyond The Sea | Pengarah, John Crowley
Ini adalah kali kedua Black Mirror melibatkan tema angkasa dalam siri antologi mereka selepas USS Callister dalam musim keempat. Beyond The Sea walau bagaimanapun berlaku di dunia alternatif tahun 1969 yang mana angkasawan boleh bertugas di angkasa tetapi kesedaran mereka boleh dipindahkan ke dalam sejenis replika di bumi untuk meluangkan masa bersama-sama keluarga.
Episod ini turut mengingatkan saya kepada musim kedua Be Right Back, di mana replika manusia boleh dihasilkan tetapi pasangan atau ahli keluarga mereka dapat rasakan perbezaan yang ia bukan manusia sebenar. Penyampaian cerita yang cukup unik, serius dan mengerikan kerana melibatkan kumpulan kultus yang tidak mempercayai manusia boleh ada replika.
Beyond The Sea turut akan membuatkan jantung berdebar setiap saat kerana ada rasa risau watak Josh Hartnett iaitu rakan kepada watak Aaron Paul akan berubah personaliti selepas satu tragedi yang dahsyat. Perjalanan cerita agak perlahan tetapi tidak membosankan. Sama seperti episod kedua, episod ini turut saya boleh agak bagaimana episod ini akan ditamatkan. Walaupun begitu saya masih rasa ngeri dan terkejut. Pelakon lain yang terlibat adalah Auden Thornton, Kate Mara dan Rory Culkin.
Episod 4: Mazey Day | Pengarah, Uta Briesewitz
Dalam pekerjaan anda adakah anda sanggup melakukan apa sahaja termasuk mengorbankan nyawa demi kejayaan? Jika tidak dan anda ingin tahu bagaimana jika situasi ini berlaku episod Mazey Day ini pasti akan mengejutkan anda. Lakonan Zazie Beetz cukup hebat sebagai paparazzi yang menjual gambar-gambar selebriti kepada syarikat media.
Kali ini tidak melibatkan sebarang teknologi canggih atau aneh tetapi ke arah genre seram yang disampaikan dengan baik. Apa yang berlaku dalam episod ini langsung tidak boleh saya ramalkan. Ceritanya cukup ringkas di mana suatu hari seorang pelakon menghilangkan diri selepas kejadian langgar lari.
Apabila paparazzi menemui lokasi pelakon ini, mereka tidak sangka apa yang berlaku itu boleh berlaku di dunia nyata. Walaupun perkara misteri ini berlaku watak Beetz masih ingin menjadi paparazzi terbaik mempertontonkan betapa seriusnya dia dengan kerjaya ini.
Saya pada awal kurang gemar dengan episod ini kerana tiada gajet atau teknologi yang merosakkan seseorang. Cerita juga terlampau pendek yang tidak memberi kepuasan. Apabila membandingkan dengan episod-episod musim lepas, Mazey Day sebenarnya cukup unik dan mempunyai penceritaan asli untuk antologi dalam Black Mirror. Selain Beetz, Clara Rugaard dan Danny Ramirez turut berlakon di dalamnya.
Episod 5: Demon 79 | Pengarah, Toby Haynes
Demon 79 menceritakan kisah seorang pembantu penjual kedai pakaian yang tidak dihiraukan oleh rakan sekerja dan masyarakat kerana berbangsa lain. Sehinggalah suatu hari dia menemui sejenis azimat yang secara tidak sengaja menyeru setan.
Watak lakonan Anjana Vasan ini kemudian diarahkan untuk membunuh tiga orang jika tidak ingin dunia kiamat dalam masa tiga hari. Episod ini sama seperti Mazey Day, di mana tiada sebarang teknologi atau gajet terlibat. Demon 79 hanya mengenai individu yang didiskriminasikan yang inginkan keadilan.
Episod ini tidak seram tetapi tahap ngeri dan elemen darah yang digunakan cukup menakutkan. Lakonan Vasan amat hebat dan meyakinkan kerana nampak dia terdesak inginkan dilayan seperti orang lain sahaja. Saya suka episod ini kerana watak setan yang dilakonkan oleh Paapa Essiedu yang melucukan.
Konsep yang cuba disampaikan oleh penulis Bisha K Ali (Loki, Ms. Marvel) amat menarik, lebih-lebih lagi ini kali pertama dia menulis cerita seram ngeri seperti ini. Ia turut sesuai untuk ditonton oleh semua orang kerana cerita yang tidak begitu serius.
Kesimpulan
Black Mirror musim keenam pada hemat saya adalah antara yang terbaik. Lagi-lagi musim kelima yang tidak begitu memuaskan. Setiap episod di dalam musim ini mempunyai penceritaan yang unik dan cukup segar. Ia tidak melampaui batas, ia ringkas tetapi pada yang sama masih seronok untuk ditonton. Benar apabila tidak melibatkan teknologi seperti musim-musim lepas rasa kurang menarik, sekurang-kurangnya mereka berani cuba sesuatu yang berbeza selepas sekian lama kita tidak ada Black Mirror baharu.